Salah satu kelemahan ibu bapa adalah apabila anak mula menangis. Tidak kiralah di rumah atau berada di tempat awam, sebaik anak mula menangis terus ibu ayah cepat-cepat pujuk. Sebenarnya ada eloknya jika anda membiarkan bayi menangis dan kanak-kanak yang cepat melalak bila terjatuh atau mahukan sesuatu.
Asalkan keadaan itu tidak membahayakan, tidak mengapa jika membiarkan bayi menangis atau kanak-kanak mengamuk. Bukanlah sesuatu yang buruk jika anda membiarkan mereka meluahkan emosi. Kerana ia hanya satu emosi sementara yang mana ia berkaitan dengan terkejut terutama sekali apabila mereka bermain dan kemudiannya terjatuh.
Menurut perkongsian portal ning salmah, menyatakan bahawa ibu bapa perlu peka dengan empat perkara yang membuatkan anak menangis. Dan ini antara tips untuk menanganinya.
Tips menangani anak menangis
#1. Bila terjatuh
Ini adalah situasi yang cukup biasa, untuk anak baru berjalan, untuk anak yang ligat berlari, memanjat sana sini. Jadi ibu ayah dalam memantau itu perhatikan sekiranya anak hanya menangis kerana terkejut apabila jatuh maka biarkan seketika, jangan terus berlari dan memujuknya.
Kerana ia dapat membantu anak memujuk diri sendiri apabila sesuatu berlaku. Ia boleh ajar anak agar lebih berdikari. Namun perlu pastikan jika betul-betul anak tidak mengalami kecederaan serius.
#2. Menangis atau merengek mahukan mainan
Ini kebiasaannya terjadi apabila di luar, jadi bagaimana nak kawal anak apabila berada di tempat awam? Macam biasa, biarkan. Dan biarkan saja orang nak cakap apa, bukan orang lain yang kena didik anak anda. Anda sebagai ibu bapa sendiri tahu bagaimana nak ajar anak, jadi tak perlulah dengar tanggapan orang lain.
Cuma jika ia menganggu ketenteraman orang, bawa anak anda jauh sikit dari orang ramai, dan biarkan dia menangis di situ. Bila keadaan kembali tenang, barulah anda jelaskan pada anak mengapa mereka tidak boleh memilikinya sambil memeluk erat mereka. Ingat, jangan sesekali tengking atau cubit anak ya, walaupun tahap kesabaran anda sudah tinggi menggunung.
#3. Anak tak mahu makan
Tidak kiralah di rumah atau di restoran. Jika anak menangis nak makanan ringan dan tak mahu makan apa yang anda masak. Biarkan. Mereka perlu tahu waktu makan perlu makan apa yang disediakan, bukan meminta jaja.
Jika anda beri juga jajan yang mereka mahu, ia akan menjadi satu kebiasaan bagi mereka. Dengan menangis pada waktu makan mereka akan dapat jajan. Jadi elakkan. Biar mereka menangis tidak makan, dan akhirnya apabila lapar mereka akan makan juga. Ia juga dapat elakkan pembaziran. Bila anak dah dapat jajan, mereka tak mahu makan sudahnya.
#4. Anak menangis bila kalah bermain
Ini selalu berlaku bagi anak lelaki. Sejak azali perangai mereka tidak suka mengalah, tidak boleh terima kekalahan dan sangat berdaya saing. Jadi apabila bermain sesuatu permainan, tak kiralah permainan video atau main monopoli ke, apabila kalah mereka akan meraung dan mengamuk. Walaupun elok sebenarnya mempunyai sikap anak yang berdaya siang, tapi setiap kali kalah nak mengamuk tak bagus juga.
Biarkan mereka meraung, dan bagi mereka masa untuk mereka terima kekalahan mereka itu. Ini dapat ajar mereka di dunia ini memang tidak selalu menang, dan kalah itu adalah adat dalam permainan. Jangan sesekali apabila anda bermain dan beri mereka menang dengan sengaja. Walaupun niat anda untuk mereka berasa puas hati dan meningkatkan keyakinan, tapi jika selalu sangat bimbang anda membesarkan anak yang egoist. Hati-hati.
Kebaikan biar anak menangis
Ini adalah untuk melatih mereka dengan menerima suatu kekecewaan itu dengan baik. Dan mereka selalunya menangis kerana ingin berkomunikasi dan meluahkan kekecewaan mereka. Jadi sekiranya mereka kerap menangis dan kerap juga ibu bapa pujuk mereka akan rasakan ia adalah sesuatu yang baik dan berkesan untuk mereka dapat apa yang mereka mahu.
Sedangkan mereka boleh berkomunikasi untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan dengan bercakap. Melainkan anda membiarkan bayi menangis, kerana bayi memang satu-satunya medium mereka untuk meluahkan selagi mereka tak boleh bercakap. Jadi sebagai ibu bapa anda perlu lebih bijak untuk mendidik anak-anak, mereka mungkin bijak atur strategi agar anda cair, tapi anda lagi bijak untuk tanganinya.
Sumber: Ning Salmah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comrotan-anak