Dalam mencari pengasuh anak, pasti ada beberapa kriteria yang diperlukan oleh setiap ibu bapa sebelum pengasuh tersebut diambil untuk mengasuh anak mereka.
Namun begitu, disebabkan kriteria yang ditetapkan oleh seorang ibu ini, Mimie Syabat, beliau dikecam hebat!
Beliau akhirnya berkongsi perasaan kecewa ini apabila post mencari pengasuh anak itu disindir dan diperlekehkan oleh pengasuh yang lain. Ikuti nukilan hati seorang ibu yang ingin mencari pengasuh anak nya ini…
Luahan hati ibu mencari pengasuh anak
Saya fikir berulang kali sebelum buat keputusan untuk tulis berkaitan ini. Tapi ini adalah masa terbaik untuk saya perkatakan sesuatu. Bersedia baca luahan saya yang panjang lebar ini.
Ini adalah dilema besar seorang wanita bergelar ibu yang mempunyai kerjaya.
Antara ANAK dan KERJAYA yang mana menjadi pilihan dan keutamaan?
Tolong faham, semua ibu memang akan memilih anak berbanding kerjaya tapi dalam keadaan ekonomi sekarang, saya perlu melakukan sesuatu untuk keluarga terutamanya bayi saya.
Suami mampu sediakan semuanya untuk kami sekeluarga tapi saya telah laburkan 24k untuk dapatkan segulung ijazah dan berazam suatu hari saya akan bantunya demi keluarga.
Tambahan pula hidup di bandar serba-serbi mahal.
Semua ibu juga mahu dan mengharapkan yang terbaik untuk anak mereka. Jadi saya tahu dan perlu lakukan sesuatu untuk masa depan anak. Percayalah, ini keputusan yang bukan mudah untuk dilakukan.
Pergi kerja, otak mesti fikirkan anak. Mesej pengasuh berkali-kali tanya pasal anak. Nasib baik pengasuh memahami.
Kadang-kadang sampai tak boleh fokus kerja. Hanya fikir anak dan wajib tengok gambar serta videonya.
Lepaskan rindu dulu baru boleh sambung kerja. Baru beberapa jam anak tak ada depan mata dah rindu.
Minggu pertama hantar anak pada pengasuh, dia reject botol susu. Tengah hari masa lunch hour terus ke tempat pengasuh untuk susukan anak.
Kemudian, balik ke pejabat, menangis fikirkan anak. Syukur sangat dapat pengasuh yang baik dan memahami. Sentiasa pujuk dan ikhtiar bagi Sofea minum susu. Akhirnya, dia minum juga walaupun ambil masa.
Bila hantar anak ke pengasuh, setiap hari saya akan minta maaf dengan anak.
“Sofea, mummy kena pergi kerja, jadi anak yang baik ya”
Balik kerja pula mesti tepat pukul enam. (sebelum ini jarang balik on time kadang kadang pukul 8 baru dapat balik rumah).
Kemudian, terus balik rumah sebab nak ambil anak. Ada ketikanya kerja tak habis lagi, jadi balik rumah malam sambung buka laptop buat kerja semula selepas anak tidur. Tak kisah, asalkan anak sudah di depan mata.
Pernah terfikir untuk berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa. Tapi kami tak akan mampu sediakan yang terbaik untuk anak kami.
Dari rumah apartmen kos sederhana kami berpindah ke rumah teres untuk berikannya persekitaran yang terbaik bagi perkembangan anak.
Bahkan, kami telah rancang segalanya untuk masa depannya nanti terutama lepas graduated suatu hari nanti.
Sebab itu kami ingin berikan pendidikan yang terbaik untuk anak kami. Sebab KAMI SAYANG ANAK KAMI.
Jangan anggap ibu-ibu bekerja ini hanya fikirkan kerjaya supaya ada duit sendiri untuk shopping tapi dalam minda kami hanya untuk anak dan keluarga kami. Ada lebih baru fikir untuk diri sendiri.
Cabaran mencari pengasuh anak
Cabaran terbesar bila bekerja ialah mencari pengasuh anak. Dengan macam-macam kes yang berlaku sekarang, setiap kali dalam solat akan minta
“Ya Allah lindungilah anakku, lindungilah anakku, lindungi anakku…”
Mencari orang yang ikhlas menjaga anak kita bukan atas dasar duit semata-mata bukanlah sesuatu yang mudah. Sebulan mencari akhirnya dapat juga. Alhamdulillah Allah permudahkan semua urusan.
Tapi sebelum dapat pengasuh ini, banyak yang berlaku sedih dengan mentaliti sesetengah masyarakat yang MATA DUITAN.
Maaf cakap, sebab inilah orang-orang sebegini tak maju. Saya tak sebut berapa saya bayar untuk menjaga anak saya.
Sudah tulis harga boleh dirunding asalkan memenuhi kriteria yang diberikan. Tapi lihatlah reaksi yang diberikan. Andai kata letak bayaran RM1.5k di post mesti komen murni-murni saja.
Dari sini kita boleh nilai bezanya orang yang ikhlas menjaga anak atau hanya duit semata-mata. Saya kongsi ini supaya boleh menjadi pengajaran buat yang lain juga bukan niat memburukkan sesiapa.
Kriteria mencari pengasuh anak
1. Bebas rokok
Keluarga saya dan mertua tiada yang merokok. Kami tidak dibesarkan dalam suasana ada orang merokok jadi kami sangat sensitif dengan rokok.
Kami mahu besarkan anak kami dalam keadaan yang sama demi kesihatannya.
2. Bebas kucing
Saya memang pencinta kucing. Tapi saya alergi kucing. Sama juga dengan suami. Kami berdua alergi kucing.
3. Menjaga anak kami seorang atau maksimum dua orang sahaja
Hanya ibu atau yang pernah mengasuh tahu dan faham penatnya melayan ragam budak. Sebab itu ada pengasuh hanya jaga seorang atau maksimum dua orang.
Maka, orang ini yang kami cari. Mereka menjaga sikit budak bukan atas dasar duit tapi sebab rindukan kemeriahan rumah dengan budak-budak.
Anak sudah besar dan masing-masing keluar rumah sunyi tak ada peneman jadi ada yang menjadi pengasuh supaya ada anak kecil sebagai peneman kesunyian di hati.
Alhamdulillah kami berjaya dapat seorang yang memenuhi kriteria diminta. Syukur tak terhingga.
“Ya, Allah permudahkan urusan kami dalam menjaga amanahmu ini. Kau lindungilah anakku dari orang yang zalim. Kau limpahkanlah anakku dengan kasih sayang dalam hidupnya. Semoga anakku membesar menjadi seorang yang mendengar kata dan sentiasa mentaati perintahmu. Amin”.
Anak perempuan kesayanganku, jika suatu hari nanti kamu membaca ini. Saya ingin kamu tahu bahawa mummy dan daddy melakukan ini untukmu dan untuk masa hadapanmu supaya kami dapat berikan yang terbaik…
*************
Apa perasaan anda, adakah patut ibu ini diperlekehkan atas kriteria mencari pengasuh anaknya itu?
Marah dan geram, kan bila baca setiap komen yang diberikan pada wanita ini. Bagaimana pula dengan anda? Jika ada sebarang komen lontarkan di ruangan bawah.
Semoga kisah ini menjadi teladan dan pengajaran untuk kita semua.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Mimie Syabat
Baca juga: