Jangan Meremehkan Penyakit Rotavirus!

Usah sesekali mengambil mudah jika anak mengalami demam, selsema, batuk mahupun sakit perut kerana dengan sistem imun yang belum berkembang sepenuhnya kanak-kanak mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Sebagai ibu bapa, terutamanya bagi mereka yang baru mempunyai anak, kadang-kadang anda pasti keliru sama ada masalah kesihatan anak anda adalah sesuatu penyakit biasa atau sesuatu yang perlu dirunsingkan. 

Cirit birit dan muntah-muntah adalah antara masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh kanak-kanak dan bayi1. Namun begitu, perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh ibu bapa kerana kemungkinan besar ianya adalah penyakit Rotavirus. Penyakit Rotavirus ini adalah penyakit yang biasa dialami kanak-kanak dan dianggap serius dan berbahaya terutamanya untuk bayi2, tetapi masih ramai ibu bapa yang memandang ringan tentangnya. 

Kami telah menemu bual Doktor Pakar Kanak-kanak dari FirstStep Child Specialist Clinic, Dr. JoAnn Rajah untuk memberikan penerangan lanjut supaya ibu bapa lebih jelas dan peka tentang penyakit Rotavirus. 

Soalan: Sebelum kami fokus pada topik Rotavirus, bolehkah doktor kongsikan beberapa penyakit yang biasa menjangkiti kanak-kanak yang secara lazimnya tidak berbahaya tetapi tanpa penjagaan/pencegahan yang baik boleh mengancam nyawa?

Dr. JoAnn Rajah: Disebabkan sistem imun mereka yang belum matang, kanak-kanak kecil lebih mudah terdedah kepada jangkitan. Beberapa penyakit biasa kanak-kanak termasuk selsema, sakit tekak, jangkitan telinga, jangkitan kulit, selsema perut (gastroenteritis), dan banyak lagi. Ibu bapa tidak boleh mengambil mudah keadaan ini kerana ia boleh membawa kepada komplikasi yang teruk jika tidak dirawat.*

Kenali Rotavirus

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan dan keradangan pada bahagian perut dan juga usus. Rotavirus adalah salah satu penyebab utama cirit birit dan muntah yang berlarutan di kalangan kanak-kanak3

Jika dilihat di bawah mikroskop, zarah partikel Rotavirus kelihatan seperti roda. Dari situlah virus ini mendapat namanya kerana ‘Rota’ bermaksud roda dalam bahasa Latin4.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Rotavirus sangat mudah menjangkiti kanak-kanak kerana sistem imun tubuh badan mereka masih belum matang. Menurut statistik, setiap kanak-kanak berumur 5 tahun pasti pernah dijangkiti Rotavirus sekurang-kurangnya sekali4

Justeru, ibu bapa tidak seharusnya mengambil mudah terhadap jangkitan Rotavirus, kerana kanak-kanak lebih terdedah kepada komplikasi dehidrasi sekiranya tidak mendapat rawatan segera2,3,4. Kehilangan banyak cecair badan boleh membawa maut terutamanya pada bayi.

Apakah Gejala Rotavirus?

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Virus ini mengambil jangka masa 48 jam sebelum menunjukkan gejala pada anak-anak anda5:

  • Cirit-birit yang berterusan5
  • Muntah yang teruk5
  • Sakit perut5
  • Demam5

Cara Penyebaran Rotavirus

Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan persekitaran dan pengendalian makanan serta minuman yang tidak bersih5. Apabila pengendalian kebersihan kendiri tidak dijaga dengan baik, seseorang yang telah dijangkiti virus boleh memindahkan virus melalui makanan, minuman dan barangan yang telah disentuhinya. Rotavirus merebak dengan mudah melalui hubungan tangan-ke-mulut5

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Jangkitan Rotavirus pada kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun4 paling mudah terjadi kerana sifat semula jadi mereka yang suka memasukkan objek ke dalam mulut.

Virus ini boleh hidup pada permukaan yang kering selama 10 hari dan pada permukaan yang basah selama berhari-hari atau berminggu-minggu6.

Kesan Rotavirus Pada Kanak-Kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2008, kira-kira setengah juta kanak-kanak mati akibat jangkitan Rotavirus dan telah menyumbang kepada kira-kira 5 peratus daripada jumlah kematian kanak-kanak di seluruh dunia4.

Di Malaysia, kira-kira 22% hingga 50% daripada kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh Rotavirus4. Ini sangat membimbangkan kerana cirit-birit dan/atau muntah yang teruk boleh mengakibatkan dehidrasi4. Tanpa rawatan segera, kanak-kanak dan bayi yang mengalami kekurangan cecair dan elektrolit di dalam badan mudah terdedah kepada komplikasi yang boleh mengancam nyawa3

Oleh itu, sekiranya anak-anak anda mengalami muntah-muntah dan cirit-birit, pastikan mereka minum air yang secukupnya. Dan walaupun tidak ada rawatan khusus untuk penyakit ini selain memastikan anak anda mendapat bekalan air yang mencukupi, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan klinikal sekiranya perlu.  

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Jangkitan Rotavirus boleh ditangani dengan lebih cepat bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi badan yang baik.

