Apabila anak sudah pandai bercakap, jom tingkatkan kamus kosa kata anak pula!
Bila jadi ibu bapa ini, kita akan teruja dengan setiap pencapaian mereka. Saat mereka pandai tersenyum pun kita dah rasa nak melompat bintang. Apatah lagi selepas mereka mula bercakap. Ketika inilah kita sibuk nak memperkasakan kamus kosa kata anak (vocabulary) pula!
Kali ini kami kongsikan bagaimana anda boleh bantu meningkatkan kamus kosa kata anak untuk mereka lebih bijak bercakap nanti. Mari ikut 7 tips berikut:
1. Membaca dengan kuat
Duduk bersama anak dan cuba kalian baca buku cerita dengan kuat. Libatkan anak anda dalam proses membaca, biar mereka yang menukar muka surat buku.
Kerap bertanya soalan kepada mereka tentang apa yang mungkin terjadi kemudian berdasarkan cerita dalam buku itu.
Dengan cara ini, anda dapat membantu mereka mengenal pasti perkataan baru beserta maksudnya. Inilah salah satu cara nak mempertingkatkan kosa kata anak!
2. Bercakap dengan mereka
Sembang saja apa yang boleh membuatkan mereka berbual dengan anda. Tanyalah bagaimana dengan taska tadi, apa mereka buat bersama nenek, atau apa mereka makan.
Berikan mereka sebab untuk bercakap dengan anda.
Jika mereka mengambil masa yang lama untuk menjawab, biarkan, dan jangan kerap membetulkan apa yang mereka cakap.
Ini akan membuatkan mereka tidak yakin untuk bercerita dengan anda lagi.
3. Menyanyi
Menyanyi! Ia bukan sahaja akan membuatkan satu-satu perkataan itu mudah diingati, malah anda boleh menari mengikut maksud perkataan yang disebut.
Cuba pilih lagi yang anda boleh gayakan setiap lirik lagunya sambil menyanyi.
Inilah cara klasik membantu anak meningkatkan kosa kata mereka. Bukan sahaja itu, mereka juga dapat menyebut dengan lebih betul melalui nyanyian.
4. Biar mereka tunjuk dan cerita
Bawa anak keluar ke taman permainan, pantai atau taman rekreasi. Biar mereka buat apa yang mereka mahu.
Dan kemudian biar mereka bercerita kepada anda apa yang mereka temui atau buat ketika di sana.
Tanyakan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan. Atau apa yang mereka jumpa. Jadikan ia sesuatu yang menyeronokkan dengan menambah idea imaginasi mereka.
5. Jangan bercakap pelat dengan anak
Memang comel bila anak bercakap pelat atau dalam bahasa yang sukar untuk difahami. Bukan mudah untuk belajar bercakap.
Tetapi jika anda turutkan saja apa yang mereka cakap, anda hanya akan menggalakkan mereka untuk terus bercakap seperti itu.
Sebaliknya, bercakap seperti biasa dengan mereka. Lama-kelamaan, mereka akan mengikut anda dan tidak akan lagi pelat.
6. Teknik membaca gambar
Gunakan buku dengan gambar yang biasa seperti mainan, makanan atau perabot, bahagikan mengikut kategori.
Tunjukkan gambar objek tersebut dan tunjuk objek sebenar di rumah. Minta mereka namakan objek itu dan terangkan ciri-ciri objek tersebut.
7. Satu hari satu perkataan
Pilih satu perkataan setiap hari dan terangkan kepada anak anda. Galakkan mereka menggunakan perkataan tersebut sebanyak mungkin.
Mungkin jadikan ia satu permainan atau berikan mereka ganjiran jika mereka berjaya menggunakan perkataan tersebut dengan betul.
Mungkin anda boleh mempunyai buku pelekat khas di mana mereka boleh mengumpul pelekat sekiranya berjaya menggunakan perkataan dengan betul.
Apakah cara yang anda gunakan untuk anak anda? Kongsikan dengan kami.
Sumber: theAsianparent Singapore
Kredit gambar: SheKnows
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comcara-mengajar-anak-cepat-bercakap/