Seorang bekas jururawat di Britain, Lucy Letby minggu lalu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh tujuh bayi yang baru lahir dan cuba membunuh enam yang lain.
Wanita yang berusia 33 tahun, membunuh lima bayi lelaki dan dua perempuan itu di Unit Neonatal Hospital Countess of Chester di barat laut England di mana dia bekerja antara Jun 2015 hingga Jun 2016.
Letby dianggap sebagai pembunuh bersiri paling prolifik dalam zaman moden Britain malah motif Letby masih tidak jelas.
Pada masa itu, doktor terkejut dengan rentetan kematian dan kecederaan yang tidak dapat dijelaskan di kalangan bayi yang baru lahir dan pramatang. Pengurus hospital pada mulanya menolak situasi itu sehingga ia mendorong siasatan polis, yang membawa kepada penahanan Letby pada 2018.
Pencarian di kediamannya menemui nota tulisan tangan di mana dia mengaku membunuh bayi-bayi itu, mengakui dia adalah “orang yang teruk dan jahat.”
Semasa perbicaraan mahkamah, bagaimanapun, Letby menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku dan mengaku dia tidak bersalah, tanpa memberikan sebarang motif di sebalik jenayahnya.
Mahkamah diberitahu bahawa Letby menunjukkan minat luar biasa terhadap keluarga mangsanya, membuat carian tentang mereka di media sosial.
Letby menggunakan pelbagai kaedah untuk membunuh bayi itu, termasuk menyuntik mereka dengan udara, meracuni mereka dengan insulin, dan memberi mereka susu secara paksa.
Seorang bayi perempuan yang dilahirkan 15 minggu lebih awal, terselamat daripada tiga cubaan bunuh, akhirnya hilang upaya kekal dengan cerebral palsy quadriplegic.
Siapa Lucy Letby?
Letby dibesarkan di Hereford bersama ibu dan bapanya, John dan Susan, yang sejak Oktober telah menyaksikan perbicaraan anak perempuan mereka berlangsung dari galeri awam.
Dia memilih mata pelajaran yang dia percaya akan membantunya mencapai matlamat dan aspirasinya.
“Saya sentiasa mahu bekerja dengan kanak-kanak,” katanya kepada juri, sambil menambah dia telah memilih A-level yang merupakan jurusan terbaik yang akan menyokong kerjaya itu.
Letby, yang merupakan yang pertama dalam keluarganya yang pergi ke universiti, belajar jurusan kejururawatan selama tiga tahun di Universiti Chester.
Semasa pengajiannya, dia menyelesaikan banyak penempatan kerja. Majoriti adalah berdasarkan Hospital Countess of Chester, sama ada di wad kanak-kanak atau unit neonatal.
Dia layak sebagai jururawat Band 5 pada September 2011 dan mula bekerja sepenuh masa di hospital mulai Januari 2012 sebelum layak bekerja dengan bayi penjagaan rapi pada musim bunga pada tahun 2015.
Letby memberitahu mahkamah bahawa beban kerjanya sejak itu adalah kebanyakan untuk menjaga bayi kritikal di unit itu.
Dia juga mendedahkan bagaimana dia membimbing lima atau enam pelajar jururawat dan menganggarkan bahawa dia telah menjaga ratusan bayi yang baru lahir pada 2015 dan 2016.
Dalam pada itu, pasukan pembelanya berhujah kematian bayi di hospital itu disebabkan oleh “siri kegagalan dalam penjagaan” dalam unit tersebut dan Letby menjadi mangsa kepada sistem tersebut.
Letby telah direman dalam tahanan sejak November 2020 dan telah menghabiskan masa di empat penjara berbeza.
Perbicaraan wanita itu telah mencengkam hati pembaca dari seluruh dunia, malah ramai yang tidak dapat memahami bagaimana seorang jururawat neonatal boleh melakukan perbuatan sekeji itu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : KEJAM! Suami Bunuh, Kerat, Bekukan Mayat Isteri Sebab Fail Penceraian
Baca juga : Jangan Sebar Video, Imej Bunuh Diri! Ia Boleh Undang Keinginan Orang Lain : Pakar
Baca juga : Ibu yang kemurungan bunuh bayi sendiri dan kelar leher 3 anaknya