Pentingnya anak-anak mendapat perhatian yang cukup daripada ibu bapa sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Ia mampu memberi efek dalam membentuk perkembangan seorang anak itu. Malah maksud kasih sayang itu sendiri adalah dengan beri sepenuh perhatian agar si kecil nanti membesar dengan keperibadian yang sempurna.
Menurut kajian, bapa yang bermain bersama anaknya sedari kecil akan memberi impak pada emosi kanak-kanak apabila besar nanti.
Malah peranan bapa juga penting dalam membentuk toleransi anak apabila dewasa nanti. Berdasarkan kajian juga, bapa yang bermain ‘wrestling’ dengan anak, dapat menjadikan dia seorang yang empati dan mudah bertoleransi dengan orang.
Bina toleransi
Maksud kasih sayang juga adalah bagaimana seorang ayah itu dapat membentuk personaliti anaknya nanti. Lagi-lagi dari segi emosi!
Kanak-kanak yang kerap bermain dengan ayahnya ketika waktu bayi lagi didapati mudah untuk mengawal emosi dan kelakuan mereka sebaik melangkah ke alam persekolahan.
Kajian dari fakulti pendidikan Cambridge University’s telah menyasarkan pada bagaimana ibu dan ayah bermain dengan anak-anak mereka yang berusia antara 0 hingga 3 tahun dan bagaimana ianya mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
Memang punyai banyak persamaan, namun keputusan menunjukkan pergaulan fizikal dengan si ayah lebih memberi impak, contoh seperti berlawan, menggeletek, kejar-mengejar, berdukung belakang. Semua ini membawa hasil kepada emosi dan kelakuan yang lebih terkawal.
Masa main yang berkualiti
maksud kasih sayang juga tidak terhad kepada perhatian semata. Walaupun bapa-bapa diluar sana memang setiap hari bermain dengan anak mereka, namun aktiviti fizikal yang lebih lasak atau lebih pergerakan dapat memberi impak yang lebih.
Anak-anak yang mendapat masa main berkualiti bersama ayahnya didapati kurang memberontak, tidak hiperaktif dan sentiasa bijak mengawal emosi. Mereka kurang melepaskan kemarahan atau kekecewaan mereka kepada kanak-kanak lain.
Kata Paul Ramchandani, Profesor permainan dalam pendidikan dan pembelajaran di Universiti Cmabridge merangkap salah seorang penulis dalam kajian ini, “permainan fizikal mewujudkan situasi yang seronok dan teruja pada kanak-kanak yang mana mereka sendiri perlu pandai mengawalnya.
Mereka perlu bertindak untuk mengawal keadaan tersebut jika keadaan menjadi tidak terkawal, contohnya jika si ayah terpijak kaki si kecil tanpa sengaja, ia tidak mengapa.
Ia adalah satu persekitaran selamat yang mereka boleh belajar jika sesuatu berlaku diluar kawalan. Jika mereka memberi respon yang salah, si ayah sentiasa boleh memperbetulkan keadaan. Jadi di kemudian hari, anak-anak sudah tahu bagaimana untuk respon.”
Bagi kanak-kanak yang tidak berbapa
Untuk anak-anak yang hanya dibesarkan oleh ibunya tidak bererti akan menjadikan anak lebih hiperaktif dan tidak pandai mengawal emosi.
Apa yang penulis tekankan di sini adalah kepelbagaian dalam permainan fizikal. Selalunya si ayah yang akan bermain lasak bersama anak-anak. Jadi untuk ibu-ibu juga boleh menerapkan permainan fizikal yang kerap untuk si kecil membesar dengan sihat.
Antara permainan bersama si kecil yang boleh dicuba:
#1. Baru lahir hingga usia 6 bulan
Cara paling mudah untuk bermain bersama bayi ketika usia ini adalah dengan memberikan respon setiap kali dia tersenyum. Melalui ekspresi muka dan suara anda, ia dapat membantu melatih kemampuan sosial dan emosinya.
Untuk menjadikan permainan anda lebih interaktif anda boleh membuat bunyi atau suara seperti si manja anda. Bunyi yang familiar akan kelihatan seperti anda sedang berborak bersamanya.
Apabila si kecil berusia beberapa bulan, anda boleh bermain bersama bayi dengan menunjukkan mainan yang mempunyai warna kontra dan tekstur berbeza. Letakkan si kecil pada kedudukan yang selesa dan membolehkan si manja melihat perkara yang berlaku di sekelilingnya.
#2. Usia 7 hingga 12 bulan
Pada ketika ini, biarkan si kecil untuk merangkak dan bergerak dengan bebas. Namun, pastikan persekitaran permainan yang selamat.
Sekiranya si manja menjatuhkan sesuatu permainan, cuba dekatkan mainan tersebut agar ia boleh mengambilnya sendiri. Anda juga boleh menggunakan cermin untuk membolehkan si kecil melihat ekspresi wajahnya sendiri.
#3. Usia 1 hingga 2 tahun
Pada tempoh ini, anda harus memberikan si kecil ruang untuk meneroka dunia. Anda boleh memberikan si manja mainan blok kayu (wood block), biar dia membina blok kayu dua tingkat.
Sebaiknya elakkan daripada memberi sebarang gajet kepada si kecil untuk mengajaknya bermain bersama. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlaku ketagihan gajet kepada si manja. Dan ketagihan gajet juga mampu membuat percakapan anak anda lewat.
Anda juga boleh membiarkan si manja untuk bermain dengan bayi seusia dengannya. Selain, itu anda juga boleh mengajar si kecil bermain permainan pretend play seperti makan, minum, tidur dan sebagainya.
Sumber: theguardian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Anak Seiras Wajah Ayah Memiliki Tahap Kesihatan Yang Baik, Benarkah? Ini Ulasannya!