Soalan: Bolehkah doktor kongsikan pengalaman, sekiranya seorang kanak-kanak atau bayi itu dijangkiti Rotavirus, adakah dia boleh menyebarkan virus kepada ahli keluarga yang lebih tua seperti ibu bapa atau adik beradik yang lain?

Dr. JoAnn Rajah: Sudah tentu! Rotavirus boleh bertahan di permukaan objek selama beberapa hari, menjadikan kadar jangkitannya tinggi. Itulah sebabnya jangkitan rotavirus merebak dengan mudah bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga di hospital dan pusat jagaan kanak-kanak.*

Cara Mencegah Rotavirus

Soalan: Bolehkah doktor terangkan terutamanya kepada mereka yang baru sahaja menjadi ibu bapa apakah langkah-langkah berjaga-jaga yang patut diamalkan untuk melindungi anak-anak dari Rotavirus?

Dr. JoAnn Rajah: Tahap kebersihan yang baik, seperti mencuci tangan dan kebersihan persekitaran adalah penting untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan rotavirus. Bagaimanapun, kebersihan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mengawal penularan penyakit ini. Vaksinasi rotavirus adalah cara lain untuk melindungi anak anda daripada penyakit rotavirus.*

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kepentingan Vaksinasi

Dalam proses mereka membesar, anak-anak anda akan sentiasa terdedah kepada risiko penyakit berjangkit. Disebabkan itu, pakar-pakar kesihatan sentiasa menyarankan supaya ibu bapa peka terhadap jadual imunisasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Soalan: Terdapat perbincangan mengenai keberkesanan vaksin berbanding antibodi semula jadi, sebagai contoh, "antibodi yang terbentuk daripada vaksin adalah lebih baik daripada antibodi yang dihasilkan apabila kanak-kanak secara semula jadi terdedah kepada penyakit itu." Adakah kenyataan ini benar doktor? Bolehkah doktor jelaskan secara ringkas?

Dr. JoAnn Rajah: Pertama sekali, ibu bapa harus memahami bahawa walaupun mereka berusaha dengan cara terbaik untuk melindungi anak-anak mereka, pendedahan kepada virus atau bakteria tidak dapat dielakkan. Kedua-dua jangkitan semula jadi dan vaksinasi boleh membantu tubuh membina imuniti terhadap jangkitan ini. Walau bagaimanapun, imuniti melalui jangkitan semula jadi sering datang dengan risiko yang tinggi, iaitu perlu berdepan apa jua gejala penyakit dan komplikasi.*

Vaksin Rotavirus diberi melalui mulut. Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Soalan: Daripada pengalaman doktor, adakah doktor bersetuju dengan kenyataan bahawa masih ramai ibu bapa tidak memahami tentang Rotavirus dan risikonya?

Dr. JoAnn Rajah: Kini, dengan adanya internet dan peningkatan media sosial, ibu bapa lebih sedar tentang imunisasi Rotavirus. Namun, tidak ramai ibu bapa yang mengetahui cara pencegahan Rotavirus. Ibu bapa disyorkan untuk merujuk kepada doktor seawalnya untuk memahaminya lebih lanjut.*

Daripada penjelasan yang telah dikongsikan oleh Dr. JoAnn Rajah, para ibu bapa seharusnya mempertimbangkan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambilkan. Ini termasuklah penjagaan kebersihan dan vaksinasi yang sesuai.

Ibu bapa perlu sentiasa berpegang kepada prinsip, mencegah itu lebih baik dari merawat kerana kita tidak tahu sejauh mana ketahanan badan anak kita dalam melawan penyakit secara semula jadi. 

Soalan: Akhir sekali, bolehkan doktor simpulkan nasihat doktor untuk ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak daripada dijangkiti Rotavirus?

Dr. JoAnn Rajah: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan mengurangkan risiko jangkitan Rotavirus. Tambahan pula, vaksinasi merupakan salah satu cara pencegahan yang boleh ibu bapa ambil.*

*Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.

MY-ROT-00280 Oct/2022

REFERENCES:

  1. nidirect. Childhood illnesses. Available From: https://www.nidirect.gov.uk/conditions/childhood-illnesses. Last Accessed 30 Sep 2022.
  2. Centers for Disease Control and Prevention. Rotavirus. Available From:  https://www.cdc.gov/Rotavirus/index.html. Last Accessed 30 Sep 2022.
  3. Portal MyHealth. Rotavirus Infection. Available From:  https://www.myhealth.gov.my/jangkitan-Rotavirus/. Last Accessed 30 Sep 2022.
  4. Portal MyHealth. Rotavirus Vaccine. Available From:  https://www.myhealth.gov.my/en/Rotavirus-vaccine/. Last Accessed 30 Sep 2022. 
  5. Mayo Clinic. Rotavirus. Available From: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/Rotavirus/symptoms-causes/syc-20351300. Last Accessed 30 Sep 2022. 
  6. Ansari SA, Springthrope VS & Sattar SA. Survival and Vehicular Spread of Human Rotaviruses: Possible Relation to Seasonality of Outbreaks. Reviews of Infectious Diseases [Internet]. 1991(13);3.