Sepanjang cuti sekolah lalu saya dan suami merancang ingin membawa anak-anak untuk pergi berjalan-jalan melihat keindahan alam semula jadi, kami suami isteri rasa kami dan anak-anak harus mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga dan boleh menyegarkan semula minda dan fikiran kami. Maklumlah, anak-anak sekarang dalam fasa yang aktif, yang abang sulung berumur 6 tahun, yang adik perempuannya pula 4 tahun. Jadi dalam tempoh pembesaran mereka sekarang ni, saya dan suami ambil keputusan nak bawa anak-anak melihat alam semula jadi, kerana kebelakangan ini mereka lebih suka melihat gadjet dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan konten dalam dunia maya.
Lokasi yang menjadi pilihan kami suami isteri ialah sepilok. Memandangkan kawasan di sepilok terdapat hutan simpan yang agak besar jadi ianya sesuai untuk kami bawa anak-anak melihat alam semula jadi.
Bukan anak-anak saja yang teruja, saya dan suami pun rasa teruja apabila sampai di lokasi hutan simpan sepilok. Sebenarnya banyak aktiviti yang saya dan suami rancang tetapi anak-anak nampak letih. Apa tidaknya, mereka terlalu teruja mahu jalan ke semua kawasan. Antara kawasan yang sempat kami sekeluarga pergi adalah kawasan jambatan di bahagian tengah tasik, sesekali saya dan anak-anak terjerit kecil disebabkan jambatan tengah tasik yang bergoyang. Oleh kerana jambatan tersebut diperbuat dari tali dan kayu tetapi mampu menampung sehingga 20 orang dalam suatu-suatu masa. Saya dan suami gembira melihat senyum dan tawa anak-anak ketika itu.
Selain itu, menara burung dan jambatan panjang sepilok juga adalah antara lokasi yang sempat kami datangi. Sekali sekala kami ternampak burung-burung yang berlainan spesis berterbangan hinggap di dahan pokok. Kami juga dapat melihat suasana hutan simpan sepilok dari atas jambatan. Itula kenangan kali pertama kami sekeluarga naik ke jambatan sepilok yang sangat tinggi iaitu tinggi jambatan setinggi pokok-pokok sekelilingnya.
Anak-anak pun nampak teruja melihat kehijauan hutan simpan sepilok kerana baru pertama kali melihat hutan secara langsung dan merasai sendiri pengalaman tersebut yang tidak pernah mereka rasai sebelumnya
Bagi saya aktiviti sederhana seperti ini boleh menjadi aktiviti yang sangat berkualiti dan memberikan impak yang sangat positif untuk ibu bapa dan anak-anak. Kenangan kami suami isteri bersama anak-anak di sepilok ini juga akan menjadi kenangan yang indah dan bermanfaat utk kami dalam mengisi masa kami sekeluarga bersama-sama.
Dalam dunia moden sekarang anak-anak terlalu terdedah dengan gadjet yang senang mereka kendali sesuka hati, itulah sebabnya mereka jadi ketagihan dengan kemudahan teknologi yang sedia ada. Membesarkan anak pada zaman moden ni sangat la mencabar. Anak-anak lebih senang terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dalam gadjet mereka. Saya percaya bukan hanya saya dan suami saja merasakan cabaran ini, ibu bapa diluar sana pun merasakan cabaran yang sama.
Justeru itu, saya berpendapat agar ibu bapa zaman sekarang termasuk saya dan suami kena lebih banyak meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak, memberikan perhatian yang secukupnya dan mendidik mereka dengan cara yang bersesuaian dengan perkembangan fizikal dan mental anak-anak. Saya rasa, saya dan suami juga harus lebih kreatif dalam mengisi masa terluang bersama anak-anak kami pada masa akan datang in shaa Allah. Saya harap ibu bapa diluar akan lebih berjaya lagi dalam mengisi masa lapang bersama buah hati mereka dan memberikan perhatian yang cukup dan sewajarnya untuk anak-anak mereka.