Terpaksa Dikeluarkan Dari Rahim Ibu, Pasangan Kembar Ini Meninggal Sejurus Dilahirkan

Mengandung kembar memiliki risiko dan komplikasi kehamilan. Kisah ini cukup menyedihkan apabila ibu ayah terpaksa mengorbankan pasangan kembar mereka

Tidak semua wanita bergelar ibu diberi peluang mengandung kembar. Jika ia berlaku, bersyukurlah kerana anugerah dan rezeki ini hanya diberikan kepada insan tertentu sahaja.

Walau bagaimanapun setiap kehamilan pastinya memberikan pengalaman berbeza. Sebahagian besar ibu mengandung kembar dapat menjalani kehamilan yang sihat dan ada juga terpaksa berdepan beberapa komplikasi sehingga boleh mengorbankan nyawa.

Terpaksa korbankan bayi ketika mengandung kembar

Menurut perkongsian oleh Mr Wan Chai Official di laman Facebook, dia menzahirkan rasa sebak apabila melihat kedua-dua bayi syurga ini. 

Sepertinya si abang dan si adik sedang nyenyak tidur bersama. Bayi kembar lelaki yang kami uruskan ini telah meninggal dunia sebaik sahaja 30 minit dikeluarkan dari rahim ibunya.

Terpaksa dikeluarkan demi menyelamatkan nyawa si ibu. Ketika ini, si abang dan adik sudah berusia 4 bulan dalam kandungan. Keputusan berat untuk melahirkan si kembar ini terpaksa dilakukan oleh doktor.

Hal ini kerana doktor mendapati kembar yang dikandung mempunyai masalah komplikasi. Jika tidak keluar, si kembar boleh membahayakan nyawa ibu mereka.

Bagi si ayah, membuat satu keputusan ini adalah sangat berat. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa. Kedua-duanya dia sayang.

Akhirnya, si kembar terpaksa dikeluarkan awal. Si ibu dan ayah memang tiada pilihan lain.

Mahu ataupun tidak, mereka perlu redha. Si kembar dikeluarkan tidak berapa lama selepas ubat disuntik kepada si ibu. Kedengaran suara tangisan setelah si kembar berjaya dilahirkan.

Walau bagaimanapun, tangisan yang kuat menjadi semakin sayup. Kemudian terhenti menandakan si kembar sudah tidak lagi bernyawa.

Si abang dan adik hanya mampu bertahan selama 30 minit. Berakhirnya impian si ibu dan si bapa.

Hajat untuk menimang cahaya mata kembar tidak kesampaian. Si abang dan adik memilih untuk menunggu ibu ayahnya di pintu syurga.

Dipinjamkan si kembar selama 4 bulan di rahim ibu. Dipanggil pulang apabila sifat yang ada telah cukup sempurna.

Telah kami sempurnakan pengurusan untuk kedua-dua kembar syurga ini. Si kembar dikebumikan di tanah perkuburan islam Kota Raja. Si abang diberi nama Muhammad Abu Bakar dan adiknya pula diberi nama Muhammad Omar.

Salam takziah buat kedua ibu bapa kembar wildan syurga ini.

Risiko mengandung kembar yang para ibu perlu tahu

credit to sources

Mengandung bayi kembar sememangnya memiliki risiko lebih tinggi berbanding kehamilan biasa. Dalam beberapa kes, kehamilan dua atau lebih janin boleh menimbulkan pelbagai komplikasi hamil kembar yang berbahaya.

Antaranya:

#1. Kekurangan zat besi (anemia)

Semua ibu mengandung berupaya mengalami anemia. Namun keadaan ini menjadi lebih berisiko untuk kehamilan kembar kerana ibu memerlukan lebih banyak zat besar.

Kekurangan sel darah merah akibat kekurangan zat besi ini boleh menyebabkan kelahiran pramatang. 

#2. Preeklampsia

Ibu yang mengandung kembar memiliki kecenderungan diserang preeklampsia ini dua kali lebih tinggi berbanding kehamilan biasa.

Preeklampsia boleh menyebabkan masalah tekanan darah tinggi, adanya protein dalam air kencing dan pembengkakan sewaktu hamil.

#3. Tali pusat terbelit 

Mengandung anak kembar turut tidak terkecuali dengan risiko terbelit tali pusat.

Sekiranya ini terjadi, perkembangan janin perlu sering dipantau terutamanya apabila kandungan memasuki trimester ketiga bagi mencegah bahaya yang lebih serius.

#4. Risiko pendarahan hingga keguguran

credit to sources

Risiko pendarahan sebelum atau semasa bersalin akan menjadi lebih tinggi pada kehamilan kembar. Selain itu, pendarahan yang banyak boleh menjadi petanda terjadinya VTS iaitu Vanishing Twin Sydrome.

Ia adalah suatu keadaan ketika satu atau lebih janin mengalami keguguran. Biasanya ia terjadi pada trimester pertama kehamilan dan lebih berisiko pada trimester berikutnya.

#5. Perkembangan yang lambat dalam rahim

Selain risiko yang dinyatakan di atas, janin juga berkemungkinan mengalami pertumbuhan lambat di dalam rahim (IUGR). Biasanya keadaan ini terjadi pada usia kehamilan 30 hingga 32 minggu bagi janin kembar dua dan 27-28 minggu bagi janin kembar tiga.

Antara penyebab ia berlaku ialah ketidakmampuan plasenta memberikan bekalan oksigen dan nutrisi pada janin.

Sumber: Mr Wan Cai Official, Sehat q

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Teringin Memiliki Anak Kembar? Ini 9 Tips Buat Bakal Ibu Mengikut Saranan Pakar!