Bayi Lahir Dengan Kulit Berkerak Didakwa Tak Bersih, Doktor Ini Jelaskan Pentingnya 'Kerak' Itu!

undefined

Mungkin ibu-ibu hamil perasan, kulit bayi berkerak antara isu yang sering dibangkitkan. Ramai malu kerana ia didakwa akibat ibu hamil aktif melakukan seks.

Mungkin ibu-ibu perasan, kulit bayi berkerak antara isu yang sering dibangkitkan. Ramai tidak mahu kulit bayi berkerak dengan alasan ada yang mengatakan ia tanda ibu hamil aktif melakukan seks bersama suami ketika hamil, jadi air mani terkena kepada bayi menjadikan kulit anak kecil itu berkerak.

Malah ada juga yang mengambil kesempatan mahu melariskan produk, jadi secara sewenang-wenangnya membuat dakwaan bahawa jika mengamalkan sesetengah produk, kulit bayi akan licin dan cantik apabila dilahirkan.

Hakikatnya adakah benar semua ini? Adakah benar kulit bayi berkerak atau bila lahir kulitnya ada lapisan putih berminyak itu tandanya bayi berkenaan dalam keadaan kotor? 

Mari kita baca penjelasan doktor pakar ini mengenai apa sebenarnya lapisan ini yang sering menjadi isu dan perdebatan jika berkaitan wanita hamil.

Kulit berkerak bukan maksud bayi kotor

Kulit berkerak

Menurut Dr Imelda Balchin, persepsi mengenai kulit bayi berkerak ini sudah sepatutnya diubah kerana tanggapan selama ini bahawa ia kotor adalah sangat tidak benar. 

Ada pula komen mengarut dari makcik bawang yang tiba-tiba masuk ke laman saya…..dia kata dia telan minyak kelapa dara, baby dia keluar bersih dan kulit cantik.

Inilah dia satu kenyataan yang mencerminkan kejahilan makcik bawang. Bila saya tanya, sila jawab baby mana yang dilahirkan tidak bersih dan kulit tak cantik? Makcik bawang jawab kulit yang berkerak-kerak.

Adoi laaaa makcik bawang, janganlaa cakap macam tu. Mai nak habaq. Ini ilmu pengetahuan yang penting untuk anda. Sila tambahkan ilmu pengetahuan ini dan berbanggalah jika bayi anda dilahirkan dengan kerak-kerak putih anugerah Tuhan ini.

Baca juga: 5 Cara Selesaikan Masalah Kulit Bayi Yang Kering

Lapisan putih dianggap kerak sebenarnya krim kulit semulajadi terbaik dunia!

Kulit berkerak

Menurut Dr Imelda, bayi yang dilahirkan dengan selaput putih jelas dibadannya bukan kotor. Ia sebenarnya adalah vernix caseosa iaitu krim krim kulit semulajadi yang terbaik di dunia.

Katanya, tiada krim yang lebih baik dari vernix caseosa. 

Ia dikeluarkan oleh kelenjar sebaceous gland di dalam kulit bayi sendiri. Ia mengandungi 80 peratus air, 10 peratus protein dan 10 peratus lemak. Pada tiga bulan terakhir kehamilan, vernix caseosa melindungi kulit janin menjadikannya:

#1. Kalis air

Kalis air atau waterproof supaya boleh duduk dalam air ketuban berbulan-bulan. Kalau tidak berkedut-kedutlah kulit bayi. Anda boleh ke berendam lama-lama dalam air, sila cuba dan lihat apa akan terjadi kepada kulit anda.

#2. Mempunyai bahan antibakteria

Ia juga mempunyai bahan antibakteria yang memberi lebih perlindungan kepada bayi semasa dan sejurus selepas dilahirkan.

#3. Mengandungi asid amino

Ia mengandungi amino acid yang melindungi kulit janin dari meconium dalam air ketuban jika janin sudah berak di dalam kandungan sebelum dilahirkan.

#4. Lindung dari kesejukan

Ia membantu mencegah bayi hilang haba terlalu cepat dari permukaan kulitnya sejurus selepas dilahirkan supaya tidak kesejukan.

#5. Ada elemen penyembuhan

Ia mempunyai healing properties yang mempercepatkan kesembuhan dari luka melecet atau kegeselan di atas permukaan kulit semasa proses kelahiran atau semasa ibu meneran bayi keluar.

#6. Bantu sesuaikan peralihan kulit dari dalam perut ke persekitaran luar

Kulit berkerak

Bila bayi dilahirkan, tiba-tiba terdedah kepada udara luar yang kering, vernix caseosa inilah yang membantu kulitnya menyesuaikan diri untuk peralihan dari alam yang lembab dan basah ke alam yang kering. Inilah pelembab atau moisturiser semulajadi yang terbaik.

Menurut Dr Imelda lagi, disebabkan itulah sejurus selepas bayi dilahirkan, kita patut membiarkan vernix caseosa ini atas badan bayi pada hari pertama dan tak payah mandikannya terlalu awal selepas kelahiran. 

Jadi tak perlulah risau atau malu ya ibu jika anak anda diselaputi dengan krim ajaib ini kerana ia adalah pelembap terbaik di dunia yang amat bermanfaat untuk kulit bayi. 

Jangan membazir mencuba pelbagai produk yang belum tentu selamat hanya untuk pastikan kulit bayi bersih apabila dia dilahirkan nanti. Doktor pakar ini sudah menerangkan kebaikan krim berkenaan, jadi yakinlah. Buang rasa malu anda untuk perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat untuk kulit bayi.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Sumber: Dr Imelda Balchin

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!