Anak telah menginjak usia 3 tahun? Jangan hanya beri perhatian untuk mengajarkan mereka tentang abjad dan nombor sahaja, ibu ayah juga perlu mendedahkan mereka dengan pengenalan tentang kumpulan warna!
Biru, merah, kuning, hijau atau warna-warna lain sangat menarik perhatian dan seronok dipelajari sekiranya anda menggunakan teknik yang betul.
Pendedahan kumpulan warna
Melangkah sahaja usia tiga tahun, ia adalah waktu permulaan untuk anak mengenali jenis dan nama-nama warna.
Ia menjadi langkah yang penting sebagai persediaan anak-anak sebelum memasuki alam pra sekolah. Aspek asas ini juga dapat memulakan daya penglihatan anak-anak pada setiap hari yang dilalui oleh mereka.
Sebagai contoh, anda boleh melakukannya dengan meminta anak menyebut warna yang hadir dalam persekitaran mereka seperti warna meja, mainan atau baju yang dipakai.
Hal ini sebenarnya berpotensi untuk melatih otak anak untuk berfikir secara kreatif dan merangsang daya imaginasi mereka tentang dunia yang penuh warna-warni.
Bagi anak-anak yang semakin membesar, mengenali kumpulan warna memerlukan maklumat yang lebih mudah dan dekat dengan diri mereka.
Selain melabelkan objek yang berada di sekeliling, ibu ayah juga boleh menyediakan krayon ataupun pensil warna dengan saiz yang agak besar bagi memudahkan pegangan mereka ketika proses mewarna.
Antara sebab kanak-kanak perlu didedahkan dengan kumpulan warna di awal usia mereka adalah:
#1. Meluahkan perasaan
Lukisan dan warna antara cara yang mempamerkan anak-anak bersedia untuk meluahkan semua perasaan yang dihadapi.
Anda akan melihat mereka akan menconteng atau membuat lakaran di mana-mana sahaja. Justeru, tidak hairanlah dinding rumah sering memiliki ‘corak’ unik hasil tangan anak-anak.
Jika perasaan anak dalam keadaan baik, lakaran warna yang dihasilkan adalah lebih kemas. Namun, jika sebaliknya menggambarkan perasaannya tidak stabil dan mungkin memerlukan lebih kasih sayang dari anda.
Bukan itu sahaja, mengenali kumpulan warna turut menjadi terapi buat si manja kerana dia akan memilih warna-warna yang disukai tanpa sebarang paksaan dari penjaga.
#2. Memupuk sepenuh perhatian
Proses mempelajari kumpulan warna dapat membiasakan diri anak-anak untuk meletakkan sepenuhnya perhatian terhadap sesuatu perkara.
Dalam hal ini, anda perlu memberi peluang kepada mereka untuk mewarna lukisan kartun yang digemari menggunakan pelbagai jenis warna.
Bukan itu sahaja, anak turut menjadi lebih disiplin kerana untuk mewarna sesuatu tidak boleh melepasi dari garisan yang ditetapkan.
Jadi sekiranya mereka mewarna sehingga keluar lelehan air liur dari mulut, itu tandanya mereka telah meletakkan fokus yang sepenuhnya!
#3. Proses belajar menjadi seronok
Ketika anak-anak didedahkan dengan warna-warni, sudah semestinya mereka akan tertarik untuk belajar lebih lagi.
Jika pada awalnya anda menunjukkan dua atau tiga jenis warna, mereka mungkin akan melompat riang dan meminta untuk mengenali warna-warna yang lain.
Dalam hal ini, sekiranya aktiviti warna didedahkan dengan kerap, anak menjadi lebih kreatif untuk mencipta warna baru melalui warna-warna asas yang sedia ada. Contohnya, warna kuning dicampur dengan biru akan menjadi hijau.
#4. Mengatasi masalah rabun warna
Bukan golongan dewasa sahaja mengalami masalah rabun warna, kanak-kanak juga sebenarnya berisiko mengalami gejala ini.
Pada usia 3 tahun, pastinya anda mengalami kesukaran untuk mengesan masalah ini kerana mereka terlalu kecil dan tidak mengenali kumpulan warna dengan baik.
Sekiranya keadaan ini tidak diatasi secara lebih awal, ia mungkin akan mewujudkan masalah pembelajaran awal di sekolahnya.
Semua kanak-kanak perlu menjalani ujian penglihatan warna terutamanya jika anda mempunyai sejarah keluarga yang memiliki masalah rabun warna.
#5. Meningkatkan kemahiran motor halus
Kemahiran motor halus ialah kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan untuk mengawal gerakan. Pergerakan ini melibatkan otot-otot kecil pada tangan, jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah.
Dalam hal ini, mewarna adalah antara salah satu aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus akerana ia melibatkan penggunaan otot-otot tangan dengan cara memegang atau mengawal pensil warna dengan betul.
Namun, sekiranya anak tidak dapat menguasai kemahiran motor halus dengan baik, mereka akan ketinggalan untuk mengusai kemahiran peringkat seterusnya.
Misalnya anak telah melangkah masuk sekolah tetapi jika masih belum mahir mengawal pensel, mereka berhadapan dengan masalah untuk menulis berbanding rakan-rakannya.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga akan sentiasa bergantung terhadap orang lain untuk menguruskan kehidupan.
Sumber: Pa&Ma
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.commanfaat-seni