Ibu Ayah Sering Beri Anak Minum Air Teh Setiap Hari? Jaga-Jaga Ini Kebaikan & Keburukannya

Selain milo, kanak-kanak yang membesar juga dikatakan amat gemar minum air teh. Sehinggakan ada ibu ayah menyimpan stok air kotak Chrysanthemum di rumah

Minum teh dikatakan memberikan pelbagai manfaat kepada diri dan tubuh badan. Namun, sekiranya mengandungi kafein dan gula secara berlebihan, ia adalah tidak sesuai diberikan kepada anak-anak kecil.

Kebiasaannya, ibu ayah sering memesan air teh o ais ketika makan di kedai atau menyediakan minum petang. Hidangan biskut cicah air teh memang sedap sehingga anak makan tak ingat dunia!

Anak kecil minum teh

Sebenarnya minum teh tidak digalakkan untuk kanak-kanak kerana mengandungi kafein semula jadi. Menurut Dr. Cidny Gellner dari University of Utah Health Sciences, minuman manis kafein yang manis boleh menyebabkan kerosakan gigi.

Bukan itu sahaja, sifat kafein adalah diuretik yang boleh membuat anak berhadapan masalah kerap kencing. Dalam hal ini, ibu ayah perlu menggantikan teh berkafein dengan teh herba.

Walau bagaimanapun, pastikan bahawa ramuan dalam teh tidak berbahaya untuk kesihatan anak kecil. Sebagai contoh, beberapa herba yang sesuai dengan seorang kanak-kanak mungkin tidak sesuai dengan yang lain.

Sebelum menghidangkan secawan teh kepada si manja anda, pertimbangkan terlebih dahulu manfaat terhadap kesihatan dan kesan sampingan minum teh.

Pilihan teh untuk kanak-kanak

Berikut adalah beberapa pilihan teh lain yang boleh anda cuba sebagai rawatan di rumah untuk mengurangkan serangan penyakit.

#1. Teh Chamomile: Satu kajian menyatakan bahawa chamomile digunakan untuk merawat demam, kencing dan masalah kolik (menangis berpanjangan) pada kanak-kanak.

Menurut Universiti Sains Kesihatan New Mexico pula, teh chamomile membantu dalam mengurangkan rasa bimbang. Ia juga berupaya memberi kesan yang menenangkan pada perut. Tetapi jika anak mengalami alahan terhadap bunga marigolds, ragweed, daisies dan chrysanthemum, maka elakkan minum teh.

#2. Teh halia: Secawan teh halia adalah idea yang terbaik untuk kesihatan perut anak. Ia juga boleh mengurangkan rasa mual.

#3. Teh adas: Ia membantu mengurangkan gejala-gejala kolik. Bukan itu sahaja, membantu menghilangkan gas dengan melegakan saluran gastrointestinal.

Secara umumnya,tidak ada kajian yang menyatakan usia yang sesuai untuk memberikan anak minum teh. Selagi pengambilannya secara sederhana dan batas kafein terkawal, mungkin tidak akan menyebabkan risiko ketara.

Walau bagaimanapun, adalah baik ibu ayah mengetahui had kafein untuk kanak-kanak. Akademi Pediatrik Amerika mengatakan bahawa kanak-kanak dan remaja perlu berhati-hati ketika mengambil minuman berkafein.

Anak antara usia 12 dan 18 tahun boleh mengambil sebanyak 100 mg kafein (sekitar satu atau dua cawan teh) dalam sehari. Tetapi bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, tiada jumlah pengambilan yang selamat disarankan.

Kebaikan minum air teh

credit to sources

Secawan teh biasa yang berkafein boleh mendatangkan manfaat untuk jangka masa pendek kepada anak-anak. Antaranya:

  • Membuatkan fikiran lebih relaks dan menurunkan suhu jika kanak-kanak demam
  • Mengurangkan sakit badan dan sakit perut
  • Membantu merawat batuk dan demam
  • Mengelakkan anak terhidrasi

Kesan sampingan teh untuk kanak-kanak

Pengambilan air teh secara berlebihan boleh mengakibatkan kesan sampingan berikut:

#1. Menjejaskan perkembangan

Kafein dalam teh boleh menjejaskan perkembangan anak, tingkah laku dan kualiti tidur. Sebuah penelitian dalam Jurnal Paediatrik sebuah artikel di LiveScience melaporkan bahawa 75% kanak-kanak yang mengambil kafein setiap hari secara rutin mempunyai jumlah waktu tidur sedikit.

Kafein yang meresap ke dalam tisu badan boleh meningkatkan kadar degupan jantung sekaligus meningkatkan tekanan darah, mengubah suhu badan dan jus gastrik. Secara tidak langsung, semua faktor ini boleh menjejaskan masa dan kualiti tidur kanak-kanak.

#2. Masalah penyakit

Satu kajian penyelidikan membuat kesimpulan bahawa tabiat minum teh atau kopi secara tetap oleh kanak-kanak meningkatkan risiko diabetes jenis 1.

Kafein yang berlebihan mendatangkan perasaan gelisah, kegusaran dan ketakutan. Minuman yang manis dan tinggi akan meningkatkan jumlah kalori serta mengakibatkan penyakit jantung, kerosakan jantung dan obesiti.

#3. Anak menjadi lebih sensitif

Sebenarnya, kafein tidak hanya boleh ditemui dalam air teh atau kopi, tetapi juga minuman lain seperti air bergas, soda atau minuman tenaga.

Saraf tunjang termasuk otak kanak-kanak adalah lebih sensitif dan terkesan dengan kehadiran kafein sebagai stimulan. 

#4. Menghalang penyerapan nutrien

credit to sources

Menurut Pegawai Sains Pemakanan, Nathirah Maamor, kopi dan teh mengandungi kafein dan tannin yang akan menghalang penyerapan zat makanan.

Antara kes yang biasa berlaku ialah anak kecil akan mengalami masalah kekurangan zat makanan sekiranya mereka  memiliki rutin minum teh atau kopi setiap hari.

#5. Bersifat diuretik

Minuman berkafein ini bersifat diuretik, bermakna ia akan meningkatkan kekerapan untuk kencing.

Kencing yang terlalu kerap boleh menyebabkan masalah kehilangan kalsium dari dalam tubuh, lalu menjejaskan kekuatan tulang. Pengambilannya secara berlebihan turut menyumbang kepada dehidrasi dan keletihan.

Menurut LiveStrong, setiap 100mg kafein yang diminum, 6mg kalsium akan terhapus dari tubuh. Walaupun angka ini tidak begitu besar bagi dewasa, namun kalsium sangat penting untuk pertumbuhan tulang kanak-kanak.

Sumber: Mom Junction

Kredit foto: Sumber

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami

Baca juga: