Siapa sahaja tidak suka makan telur? Selain rasanya yang enak, ia merupakan sumber protein yang mudah diperolehi. Namun, jangan tidak tahu akan risiko bahayanya sekiranya anda mengambil secara berlebihan atau makan telur yang sudah rosak!
Zaman sekarang boleh dikatakan hampir setiap rumah menyimpan ‘stok’ telur di dalam peti sejuk sebagai bahan penyelamat ketika ibu ingin menyediakan hidangan makan keluarga.
Risiko makan telur rosak & serangan kuman Salmonella
Tidak dinafikan telur ayam adalah antara makanan wajib ada dan sering dimakan setiap hari. Namun, sejauh manakah pengetahuan anda tentang telur yang disimpan tersebut selamat dimakan dan tidak berbau?
Setelah membeli telur, jangan melakukan kesilapan. Anda dinasihatkan untuk tidak membasuhnya sebelum memasukkan ke dalam peti sejuk dan jangan simpan terlalu lama sehingga telur mengalami tamat tempoh.
Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa kulit telur terdapat protective bloom yang dikatakan dapat melindungi daripada terdedah kepada satu jenis bakteria iaitu salmonella.
Ia adalah sejenis bakteria yang boleh hidup di kulit, dalam kuning telur atau putih telur. Sekiranya telur berkenaan telah dibasuh lebih awal, bermakna pori-porinya telah pun terdedah kepada bakteria.
Bayangkan sekiranya bakteria jahat ini telah termasuk dalam telur yang anda ambil? Pastinya berlaku gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah.
Menurut laman web Telur Edible, tidak hanya salmonella, telur yang rosak turut ‘menjemput’ jenis bakteria yang dipanggil sebagai pseudomonas. Ia akan menyebabkan telur tukar menjadi hijau kebiruan bagi menyebabkan bau masam.
Kes maut disebabkan oleh puding buih
Semalam seluruh negara digemparkan dengan khabar yang mendukacitakan apabila seorang mangsa keracunan puding buih bertarung nyawa 10 hari di unit jagaan rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), akhirnya meninggal dunia.
Wanita berusia 25 tahun berkenaan dikatakan menghembuskan nafas terakhir apabila dia menghadapi masalah multiorgan akibat kejutan sepsis.
Difahamkan, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya sebelum ini dimasukkan ke hospital yang sama selepas mengalami keracunan akibat makan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu.
Sebelum ini, seramai 99 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang telah dikejarkan ke HSNZ kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli mereka.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan oleh telur yang digunakan dalam pembuatan puding buih membawa kepada kes keracunan makanan.
Pihak Jabatan Kesihatan Terengganu telah menyeru semua peniaga makanan di seluruh negara untuk menitikberatkan aspek kesihatan terutamanya melakukan pemeriksaan kesihatan dan bersih dari sebarang penyakit.
Bukan itu sahaja, elak menggunakan barang yang sudah tamat tempoh kerana boleh memberi kesan buruk terhadap nyawa manusia. Penyakit yang anda nampak biasa, sangat berisiko tinggi membawa maut.
Cara mengenalpasti telur yang sudah rosak
Apabila menyimpan telur di dalam peti sejuk, jangka hayat telur dikatakan hanya 2 hingga 5 minggu sahaja. Sekiranya terlebih jangka masa ini, ia mungkin tidak selamat untuk makan telur sebagai menu hidangan anda.
Periksa bahagian pek telur untuk mengetahui tarikh luput iaitu baik digunakan sebelum tamat tempoh. Sebenarnya ia masih boleh digunakan sehari atau dua selepas tarikh berkenaan, namun sesuai untuk jenis masakan rebus atau membuat kek sahaja. Berikut adalah cara untuk mengetahui telur yang sudah rosak:
#1. Menggunakan lampu
Cara mudah yang anda boleh lakukan ialah dengan menghalakan lampu atau cahaya terang pada telur. Ini memudahkan anda untuk melihat bentuk bulat kuningnya.
#2. Lihat bahagian kuning dan putih telur
Menurut laporan media Indonesia, cara terbaik adalah dengan membuka telur dan lihat keadaan kuning dan putihnya. Telur yang sudah rosak akan memiliki bahagian putih yang cair serta tidak kental.
#3. Aroma
Selain cara diatas, anda boleh menghidu aroma telur. Caranya adalah mengambil mangkuk kecil dan pecahkannya. Telur yang masih baik tidak mengeluarkan bau yang menyengat, manakala telur sudah rosak akan memiliki bau hamis dan busuk.
#4. Rendam dalam air
Teknik lain adalah dengan merendamkan telur di dalam air. Caranya adalah dengan mengambil gelas yang berisi air dan masukkan telur.
Jika telur terendam sehingga ke dasar gelas, ia bermakna telur sangat segar. Sekiranya masih rendam dan berdiri di atas satu hujung di bahagian bawah mangkuk, bermakna ia masih boleh dimakan.
Tetapi jika ia terapung ke permukaan, maksudnya telur itu sudah tidak lagi segar, busuk dan tak boleh dimakan.
Sumber: Koleksi Viral, Warga Kota, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comalergi-protein