Suami Gembirakan Isteri & Tepati Setiap Janji Kerana Mereka 'Jantung' Rumah Tangga

Mengharungi perjalanan sebagai suami isteri memerlukan sebuah kejujuran. Jika anda menepati janji pastinya pasangan akan meletakkan kepercayaan yang tinggi

Kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga adalah dilengkapi dengan nilai tanggungjawab, kesetiaan dan kejujuran. Dalam hal ini, aspek menepati janji sering dipandang remeh bagi kebanyakan para suami.

Meneruskan kehidupan bersama insan yang dicintai adalah hal yang terindah bagi setiap pasangan.

Ada yang sudah menjalin hubungan bercinta sejak zaman sekolah dan pasangan berkenalan sekejap sahaja, terus mendirikan pernikahan.

Menepati janji dengan isteri

foto: baituljannah

Kehadiran seorang isteri diibaratkan sebagai pelengkap kepada kehidupan setiap lelaki. Manakan tidak, mereka adalah insan yang akan memastikan urusan rumah, anak-anak dan suami dijaga dengan baik.

Isteri juga adalah tempat anda bermanja dan mencurahkan sepenuhnya kasih sayang.

Justeru jika ada ujian yang menimpa dalam rumah tangga, pasangan suami isteri hendaklah bersama-sama untuk menjaga hubungan agar terus berkekalan sehingga ke jannah.

Menurut perkongsian dari seorang pengguna laman sosial Facebook Firdaus Shakiran, dia mengingatkan kepada para suami untuk sentiasa menghargai isteri dan tidak leka dengan tanggungjawab sebenar.

Tambahnya lagi, kegembiraan seorang isteri dapat membentuk sebuah rumah tangga yang bahagia kerana mereka mampu menaikkan seri terhadap hubungan.

Jangan sampai menyeksa perasaan 

Dalam usaha mengukir senyuman di wajah isteri, ia perlulah bermula dengan tindakan seorang suami.

Ketika berhadapan dengan situasi buntu, elakkan mengambil hati isteri dengan madah kata pujangga serta menabur pelbagai janji.

Tidak dinafikan, setiap perjanjian dibuat mampu mengubati hati isteri yang sedang terguris. Namun, pernahkah bertanyakan semula kepada diri adakah anda sanggup menepati janji tersebut?

Hal yang paling buruk lagi apabila anda sebenarnya telah menyeksa perasaan pasangan dengan pelbagai janji tetapi mampu untuk menunaikannya langsung.

Janji-janji palsu yang ditaburkan ini akan kekal tersemat dalam ingatan isteri. Ia adalah pahit untuk dilupakan sehingga boleh membuatkannya menjadi tawar hati.

Tindakan lebih bernilai dari kata-kata

credit to sources

Sedar ataupun tidak segelintir suami didapati sangat mudah berjanji kepada pasangan, namun tidak meletakkan sebarang usaha untuk menunaikannya.

Sebagai contoh, anda telah berjanji untuk berubah, tidak melepak, tinggalkan rokok atau tolong lakukan kerja rumah. Namun lama-kelamaan isteri berhadapan dengan kesalahan yang sama,

Kesannya setiap kali anda berjanji, pasangan akan menaruh harapan tinggi untuk melihat suami tercinta berubah ke arah yang lebih baik.

Jika anda pura-pura lupa, mereka akan berasa cukup kecewa dan sekaligus menghilangkan kepercayaan terhadap setiap kata-kata yang telah anda ungkapkan.

Oleh hal demikian, suami disarankan untuk mempertimbangkan terlebih dahulu sebelum mengatakan apa-apa ketika isteri sedang marah ataupun bersedih dengan kelakuan anda.

Sebaliknya, letakkan berusaha untuk membuktikan bahawa anda benar-benar ingin berubah untuk menjadikan hubungan rumah tangga lebih indah.

Isteri penyeri rumah tangga

credit to sources

Percayakah anda bahawa keluarga yang bahagia datangnya dari seorang isteri gembira? Hal ini kerana isteri adalah jantung untuk setiap rumah tangga.

Bayangkan sahaja tugas seorang isteri dan ibu adalah sangat mencabar, ditambah pula dengan tindakan anda yang kurang bertanggungjawab. Pasti membuatkan tekanan yang dihadapi mereka semakin bertambah.

Dari terbitnya matahari sehingga terbenam, segala keperluan anak dan suami ‘ditanggung beres’ menggunakan segala kudrat seorang isteri.

Bukan itu sahaja, ciptaan Allah yang terindah ini begitu unik. Perasaan yang dirasai oleh seorang wanita mampu memberikan kesan terhadap suasana di dalam rumah serta hubungan kekeluargaan.

Sekiranya mood isteri baik, maka tenang dan amanlah rumahtangga anda.

Namun jika dirinya sedang dilanda kekecewaan, ia membuatkan rumah tangga sedikit terjejas dan memberikan bahang kepanasan dalam hubungan suami dan anak-anak.

Suasana dalam rumah turut dirasai cukup berbeza dan seolah-olah tidak lengkap. Sekiranya isteri tiada di rumah, mungkin anda berasa sunyi dan berasa seperti kehilangan seseorang selalu kelam-kabut melakukan sesuatu.

Dialah insan yang mundar-mandir di hadapan televisyen, menjerit memanggil dari dapur, membuang segala kekotoran dan menghidangkan makanan.

Justeru, kuat pengaruh dan aura seorang isteri dalam sesebuah rumah tangga. Jika kalian mendapati suasana semakin suram atau tidak meriah, periksa semula keadaan isteri sama ada dia benar-benar gembira ataupun sebaliknya.

Lakukan komunikasi dari hati ke hati berdua dengannya sementara anda masih memiliki peluang untuk memperbaiki hubungan suami isteri yang tidak sempurna.

Sumber: Kashoorga

Kredit foto: Baituljannah

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Baca juga:

https://my.theasianparent.compenipuan-suami-pada-isteri