Sifat kanak-kanak sememangnya lebih gemar bermain dari aktiviti seperti membaca, kerana pada mereka, ia adalah membosankan. Namun sebagai ibu bapa, kita haruslah cuba menerapkan sikap suka membaca pada anak-anak, kerana membaca adalah jambatan ilmu.
Mendidik anak sukakan buku adalah satu cabaran buat ibu bapa. Ada kalanya sampai ibu bapa mati akal bagaimana hendak memujuk anak untuk sukakan bkuu.
Tetapi, ia bukanlah sesuai yang mustahil. Mungkin tips-tips ini boleh memupuk sikap sukakan buku pada anak-anak anda.
1. Menunjukkan contoh
Anak-anak adalah cermin ibu bapa mereka. Mereka akan mencontohi amalan ibu bapa mereka. Pernahkah anda melihat anak anda meniru gaya anda bersolat atau gaya anda memakai kasut. Ini semua kerana anak-anak melihat ibu bapa mereka sebagai idola mereka.
Jadi, dengan menunjukan minat pada ilmu, seperti selalu mencuri masa untuk membaca buku di hadapan anak-anak, mereka akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama.
Begitu juga sebaliknya, jika ibu bapa lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau bermain permainan video, mereka akan terdorong untuk minat perkara yang sama.
2. Wujudkan sudut membaca
Bak peribahasa melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, maka sedari usia anak masih muda, pupuk minat anak dengan buku-buku. Sediakan sudut membaca yang menarik buat anak-anak. Terdapat pelbagai contoh sudut membaca yang boleh diikuti.
Hiasi sudut ini dengan warna yang ceria, susun atur yang selesa untuk anak anda habiskan masanya, serta jauh dari gangguan seperti televisyen, komputer atau permainan video. Pada mulanya mungkin anak anda akan lebih berminat dengan dekorasi ruangan tersebut, namun percayalah lama-kelamaan mereka akan terdorong untuk membaca bahan-bahan yang anda sediakan.
3. Amalkan waktu membaca
Selain mewujudkan ruangan membaca, gunakan ruang tersebut sebagai aktiviti harian. Misalnya sehari satu jam, ruangan tersebut akan digunakan sebagai waktu membaca. Seluruh keluarga berkumpul di ruangan tersebut dan bersama-sama habiskan masa membaca.
Ibu bapa boleh bergilir menjadi tukang cerita bagi menambahkan suasana ceria. Gunakan anak patung atau props semasa bercerita dari buku cerita.
Ia tidak terhad pada buku cerita, ibu bapa boleh lebih kreatif seperti menceritakan tentang astronomi dan alam semesta menggunakan bayang-bayang contohnya. Selain dapat mengeratan lagi hubungan kekeluargaan, ini dapat membuatkan anak-anak rasa seronok dengan buku.
4. Ganjaran
Sediakan ganjaran buat anak-anak supaya mereka lebih minat membaca. Contohnya, apabila mereka berjaya menghabiskan dua naskah buku, beri mereka peluang memilih sendiri buku baharu apa yang mereka mahu. Anak-anak mudah terdorong apabila mereka teruja. Dengan mengadakan ganjaran sebegini, mereka akan lebih teruja untuk membaca lebih banyak.
Ada banyak lagi cara ibu bapa boleh praktikan bagi menarik minat anak-anak untuk sukakan ilmu. Ini adalah antaranya. Selamat mencuba.