Bayi Tak Berak 48 Jam Selepas Lahir Kerana Usus Gagal Berfungsi, Kini Pergi Buat Selamanya...

Baby Nuruddin disahkan menghidap Total Intestinal Aganglionosis, sejenis penyakit yang muncul 1 dalam 5000 bayi yang dilahirkan. Kini, si kecil ini telah pergi menghadap Maha Pencipta.

Biasanya bayi baru lahir akan berak selepas 24 jam dilahirkan ke dunia tapi berbeza dengan bayi yang diberi nama Nuruddin Mahmud ini kerana dia tidak berak hampir 48 jam kerana mengalami masalah usus.

Sampailah hari ketiga, bayi comel ini terpaksa dibedah untuk mengenal pasti penyakit yang mungkin dialami selain masalah usus itu.

Walaupun bersedih dengan keadaan si kecil ini, namun pasangan suami isteri ini tetap redha dengan ujian yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Bayi alami masalah usus selepas tak berak hampir 48 jam!

Menurut bapa bayi berkenaan, Nuruddin tidak berak selepas 48 jam dilahirkan. Kemudian dia diterbangkan ke Alor Setar sebab disyaki memiliki penyakit yang sama seperti kakaknya iaitu Hirschprung Disease. Terpaksalah mereka berkampung di hospital.

” Baby Nuruddin Mahmud sudah masuk ke bilik bedah untuk hari ketiga dalam hidupnya. Diharap semua berjalan lancar.

“Hari ini dapat berita dari pihak hospital di mana usus yang tinggal masih tidak berfungsi dan akan dimasukkan lagi ke bilik bedah buat kali kedua.

” Kemungkinan baby Nuruddin akan bergantung hidup dengan usus yang kurang dari 100cm.

” Buat masa ini, baby kami bergantung pada mesin dan bantuan pemakanan bagi tempoh yang sangat lama. Kemungkinan bertahun. Dahulu ingat kesihatan kakaknya yang paling teruk, rupanya adik lebih teruk. Ya Allah permudahkan urusan baby Nuruddin,”. katanya.

Baby Nuruddin lapar tak minum susu

 

Beliau menambah lagi…

” Buat masa sekarang, hanya puting menjadi peneman bila dia menangis. Menurut jururawat, mereka juga tak sampai hati untuk lekat salotep di puting tapi itu saja jalan yang ada. Kasihan Nuruddin lapar tak minum susu.

” Ya, aku yang dengar ini juga sebak. Alahai anak, seorang diri di sini. Rasa nak duduk di sini tapi Nuruddin dalam NICU bukan di wad biasa. Jadi, ibu bapa tak boleh jaga hanya datang melawat. Malah, yang boleh
masuk hanya ibu dan ayah sahaja.

“Doakan Nuruddin Mahmud dipermudahkan pembedahan untuk kali keempat. Berharap ada khabar gembira esok. Apapun, kami ibu dan ayahnya redha dengan apa yang berlaku dan berserah segalanya kepada Allah SWT,” tambahnya lagi.

Nuruddin didiagnosis dengan Total Intestinal Aganglionosis

Menurut ibu ayah baby Nuruddin, selepas seminggu mereka menerima keputusan rasmi dari makmal dan mengesahkan bayi mereka diagnosis dengan Total Intestinal Aganglionosis di mana kedua-dua ususnya iaitu usus besar dan kecil tidak mempunyai ganglion cell.

Saraf ini hanya ada sehingga ke perutnya sahaja dan selepas itu tidak ada saraf. Kes baby Nuruddin berbeza dengan kakaknya yag didiagnos Total Colonic Hirschprug Diseases iaitu keseluruhan usus besar tidak ada saraf.

Buat masa sekarang, baby Nuruddin telah dipindahkan ke wad biasa sementara nak bawa pulangnya esok.

Menurut pakar selepas pembedahan, masalah usus Nuruddin memang tidak berfungsi langsung. Jadi pasangan ini redha dan membuat keputusan untuk membawa pulang Nuruddin supaya dapat bersamanya di akhir hidupnya. Biarlah dia bersama kami sekeluarga.

Baby Nuruddin meninggal dunia

Semalam,bapa kepada baby berkenaan memuat naik status dan mengatakan baby Nuruddin telah menghembuskan nafas yang terakhir.

Allahuakbar berat sungguh ujian buat mereka. Si kecil ini dilahirkan pada 24 Disember 2019 dan meninggal dunia pada jam 2.16 petang pada 12 Januari 2020, semalam.

Inalillahi wainailaihi rajiun

“Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan sesungguhnya kepadaNya juga kita dikembalikan..”

Apa itu penyakit Hirschsprung?

Penyakit Hirschsprung adalah penyakit yang terjadi akibat cacat lahir pada sel saraf di usus bayi.

Pada keadaan normal, usus memiliki berbagai sel saraf sepanjang organ tersebut yang berfungsi mengatur kerja usus.

Tapi, sel saraf yang tidak memanjang sampai hujung usus membuatnya tidak dapat bekerja dengan baik dan menyebabkan pergerakan tidak sempurna. Akibatnya, terjadi penyumbatan pada hujung usus.

Punca-punca Penyakit Hirschsprung

  • Sel saraf berhenti berkembang sebelum semua bahagian usus memiliki sel saraf yang sempurna.
  • Kelainan ini hanya ditemukan pada 1 dari 5000 bayi yang dilahirkan.
  • Penyakit ini mungkin diturunkan daripada ibu bapa yang pernah mengalaminya.

Gejala pada bayi

  • Muntah warna coklat dan hijau
  • Pengeluaran najis yang banyak setelah pemeriksaan rektum dengan cara memasukkan jari ke dalamnya.
  • Cirit birit disusuli dengan darah
  • Perut bayi bengkak
  • Tiada nafsu makan
  • Mengalami gangguan pertumbuhan
  • Berak berdarah
  • Keluhan rasa sakit perut

Kami di theAsianparent Malaysia berharap ibu bapa baby Nuruddin tabah dengan apa yang berlaku. Percayalah si comel ini sedang menanti ibu bapanya di pintu syurga. Al-Fatihah.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Sumber: Fadhil Rodzi & Nur Azizah Mustakin, Hello Sehat 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga

https://my.theasianparent.comanak-sembelit