Apabila kita mengetahui suami atau lelaki curang, pasti kita akan mula menyalahkan pihak ketiga dengan pelbagai tohmahan. Tidak cukup dengan itu, kita akan sentiasa rasa diri “kurang hebat” hingga lelaki curang.
Namun, seorang wanita yang pernah mengalami pengalaman dicurangi lelaki telah membuat perkongsian di Facebook tentang apa yang wanita dan isteri perlu lakukan jika suami atau lelaki curang.
Sungguh bernas perkongsian ini hingga kami mahu anda di luar sana juga membacanya!
Ikuti perkongsian ini…
Jika lelaki curang, jangan serang pihak ketiga
“Bila suami berlaku curang, angkatlah darjat anda sebagaimana Allah mengangkat darjat anda dengan ujian sedemikian. Tak perlu serang atau konfront (semuka) pihak ke 3, fokus pada isu antara anda dan hubungan dengan suami.
Anda cuma berhak ke atas suami, bukan pihak sana. Tak perlu merayu supaya pihak sana tinggalkan suami. It takes two to tango. Usah rendahkan diri pada mereka sebab martabat anda lebih tinggi dari kekasih gelap suami itu. Selesaikan isu ini dengan suami.
Usah buang masa fikir pihak ke 3 yang biasanya akan sentiasa rasa mereka lebih bagus dan ‘menang’ kerana mampu buat seorang lelaki berkahwin jatuh cinta kali kedua dengan godaan dan pujukannya.
Bendung emosi marah, geram dan sakit hati. Tak perlu serang pihak sana kerana akhirnya anda akan ‘kalah’ bila suami senantiasa jadi hero untuk heroinnya yang tidak sah. Dan akhirnya anda yang nampak ‘jahat’ di mata suami. Isteri hebat akan sentiasa tenang dan steady tanpa merendahkan diri pada suami dayus mahupun betina rakus. Jadilah wanita bijak, kental dan rasional.”
Jika lelaki curang, layan mereka seperti biasa
“Kuatnya wanita kerana kelembutannya. Layanlah suami macam biasa, andai suami tu sudah nusyuz (lupa tanggungjawab pada keluarga, tidak beri nafkah), anda tidak berdosa jika tidak lagi mengabdikan diri pada suami.
Terbukti beliau tidak layak mengemudi rumah tangga. Jangan menyiksa diri dan emosi memikirkan orang yang tidak peduli hati dan perasaan anda sebagai isteri yang sah. Tumpukan perhatian pada anak-anak, belai emosi mereka yang lebih dambakan perhatian bila ibubapa semakin renggang. Andai berkemampuan, bawalah anak-anak pergi bercuti atau bersiar-siar. Cipta bahagia untuk diri sendiri.”
Jika lelaki curang, luahkan perasaan pada orang yang dipercayai
“Pilihlah untuk bercerita dengan orang yang kita percayai. Ataupun rujuk pada pihak yang mampu berikan pandangan yang adil dan rasional.
Sibukkan diri dengan aktiviti yang boleh menjana pendapatan dan bermanfaat. Soal hati kalau terlalu diikutkan, boleh merosakkan badan dan fikiran. Saya dulu, setiap hari menzahirkan rasa sedih dan duka di dalam 3 buah diari sekadar melepaskan duka di hati. Saya lega selepas menangis di atas kertas. Usah bercerita terlalu banyak hal kecurangan suami di media sosial. Banyak buruk dari baik. Anda akan nampak lebih buruk di mata suami, walau sekadar mahu melepaskan rasa marah dan sakit hati. Diam bukan bererti mengalah, tetapi berfikir untuk masa depan dan create a sense of direction.”
Jika lelaki curang, berdoa dan berbincang
“Andai rasa sayang masih menebal, berdoalah semoga suami kembali ke pangkal jalan. Berbincang dengan suami tentang jalan penyelesaian samada suami serius dengan hubungan terlarang (berkahwin atau suka-suka). Masalah perlu diselesaikan dengan cara yang praktikal dan pragmatik, bukan emosi. Lelaki yang baik akan tahu halal haram dan jelas dengan matlamat hidup. Andai suami sudah tetapkan pilihan, anda harus tetapkan matlamat dan pilihan anda. Bersedia atau tidak, apa saja kemungkinan persiapkanlah mental untuk reda dan terima keadaan yang mugkin berbeza dari sebelumnya.”
Jika lelaki curang, jangan salahkan diri sendiri tapi kumpulkan bukti
“Wahai isteri! Kita bukan Malaikat yang mampu menarik tangan suami untuk meninggalkan maksiat. Kita juga bukan malaikat. Tak perlu salahkan diri atau terlalu peduli dengan tanggapan serta kata-kata orang luar. Tapi kita sendiri perlu belajar untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Andai suami tidak juga berubah ke arah lebih baik, anggap saja objektif kehidupan kita tidak sama dan mungkin bercanggah antara satu sama lain. Bila keadaan sudah terlalu runcing, buatlah kronologi peristiwa penting serta berapa banyak tempoh masa suami di rumah serta nafkah yang diberikan suami. Kumpulkan bukti kecurangan suami. Semua ini penting sekiranya konflik berakhir di mahkamah. Sepanjang pemerhatian saya, sebahagian besar kes kecurangan akan berakhir dengan perceraian. Samada isteri memohon cerai atau suami yang menceraikan.”
Jika lelaki curang, kebaikan kita pasti akan dikenang suatu hari nanti…
“Yakinlah walau perceraian berlaku akhirnya, Allah mahu selamatkan seorang isteri yang baik dan solehah dari seorang suami yang durjana. Bukan cinta suami yang akan bawa kita ke syurga, tapi seorang khalifah keluarga yang baik, tidak akan curang sama sekali walau di atas kelemahan pasangan atau apa alasan. Curang bukan pilihan, walaupun kononnya atas alasan mahu menambah isteri atau mencari kesempurnaan seorang wanita. Tapi siapalah kita untuk menghalang cinta di hati orang lain sebab hati mereka bukan milik kita melainkan dengan doa dan kekuatan iman. Biar puas kita berbuat baik walau dibalas racun, kerana akhirnya pasti kebaikan itu akan dikenang sang suami walau ketika nyawa di hujung hayatnya, walau mungkin jodoh kita dengannya di dunia sudah terputus ketika itu.”
Semoga dari perkongsian Ila Fadzilah ini, isteri-isteri yang dicurangi boleh mendapat kekuatan untuk menghadapi ujian ini. InshaAllah…
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Facebook Ila Fadzilah
Baca juga:
"Kepada suami yang terfikir untuk berlaku curang, sila fikir 2 kali dulu!"