Penipuan dalam perkahwinan? Tapi saya tidak menipu pasangan. Jadi, saya tak melakukan penipuan, kan? Salah! kami bukan bercakap tentang penipuan yang dilakukan oleh anda pada pasangan atau apa pasangan buat di belakang anda.
Kami bercakap tentang penipuan yang anda beritahu diri sendiri. Ya, ia penipuan dalam perkahwinan yang boleh meruntuhkan rumah tangga anda jika anda percaya kata-kata tipu yang anda bisikkan dalam diri itu!
5 penipuan dalam perkahwinan yang perlu anda elak
#1: Saya telah berkahwin dengan orang yang salah
Aduh! Ini adalah antara penipuan dalam perkahwinan yang paling besar dan kerap dilakukan oleh kita!
Waktu ini, syaitan sedang berbisik dalam telinga kita dan membuatkan kita semakin benci dengan pasangan atau tidak mahu lagi berusaha untuk mempertahankan rumah tangga.
Tidak, ia bukanlah perkara yang benar. Suami atau isteri yang telah kita kahwini itulah jodoh terbaik yang telah ditulis oleh Tuhan untuk kita.
Jangan terus terpedaya dan tertipu dengan bisikan yang mengatakan kita sudah silap terpilih jodoh. Mari terus perbaiki diri sendiri supaya menjadi pasangan yang terbaik untuk suami atau isteri kita.
#2: Saya sudah tiada rasa sayang pada pasangan
Perasaan sebegini sememangnya akan datang dan pergi. Bila sedang gembira, memang rasa jatuh cinta sangat-sangat. Bila sedang bergaduh, tengok muka pasangan pun tidak mahu. Mulalah berlaku penipuan dalam perkahwinan.
Kita beritahu diri sendiri yang kita sudah tidak cinta pada suami atau isteri kita yang satu itu. Mulalah terfikir mahu mencari pasangan yang lebih baik yang kononnya sedang menunggu kita di luar sana.
Orang dulu, perkahwinan mereka kekal lama. Mereka berusaha untuk memperbaiki hubungan. Mungkin kita boleh ikut perkara yang sama.
Banyakkan luang masa bersama, kurangkan masa dengan smartphone atau kawan-kawan di luar. Berusahalah untuk menyemarakkan asmara dalam rumah tangga.
Baca Juga: Betulkan Niat Dalam Perkahwinan Dulu, Barulah Rumah Tangga Bebas Konflik
Penipuan #3: Perkahwinan saya sudah tidak dapat diselamatkan
penipuan dalam perkahwinan, curang dalam perkahwinan, masalah rumah tangga
Kredit: NYPost.com
Bila sudah bertikam lidah, kita mudah untuk beritahu diri sendiri yang perkahwinan kita tidak dapat diselamatkan lagi. Kita fikir pasangan kita sudah tidak boleh diubah. Maka, kita mencari jalan pintas dengan perceraian.
Jikalau kita rasa sudah terlalu sukar untuk menyelesaikan masalah dengan pasangan, mintalah bantuan daripada orang yang kita percayai dan boleh membantu memperbaiki keadaan.
Berjumpalah dengan penasihat agama tempatan atau kaunselor perkahwinan. Kami pasti ada jalan penyelesaiannya!
Penipuan #4: Itu semua salah pasangan!
Mudahkan untuk kita menuding jari pada pasangan dan bukan pada diri sendiri? Kita menipu diri sendiri apabila kita asyik menyalahkan pasangan dalam setiap yang berlaku pada diri.
Kalau anda nak tahu, pakar menggelarkan perangai sebegini sebagai “pembuli emosi!”
Untuk setiap pertikaian, cubalah untuk berkomunikasi dan berbincang masalah dengan baik. Bersikap matang dan bersedialah untuk menerima kelemahan diri. Tidak rugi jika kita jadi orang pertama memohon maaf, walaupun kadangkala bukan kita yang salah.
Penipuan #5: Pasangan saya tidak menggembirakan hati saya
Pertama sekali, ia adalah satu penipuan dalam perkahwinan apabila kita sering mengharapkan orang lain untuk menggembirakan diri kita.
Perasaan tenang atau gembira datang dari dalam diri, maka mana mungkin orang lain boleh bertanggungjawab atas perasaan kita?
Gembira atau sedih semua atas keputusan anda sendiri, jika anda memutuskan untuk bersedih sahaja maka itulah yang terjadi. Biarlah pasangan anda suka membuat anda sedih tapi sekiranya anda menguasi diri anda sendiri anda mampu untuk memutuskan apa yang terbaik untuk dilakukan dan bernekad untuk rasa bahagia.
Ia bukanlah bermakna yang anda perlu sentiasa memendam perasaan. Jika anda rasa ada sikap pasangan yang membuatkan anda sedih, beritahulah padanya dengan cara baik.
Tunjukkan juga yang anda sedia untuk berubah dan membantu mengekalkan suasana bahagia dan harmoni dalam rumah tangga.
Lihatlah sudut positif atas setiap masalah. Bersyukurlah dengan nikmat jodoh dan perkahwinan yang sudah dikurniakan oleh Tuhan. Ia pasti akan membantu anda untuk selalu berlapang dada dengan pasangan dan tidak lagi menipu diri sendiri!
Sumber: Artikel ini telah mendapat kebenaran theAsianparent Singapore untuk diterjemah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia