Setelah tular di Tik Tok ekoran bayi dilahirkan di dalam kereta dan disambut oleh bapanya. Kini sekali lagi kita mendapat berita wanita lahirkan anak di lebuh raya. Dan menariknya kali ini kelahiran bayinya yang tidak dirancang itu disambut oleh dua orang polis yang sedang bertugas.
Dua polis wanita bantu lahirkan anak dalam kereta
Kejadian berlaku di Kuching, Sarawak, ketika dua anggota polis wanita sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kuching-Samarahan Expressway mereka diminta membantu menyambut seorang bayi perempuan pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kejadian berlaku sekitar jam 11.50 malam apabila petugas di SJR tersebut didatangi sepasang suami isteri yang menaiki sebuah kereta dan perlu lahirkan anak secepat mungkin.
Menurutnya, pasangan terbabit yang berasal dari Kampung Semera Ulu, Asajaya terpaksa melawan arus menuju ke SJR tersebut untuk mendapatkan bantuan.
“Difahamkan, setiba di lampu isyarat menghampiri SJR Expressway, isteri kepada pemandu kereta tersebut mengadu hendak beranak menyebabkan suaminya panik lalu terus melawan arus ke arah SJR untuk mendapatkan bantuan.
Leher bayi terbelit tali pusat
“Seorang anggota kita (Lans Koperal Fatihah) kemudian mendapati si isteri telah melahirkan seorang bayi dan dia terus bantu sambut bayi yang ketika itu lehernya terbelit dengan tali pusat.
“Dibantu Koperal Perakson, bayi tersebut diselimutkan menggunakan tuala dan kemudian diserahkan kepada ibunya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Petugas di SJR kemudian memaklumkan insiden tersebut kepada bilik gerakan dan memohon bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bayi dan ibunya kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan.
Suami isteri cemas, takut & gementar
Ibu kepada bayi yangdilahirkan itu, Nurul Shafina Siang, menyatakan bahawa ini adalah pengalaman yang terlalu berharga dan menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya.
Menurut laporan Berita Harian selepas menghubungi si ibu “Rasa takut, cemas dan gementar semuanya bercampur baur, namun saya bersyukur kerana bayi perempuan seberat 3.6 kilogram dilahirkan dalam keadaan normal dengan selamat hasil bantuan polis wanita yang bertugas di SJR berkenaan.”
Suaminya, Nelson Minan, 28, berkata walaupun panik dia tetap menguatkan diri untuk memberi semangat dan memberikan kata-kata perangsang kepada isterinya ketika berdepan situasi itu.
“Saya bersama seorang lagi rakan memandu kereta bergegas ke Hospital Umum Sarawak(HUS) yang terletak lebih satu jam perjalanan dari kediaman kami di Semera Ulu, Asajaya, sebaik sahaja isteri memberitahu mahu melahirkan anak.
“Kami tidak sempat sampai ke hospital. Dalam keadaan yang cemas itu saya terpaksa memegang bayi yang sudah keluar,dan terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak polis yang membuat SJR di situ. Mujurlah ada anggota polis wanita bertugas membantu menyambut kelahiran bayi yang lehernya terbelit dengan tali pusat,” katanya.
Teknik pernafasan mudah sekiranya perlu lahirkan anak tanpa doktor
Latihan teknik-teknik relaks semasa hamil dapat membantu anda menggunakannya dengan efektif semasa proses kelahiran. Cubalah teknik-teknik pernafasan berikut:
Fikirkan perkataan “relaks”. Ia mempunyai dua suku kata, “re” dan “laks”. Cuba latihan ini. Semasa anda menarik nafas, fikirkan “re” dan semasa anda menghembus nafas, fikirkan “laks”. Jangan biarkan minda anda meliar; sebaliknya tumpukan kepada meyebut perkataan “relaks” berulang-ulang selaras dengan pernafasan anda. Semasa anda menghembus nafas, cuba lepaskan sebarang tekanan dalam badan anda.
Fokus kepada otot yang anda tahu akan tegang apabila anda stres. Setiap kali anda menghembus nafas, ingatlah: “laaaks”. Fokuslah kepada hembusan nafas: tarikan nafas akan berlaku dengan sendirinya!
Atau anda boleh cuba mengira apabila bernafas.
Semasa anda menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor yang anda mahu) dan semasa anda menghembus nafas keluar, kira juga sebanyak tiga atau empat kali lagi. Anda akan dapati bahawa adalah lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.
Cuba bernafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut anda. Hembus nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Ramai wanita akan dapati bahawa membuat bunyian semasa menghembus nafas seperti “Oooooooh” atau “Aaaaaah” amat membantu mereka. Di antara kontraksi, minum sedikit air untuk mengelakkan mulut anda menjadi kering.
Bernafas dan meneran
Semasa fasa kedua pelahiran, anda akan menolak bayi anda keluar. Ramai wanita yang menahan nafas dan meneran sepanjang mana yang boleh. Kaedah ini kini tidak digalakkan kerana tiada bukti yang menunjukkan bernafas dan meneran dalam cara ini berfaedah bagi anda dan bayi, dan ia juga mungkin meningkatkan risiko koyakan.
Pengajar kelahiran bebas iaitu Jennifer Hor, mencadangkan kaedah-kaedah berikut:
- Tarik nafas dalam-dalam apabila kontraksi bermula.
- Bernafas atau hembus nafas perlahan-lahan ketika anda meneran.
- Kaedah ini dapat mengelak daripada tekak anda rosak dan memastikan anda mengekalkan corak
- pernafasan yang sihat, dan seterusnya anda dapat meneran dengan efektif.
Sumber: Borneo Post
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kepala Bayi Dah Terkeluar, Suami Tenang Sambut Bayi Sendiri Dalam Kereta