Dalam meneruskan hidup, duit adalah perkara utama yang memiliki nilai untuk mendapatkan sesuatu keperluan. Kebiasaannya orang lelaki akan keluar mencari nafkah bagi menyara keluarga. Namun, ada hal yang menyedihkan apabila terdapat segelintir daripada mereka malas bekerja dan hanya mengharapkan orang lain!
Dunia sekarang semakin mencabar ekoran peningkatan kos sara hidup. Berlainan dengan situasi yang dihadapi wanita ini apabila dia terpaksa menggalas peranan sebagai ketua keluarga.
Sifat malas bekerja, menyusahkan orang
Difahamkan wanita berkenaan telah berkongsi luahan hati melalui mesej yang dihantar oeh seorang guru di laman Facebook, Mohd Fadli Salleh untuk mendapatkan pandangan kerana sudah tidak tahan dengan semua dilaluinya sehingga kini.
Melalui mesej yang telah dikongsi semula, wanita tersebut berkata dia mengalami rasa tertekan akibat sikap 3 orang adik lelakinya yang tidak bertanggungjawab mencari kerja dan hanya bergantung harap pada dirinya.
”Saya wanita berusia awal 30-an, belum berkahwin dan tinggal bersama abah setelah arwah ibu tiada. Dalam satu rumah juga ada 3 orang adik lelaki yang masih bujang,”
”Mereka tidak ada kerja tetap dan malas bekerja. Hal yang memenatkan ialah saya perlu menanggung segala makan minum ahli keluarga serta belanja rumah. Ayah pula membayar bil-bil untuk menampung apa adanya,” luahnya.
Tambahnya lagi, dialah yang perlu memasak, mengemas, menyediakan keperluan ayah dan duit belanja kerana hanya dirinya memiliki pekerjaan tetap.
”Selama ini saya hanya ikhlaskan sahaja. Tapi lama-kelamaan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan pun terjejas dan membuatkan saya dilanda kemurungan setelah mengenang sikap adik-adik,” tulisnya.
Tiada ikhtiar untuk memajukan diri
Bukan hanya sekadar tiada rasa tanggungjawab untuk mencari pekerjaan, malah dia amat kecewa apabila adik-adiknya terlalu berkira apabila diminta membantu ayah mereka apabila tiba tarikh waktu temu janji dengan doktor di hospital.
”Segalanya mengharap dekat saya. Sampaikan sehingga sekarang saya tidak sanggup untuk berkahwin kerana risau membiarkan ayah tinggal bersama mereka,”
”Mereka sangat pemalas, hanya menghabiskan masa dengan tidur sepanjang hari, suka duduk dalam keadaan bersepah dan busuk. Situasi ini telah membuatkan saya stres kerana perlu mengerahkan lagi keringat, apatah lagi musim PKP ini hanya tinggal di rumah,” luahnya.
Bukan itu sahaja, wanita ini turut mengakui bahawa beberapa kali dia meminta ayahnya untuk menasihati ketiga-tiga orang anaknya, namun hasilnya tetap mengecewakan.
”Saya tidak menafikan mungkin faktor salah dalam mendidik membuatkan mereka jadi kurang bertanggungjawab. Ayah juga sudah terbiasa membiarkan mak melakukan sendiri kerja-kerja rumah dan suami pula dilayan ibarat seorang raja,”
Kisah yang dilalui wanita ini mungkin nampak kecil di mata sesetengah insan, namun sebenarnya situasi berkenaan boleh dielakkan sekiranya ibu ayah menyemai nilai-nilai murni sejak mereka masih kecil.
Hapuskan budaya anak lelaki ‘raja’ di rumah
Melalui perkongsian pendapat tentang permasalahan ini, Mohd Fadli berkata sudah tiba masanya budaya menjadikan lelaki sebagai ‘raja’ diubah.
”Sebenarnya masih ada lagi adat dan budaya ini diamalkan di banyak tempat. Asal melibatkan kerja rumah, ia adalah bidang tugas perempuan. Cuci pakaian, jemur baju, angkat jemuran, mop lantai, lipat baju dan segala macam kerja rumah, ibu ayah akan menunding jari kepada anak perempuan,”
”Sedangkan anak lelaki pula seronok menghabiskan masa menonton televisyen atau bermain telefon pintar. Dan perkara ini jika tidak ditegur dan dikawal oleh ibu ayah, ia adalah silap besar dari anda sendiri,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sudah berapa ramai wanita mengeluh dapat suami pemalas yang hanya tahu goyang kaki di rumah tanpa ada rasa bersalah. Malah, mereka tidak langsung membantu meringankan bebas seorang isteri.
Ujarnya lagi, jika ibu ayah masih menatang minyak yang penuh anak lelaki dan tidak membentuk keperibadian mereka sejak kecil, kebarangkalian anak-anak ini untuk menjadi raja di rumah adalah sangat tinggi.
”Kitaran itu tidak akan berhenti selagi anda tidak memulakan perubahan ini. Ayuh segera sedar ibu ayah, didik anak-anak lelaki untuk sama-sama melakukan kerja rumah!” tegasnya.
Sumber: Mstar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkonflik-keluarga