Pernah tak anak kecil anda lakukan sesuatu yang buat anda marah atau salah pada mata anda, tetapi bila ditanya kenapa dia buat, dia kata ‘tak tahu kan? Dia tak menipu ya. Dia memang maksudkan.
Bila anak kata tak tahu, kita jadi lagi naik angin? Betulkan? Kita rasa anak macam menipu kita dan saja nak lepaskan diri dari kesalahan.
Dia memang tidak menipu ya ibu. Dia memang benar-benar tidak tahu kenapa dia buat. Jadi tolong jangan paksa dia tanya why, why dan why. Atau kenapa, kenapa dan kenapa.
Menipu jika anak kata ‘tak tahu’? Jangan buat kesilapan ini parents!
Mudah betul naik angin sekarang ini. Tak tahulah kenapa, bila anak buat salah sikit cepat benar kita melentingkan? Bila anak buat sesuatu yang salah di mata kita, cepat betul kita buat penghakiman.
Bila tanya, anak kata tak tahu, lagilah bertambah-tambah skala geram dan marah.
Menurut Perunding Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar, selalunya anak-anak kecil tidak tahu kenapa dia melakukan sesuatu. Cuba fahami apa yang ingin disampaikan oleh perunding ini. Katanya:
Sebab anak kecil lakukan sesuatu sangat subjektif
Ada beberapa sebab yang mungkin menyebabkan anak kecil lakukan sesuatu dan tidak pelik juga dia kata tidak tahu kerana memang mereka tidak tahu kenapa mereka lakukan sesuatu perbuatan itu.
#1. Gerak hati
Selalunya tindakan anak kecil hanya mengikut gerak hati atau impulse
#2. Sesuai perkembangan, usia
Kadang-kadang tindakan anak kecil adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya.
#3. Eksperimentasi
Kadang-kadang ia dilakukan kerana ingin melihat kesan dan akibat sesuatu perbuatan (eksperimentasi).
#4. Emosi yang tak tahu untuk diluahkan
Kadang-kadang ia lahir dari emosi yang tidak tahu untuk diluahkan.
#5. Pertahankan hak
Kadang-kadang dilakukan kerana ingin mempertahankan haknya.
#6. Letih, tak cukup tidur, lapar, tak sihat
Kadang-kadang dilakukan kerana dia letih, lapar, tidak sihat, atau tidak cukup tidur.
#7. Inginkan perhatian
Kadang-kadang ia dilakukan kerana inginkan perhatian daripada individu yang dirasakan tidak peduli dan tidak memberikan perhatian positif.
Katanya, semua sebab ini sukar untuk diterjemahkan oleh anak kecil dalam perkataan. Oleh itu sekiranya kita bertanya anak kecil,
“Kenapa buat macam tu?”, “Why did you do that?”, anak kecil tidak ada jawapan.
Jika dia jawab “Tak tahu”, “I don’t know“, maka jawapannya itu tepat dan betul. Dia tidak menipu. Sekiranya ditekan dan dipaksa untuk memberikan jawapan kepada “Why” kita, maka anak kecil akan mula belajar untuk bercakap tidak benar kerana ingin memberikan jawapan yang kita ingin dengar.
“Kenapa” atau “Why” bersifat interogatif yang menakutkan anak-anak kecil.
Jangan tanya why dalam situasi begini, minta dia terangkan ‘apa’, ‘bagaimana’
Dalam situasi yang begini, sebaiknya jangan ditanya “Kenapa” tetapi minta anak terangkan “Apa” yang berlaku atau “Bagaimana” ia berlaku.
Anak boleh menceritakan proses. Dari situ kita dapat membimbing anak apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya dia berada dalam situasi yang sama lagi nanti.
Kadang-kadang anak kecil tidak tahu apa yang patut dilakukan sekiranya bosan, sekiranya marah, sekiranya kecewa, sekiranya sedih kerana kita tidak pernah membimbing emosinya.
Kita tidak boleh mengandaikan anak kecil ada ‘common sense‘. Ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak agar kita tahu “Why” dia melakukan sesuatu perkara yang tidak wajar.
Nampak macam simple kan, tetapi ia beri kesan yang sangat besar kepada perkembangan anak anda. Bantu mereka untuk membentuk diri dan emosi ketika mereka dewasa nanti.
Dengan memahami cara anak kecil berfikir akan membantu kita memahami apa yang mereka fikirkan sebenarnya. Jangan anggap mereka orang dewasa yang sepatutnya ada common sense.
Anda sepatutnya yang membina common sense terhadap mereka. Jangan berharap mereka memahami anda kerana mereka takkan faham anda sampai bila-bila hinggalah dia mencapai satu tahap usia yang sesuai.
Jadi jika sayangkan anak, fahamilah cara anak berfikir.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar
Baca juga: Anak Semakin Matang Antara Perkembangan Anak Umur 5 Tahun 6 Bulan!