Mata Kerap Kabur Ketika Hamil, Jangan Ambil Mudah, Anda Berisiko Diserang Sawan!

Adakah anda pernah alami mata kabur ketika sedang hamil ini? Jika terlalu kerap, lebih baik rujuk doktor segera bagi elakkan diserang sawan!

Ketika hamil, macam-macam perkara ibu perlu peka. Mata kabur pun jadi satu perkara yang perlu diambil perhatian. 

Walaupun nampak remeh, mata kabur juga adalah salah satu tanda bahaya jika ia sering berlaku dan diambil mudah oleh ibu hamil. 

Bukan mahu menakutkan ibu hamil, tetapi lebih baik jika anda berwaspada dan bersedia bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku yang boleh memberi kesan kepada ibu mengandung dan juga bayi dalam kandungan.

Baca juga: Jika anda ada darah tinggi, ini 6 makanan yang patut anda makan

Mata kabur ketika hamil, salah satu tanda bahaya perlu diberi perhatian

Mata kabur Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Columbia Asia, Seremban, Dr Norintan Zainal Shah, mata kabur adalah simptom pre-eklampsia.

Simptom-simptom atau gejala-gejala pre-eklampsia boleh berlaku sebelum tekanan darah melonjak tinggi yang mana jika anda mengalaminya, pergi ke hospital dengan segera. Antara gejala lain termasuklah:

  • Sakit kepala atau migrain
  • Pening
  • Loya
  • Sakit ulu hati/ gastrik
  • Mata kabur
  • Muntah
Jadi disebabkan itulah pentingnya anda peka kepada sebarang perubahan diri yang berlaku ketika mengandung. Sawan boleh berlaku jika tekanan darah terlalu tinggi Mata kabur Sawan boleh berlaku pada wanita hamil. Ia disebabkan oleh masalah epilepsi, jangkitan di bahagian otak (encephalitis) dan ketumbuhan (tumor) di otak tetapi sebab utama berlakunya sawan ketika hamil adalah eklampsia.

Sawan eklampsia ini adalah satu kes kecemasan yang mana ia membahayakan ibu dan juga bayi di dalam kandungan. Ia berlaku secara tiba-tiba dan jarang sekali dapat diramalkan kejadiannya.

Apabila kecemasan sebegini berlaku di hospital, semua doktor pakar perbidanan, kecemasan, bius dan staf yang ada diperlukan dan akan bekerjasama melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan ibu yang mengalami sawan.

Disebabkan itu jangan tunggu lagi jika ada tanda kerana cuba bayangkan sawan berlaku di rumah. Bagaimana anda mahu menghadapinya seorang diri? 

Bagaimana sawan berlaku?

Ia biasanya berlaku kerana masalah tekanan darah tinggi kepada wanita mengandung. Jika ibu hamil itu memang sedia ada darah tinggi, risiko diserang eklampsia juga lebih tinggi.

Disebabkan itu, setiap kali rutin pemeriksaan setiap bulan, tekanan darah ibu mengandung adalah sesuatu yang diambil perhatian oleh doktor.

Dr Intan juga menasihatkan wanita mengandung supaya tidak mengeluh apabila bacaan tekanan darah mereka rendah dan beliau menasihatkan supaya tidak risau kerana bacaan tekanan rendah adalah perubahan normal sewaktu hamil.

Bacaan ini akan naik semua ke tahap tekanan darah normal selepas kehamilan merentasi minggu yang ke-20. 

Ketika tekanan darah tinggi, apa yang berlaku?

Mata kabur

Ketika ibu hamil mengalami tekanan darah yang tinggi, protein di dalam air kencing perlu diperiksa misalnya dengan menggunakan dipstik, jika ia 1+ atau lebih, keadaan ini dinamakan sebagai pre-eklampsia iatu keadaan sebelum berlakunya eklampsia.

Mengapa rawatan segera diperlukan dalam kes darah tiba-tiba naik tinggi atau pre-eklampsia? Ia kerana menyelamatkan nyawa ibu yang hamil tadi dan mengelakkan dari berlakunya sawan atau eklampsia.

Bacaan tekanan darah semakin tinggi sewaktu pre-eklampsia dan eklampsia dipercayai menyebabkan otak membengkak dan seterusnya mencetuskan sawan atau eklampsia pada ibu yang hamil itu.

Apakah kesan jika sawan berlaku?

Jika eklampsia berlaku, ibu akan menerima rawatan resusitasi dan ubat dimulakan untuk eklampsia dan darah tinggi. Setelah stabil, bayi akan dilahirkan walaupun usia bayi belum matang lagi.

Eklampsia adalah sawan yang berlaku hanya ketika wanita itu hamil. Bayi dan uri dalam kandungan adalah penyebabnya.

Untuk merawat dan menyelamatkan wanita tadi, 'penyebab' eklampsia perlu 'dilahirkan'. Kebanyakan kes eklampsia akan semakin pulih selepas kelahiran bayi tetapi ada juga kes-kes yang kritikal dan tidak pulih, malah meninggal dunia akibat eklampsia.

Ini adalah kerana eklampsia boleh menyebabkan komplikasi yang serius di dalam pelbagai organ seperti:

  • Pendarahan di otak / strok
  • Pendarahan yang tidak berhenti/ DIVC
  • Pendarahan di hati dan ginjal
  • Masalah paru-paru berair
  • Masalah jantung / kegagalan jantung
  • Koma
  • Meninggal dunia

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Sumber:Dr Norintan Zainal Shah

Baca juga: 11 Makanan Ini Bantu Ibu Hamil Tambah Darah, Bolehlah Ibu Cegah Anemia!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!