Ibu Rebah Sambut Mayat Anak, Ini 5 Soalan Wajib 'Interview' Bakal Pengasuh

Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuhnya di Skudai, Johor Bahru.

Hati ibu mana yang mampu bertahan jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tiba-tiba pergi begitu saja. Bagaimana ibu itu boleh bertenang jika yang disuakan kepadanya adalah mayat anak sendiri. 

Dihantar kepada pengasuh dalam keadaan sihat dan cergas, tetapi kepulangan disambut sebujur tubuh kecil yang sudah kaku. Ibu mana yang mampu berdiri tegak lagi saat menerima mayat anak sendiri.

Kejadian menimpa seorang wanita, yang rebah tatkala melihat mayat anaknya yang berusia 10 bulan meruntun hati sesiapa saja yang menyaksikannya.

Kosmo melaporkan seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia  dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuhnya di Skudai, Johor Bahru.

Rebah sambut mayat anak

Bapa kepada bayi berkenaan memaklumkan ketika beliau menghantar anaknya ke rumah pengasuh, bayi itu berada dalam keadaan baik, sihat dan cergas seperti biasa.

Bayi berkenaan dihantar bersama abangnya yang berusia 2 tahun ke rumah pengasuh berkenaan. Difahamkan pasangan suami itu sudah menggunakan khidmat pengaruh berkenaan sejak dua tahun lalu.

Selain mangsa, pengasuh berkenaan juga ada menjaga enam orang lagi kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia dua bulan.

Pengasuh tak maklum anak jatuh

Menurut Kosmo, bapa mangsa memaklumkan, beliau menerima berita yang menimpa anaknya daripada seorang rakan yang datang ke pejabatnya. 

Dia terkilan kerana tidak diberitahu sendiri oleh pengasuh kerana pengasuh itu mendakwa, mereka gagal dihubungi ketika kejadian berlaku.

“Saya mendapat tahu kejadian ini selepas kawan datang ke tempat kerja di Iskandar Puteri dan memaklumkan anak saya terjatuh.

“Saya mengambil isteri dan bergegas ke klinik. Sebaik tiba di klinik, isteri saya rebah dan lemah sebaik melihat tubuh Noah dibaluti kain putih.

“Pada mulanya saya dimaklumkan Noah terjatuh tetapi apabila tiba di klinik, dia (pengasuh) beritahu anak saya bangun tidur dalam keadaan sesak nafas dan lemah sebelum dibawa ke klinik,” katanya.

5 soalan wajib ‘interview’ bakal pengasuh

Pilih pengasuh bukan kerja main-main. Keputusan yang dibuat juga bukan simple yang boleh dipandang ringan dan diambil mudah begitu saja.

Menyerahkan anak kepada orang lain bermakna kita turut menyerahkan nyawa anak kepada mereka suka atau tidak, itulah hakikatnya. 

Mahu jaga sendiri, ada tanggungan yang perlu kita selesaikan. Disebabkan itu ramai ibu yang dilema, kerana meletakkan anak di pengasuh atau nurseri ibarat menyerah nyawa anak dan nyawa sendiri kepada orang lain.

Walau apa pun, mahu tidak mahu, jika ibu bekerja, kita terpaksa meletakkan kepercayaan kepada orang lain untuk menjaga anak kita.

Sebelum ‘serahkan’ anak pada pengasuh, ada baiknya kita selidik dulu apa yang patut supaya tidak menyesal di kemudian. Berikut adalah beberapa soalan yang boleh anda tanya kepada bakal pengasuh sebelum membuat keputusan menghantar anak anda.

#1. Berapa lama jadi pengasuh?

Ini soalan wajib tanya kerana pengalaman seseorang pengasuh penting dalam menentukan keselamatan anak anda ketika di bawah jagaannya.

Mungkin jika terlalu baru atau tidak pernah mengasuh anda boleh mempertimbangkannya tetapi jangan terlalu yakin, mungkin anda boleh pantau dulu beberapa hari untuk melihat sama ada dia benar-benar capable untuk jaga anak anda atau sebaliknya.

Lebih baik jika dia adalah seorang ibu, jadi dia tahu bagaimana untuk menguruskan anak anda kerana dia sudah mempunyai pengalamannya sendiri.

Jika nurseri berdaftar, biasanya penjaga mereka sudah terlatih yang mana mereka mendapat latihan pendidikan awal kanak-kanak sebelum berkhidmat di nurseri.

#2. Berapa ramai anak jagaan?

Ini juga soalan wajib anda tanya kepada pengasuh terutama yang persendirian. Bilangan anak jagaan yang terlalu ramai memungkin kurang fokus kepada anak anda.

Jika terlalu ramai, kebarangkalian untuk anak anda tidak diberikan perhatian sangat tinggi terutama ketika masih bayi.

#3. Aktiviti harian bersama anak jagaan?

Tanya bakal pengasuh apa aktviti sepanjang hari yang mereka lakukan dengan anak jagaan. Ini penting bagi anda mengetahui apa aktiviti yang bakal anak anda lakukan. Tidaklah asyik menonton TV saja.

#4. Bersediakah jaga anak saya?

Kedengaran pelik, tetapi ia adalah soalan wajib tanya bagi memastikan dia benar-benar bersedia menjaga anak anda dengan penuh kasih sayang.

#5. Berapa bayaran?

Sudah pasti ini soalan wajib. Perlu tahu adakah kena dengan bajet anda atau sebaliknya. Tapi ingat ya, sebagai ibu bapa jangan terlalu berkira dengan pengasuh, jika sudah jumpa yang baik, bertolak ansurlah. Tidak semua manusia sempurna.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Kosmo

Baca juga:

https://my.theasianparent.combayi-meninggal

Penulis

Lala Annuar