Saya sendiri mengakui hal ini. Mitos bersalin yang negatif dan menyakitkan sangat banyak dan ianya memang menghantui mana-mana ibu hamil yang mendengarnya. Malah sebenarnya mitos-mitos ini memberi gambaran yang teruk.
Contohnya, kita sering kali mendengar cerita-cerita tentang bertapa lama dan sakitnya tempoh bersalin. Begitu juga cerita tentang bertapa banyak jahitan menyakitkan yang terpaksa diterima selepas bersalin.
Malah bukan sahaja semasa bersalin, selepas bersalin juga dipenuhi pelbagai cerita negatif tentang sakitnya menjalani pemulihan.
Bukan sahaja itu, terdapat juga cerita sebaliknya yang menceritakan tentang bagaimana seseorang itu kelihatan bersinar dan cantik semasa bersalin tanpa memerlukan bantuan seperti epidural.
Membuatkan, wanita yang bersalin dengan bantuan seperti epidural berasa tidak berjaya menjadi ibu yang sempurna kerana memerlukan bantuan ketika lahir.
Segala ‘label’ melalui cerita-cerita ini bukanlah sesuatu yang menyeronokkan untuk didengar lebih-lebih jika seseorang itu sedang hamil dan menanti masa untuk bersalin.
Dan saya rasa ini semua harus dilawan. Bukankah lebih baik jika kita sirami wanita-wanita hamil dengan kata-kata positif supaya mereka dapat memasuki dewan bersalin dengan rasa kuat dan yakin.
Kita tidak tahu sekuat masa kata-kata positif ini dapat membantu mereka nanti.
Seorang penulis dari United Kingdom, Milli Hill telah menulis sebuah buku yang bertajuk ‘The Positive Birth Book‘ yang dikatakan penuh dengan informasi yang penting dan padu buat ibu hamil dan pasangan.
Buku tersebut dikatakan bukan sahaja menyenangkan, malah penuh dengan unsur jenaka juga.
Buku ini menyarankan untuk ibu hamil memilih cara bersalin yang diingini dan berusaha untuk mencapai sasaran itu. Tidak kira sama ada di hospital atau di rumah, melalui bersalin biasa mahupun pembedahan caeserean, buku ini membantu anda mendapatkan proses bersalin yang terbaik untuk anda.
Buku seperti ini ialah apa yang ibu-ibu hamil dan pasangan mereka perlukan. Sesuatu yang positif dan membantu perjalanan kehamilan mereka. Kerana, sesuatu yang positif seperti hanya kata-kata positif boleh memberi impak yang besar.
Lihat sahaja eksperimen yang telah dijalankan oleh Dr. Masaru Emoto. Eksperimen beras yang popular sebagai cara beliau mendemonstrasikan tentang kuasa pemikiran positif (dan sebaliknya, kuasa pemikiran negatif).
Dr. Emoto telah meletakkan nasi ke dalam dua bekas. Satu bekas beliau menulis ‘terima kasih’ dan satu lagi ‘anda bodoh’.
Beliau kemudian meminta kanak-kanak sekolah untuk mengucapkan ayat pada bekas dengan kuat terhadap nasi tersebut setiap hari. Selepas 30 hari, nasi di dalam bekas positif hampir tidak berubah, manakala di bekas negatif, ianya berkulat dan busuk.
Ianya jelas melalui eksperimen ini, membuktikan bagaimana sekecil-kecil perkataan positif boleh memberi perubahan yang besar dan begitu juga sebaliknya.
Jadi, mari kita terapkan untuk lebih banyakan ayat-ayat dorongan yang positif kepada ibu hamil bagi melawan mitos sakitnya bersalin.