Menjadi ibubapa bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi menjadi ibubapa yang baik dan cemerlang dalam mendidik anak-anak kerana setiap anak mempunyai personaliti yang berbeza. Pendekatan ibubapa dalam mendidik anak-anak juga adalah sangat mencabar dan menghadapi kegagalan itu sudah menjadi lumrah bagi setiap mereka yang bergelar ‘IBUBAPA’
Saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman dan cabaran mengatasi masalah keibubapaan yang pernah saya alami. Di usia yang sangat muda saya sudah bergelar sebagai seorang ibu. Saya akui berumahtangga pada usia 19 tahun sekaligus menjadi seorang ibu memang bukanlah sesuatu yang mudah. Sejak dari kandungan, melahirkan dan sehinggalah anak mencapai umur yang matang masalah utama yang saya hadapi adalah kekurangan ilmu pengetahuan dalam mengurus dan mendidik anak-anak. Bagaimana cara saya mengatasi masalah ini? Adalah dengan cara memperluaskan lagi ilmu tentang keibubapaan agar kita dapat mendidik anak-anak dengan cara yang benar. Zaman teknologi yang canggih kini kita boleh mendapatkan banyak sumber pengetahuan daripada ilmuwan bertauliah kerana pada pendapat saya perkembangan tumbuh besaran seorang anak itu bergantung pada cara didikan kedua orang tuanya. Bak kata pepatah ‘ melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Tugas mendidik anak adalah satu proses yang berterusan mengikut fasa bertambahnya umur mereka. Setiap peringkat umur anak terlalu banyak proses yang ditunjukkan oleh mereka seperti perubahan emosi,mental dan sosial. Sebagai ibubapa kadangkala kita tidak peka dan lalai dengan perubahan yang terjadi pada anak-anak. Kita gagal untuk memahami dan menguasai emosi mereka. Terutama sekali apabila kita mempunyai lebih daripada seorang anak, pengalaman ini mengajarkan saya bahawa setiap layanan kepada anak harus diberikan sama rata. Jangan biarkan anak merasa seperti dipulaukan dan dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Perasaan pilih kasih yang dirasakan anak akan menimbulkan gangguan kepada emosi dan mental mereka seperti merasa tidak disayangi dan tidak dihargai.
Sebaiknya, kita sebagai ibubapa juga perlu persediaan emosi,mental dan fizikal yang cukup kerana jika kita gagal mengawal emosi pastinya anak-anak tempat kita melampiaskan kemarahan. Saya pernah merasakan di mana apabila keadaan fizikal dan mental kita terlalu letih kita mudah marah dan memukul anak. Setiap yang dilakukan anak selalu salah dimata ibubapa. Seharusnya kita yang perlu melindungi dan merawat anak dengan baik kerana mereka hanya bergantung kepada kedua orang tuanya. Oleh itu, saya sarankan sekiranya anda menghadapi situasi seperti ini banyakkan munasabah diri, dapatkan bantuan daripada mereka yang benar-benar berpengalaman dalam isu seperti ini dan yang paling terpenting adalah sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Bahagiakan diri sendiri agar anak-anak turut merasa kebahagiaan itu.