Usahalah Untuk Makan Malam Bersama, Waktu Ini Paling Berharga Buat Suami Isteri
Makan malam bersama adalah acara wajib yang perlu dilakukan setiap hari. Meskipun sibuk, usahakanlah untuk duduk semeja dengan pasangan
Bergelar suami isteri perlu memikul banyak tanggungjawab di rumah dan juga tempat kerja. Tempoh masa 24 jam sehari bagaikan tidak cukup kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Walau apa pun yang jadi, sebaiknya makan malam biarlah anda dan suami ada bersama di meja untuk mengeratkan lagi hubungan.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Pentingnya waktu makan malam bersama suami isteri
- Makan malam sambil berbual mengenai hal suami isteri
- Kepentingan komunikasi suami isteri dalam pernikahan
Tidak dinafikan proses membesarkan anak kecil membuatkan ibu ayah tidak mempunyai waktu untuk bersama. Bayangkan baru sahaja ingin berbual, si manja minta susu, membuang air besar dan minta didodoikan.
Pentingnya waktu makan malam bersama suami isteri
Bila anak tidur awal dan dapat makan berdua dengan isteri. Waktu inilah semua isu atau masalah yang dihadapi akan diluahkan. Tidak kira cerita mengenai kerja, saudara mara, hal keluarga, jiran-jiran dan kawan-kawan, satu persatu akan dikupas.
Masa inilah baru sedar yang sebenarnya sudah lama tidak buat perkara macam ini. Dulu awal kahwin selalu sahaja lepas balik kerja, duduk makan dan borak pelbagai perkara bersama-sama.
Kemudian kami akan ketawa dan ada juga saatnya bergaduh kerana isu-isu kecil.
Namun bila sudah ada anak, perbualan itu sudah berubah dan tidak sama lagi. Perlu fokus kepada si manja yang selalu inginkan perhatian. Kadang baru buka satu topik, terus je cerita tamat sebab anak beraklah, mengamuklah.
Tapi itulah hilang satu, Tuhan Maha Baik, Dia gantikan dengan lagi satu. Tak dapat borak, dapat lihat anak punya telatah pun satu nikmat.
Cuma walau terbatas macam mana pun waktu, komunikasi antara suami isteri adalah perkara wajib. Sebab itulah saya selalu cakap dengan isteri, bila anak tidur dan kalau dia larat, cubalah untuk siapkan makanan supaya kami boleh makan malam bersama.
Makan malam sambil berbual mengenai hal suami isteri
Sebab kita cuma punya masa ini sahaja. Untuk borak balik hal-hal di awal perkahwinan, impian dan tujuan asal mendirikan rumah tangga, masalah yang bermain dalam kotak fikiran semasa di tempat kerja, sebarang perkara yang dipendam sesama suami isteri.
Ia mungkin tidak akan lama. Tapi dengan 30 minit berborak, suami tahu yang isterinya masih ada untuk dia. Manakala isteri juga tahu suami dia masih ambil berat perihal dirinya.
30 minit ini berkualiti ini sangat penting untuk menjaga emosi antara satu sama lain. Kadang kala kita beriya kejar hal dunia sehingga lupa bahawa segalanya adalah bermula dari rumah.
Macam mana kita bahagikan kerja-kerja dalam rumah, menjadikan bagaimana kita mengurus di tempat kerja. Bagaimana emosi dijaga baik dari rumah, ia akan membawa seterusnya emosi yang baik di tempat kerja. Begitulah.
Dengan dunia hari ini, semuanya akan sentiasa sibuk. Duit, kerjaya, tanggungjawab, semuanya telah membataskan manusia untuk memberi fokus kepada perkara yang lebih utama.
Tapi percayalah bahawa isteri yang baik akan reflect pada suami untuk jadi baik. Dan suami yang baik akan reflect pada isteri untuk jadi baik. Dan ibu bapa yang baik pasti reflectnya pada anak untuk jadi jauh lebih baik.
Kita bina bersama, kita jagalah bersama.
Kepentingan komunikasi suami isteri dalam pernikahan
Menurut penulis buku The Sex-Starved Marriage, Michele Weiner Davis mengatakan bahawa pasangan yang memiliki komunikasi yang baik berupaya belajar mengenali hati dan perasaan antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, komunikasi yang baik dalam rumah tangga mampu mengurangkan rasa tertekan dan penat memikirkan masalah dihadapi setiap hari. Anda cenderung bersikap saling bertolak ansur dan memahami bahawa tidak hanya anda sahaja berdepan kesukaran, pasangan pun sama.
Justeru luahkan setiap perkara yang anda tidak puas hati atau berasa sukar untuk menanggungnya seorang diri.
Jika suami isteri sering berbual bersama-sama, ia juga membantu meningkatkan rasa percaya antara satu sama lain. Hal ini kerana anda dan pasangan bersikap terbuka dan tidak berahsia dari sekecil-kecil hal sehinggalah yang lebih besar.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bila Isteri Mengungkit, Bukan Tidak Ikhlas Berkorban Tapi Sekadar Mengingatkan Suami
Baca juga: Hebatnya Penangan Air Yassin Untuk Suami Isteri, Penawar Masalah & Menguatkan Kasih Sayang
Baca juga: Ingin Rumah Tangga Bahagia, Suami Isteri Perlu Sentiasa Lakukan Perkara Ini Setiap Hari!