Patutkah bapa diberi cuti bersalin sebulan untuk jaga bayi baru lahir?
Pada ketika ini, cuti bersalin bagi para bapa ialah 7 hari bagi kakitangan kerajaan dan bergantung pada majikan masing-masing untuk kakitangan swasta atau dipanggil cuti ihsan.
“Ketika ini, tiada peruntukan dalam mana-mana akta yang memasukkan cuti bersalin bergaji untuk bapa. Malah, Akta Kerja 1955 juga tidak menyentuh mengenai paternity leave itu. Jadi kerajaan perlu mewujudkan undang-undang berkaitan demi pembangunan institusi sesebuah keluarga,” tambah beliau lagi.
Cuti bersalin yang lebih panjang mampu mengatasi masalah meroyan pada isteri
Tambahnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan cadangan berkenaan selaras dengan keperluan institusi keluarga dan ke arah matlamat negara menuju kepada sebuah negara maju.”Kerajaan harus memberi perhatian kepada perkara-perkara asas seperti memberi sebulan cuti bergaji paternity leave. Ini akan membawa satu kebaikan dan akan melahirkan generasi muda yang lebih sihat, hubungan keluarga yang sihat demi masa depan negara Malaysia,” katanya lagi.
Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Norway direkodkan sebagai negara paling banyak memberikan cuti bersalin bergaji untuk bapa iaitu 112 hari.
Mari kita ambil kesempatan ini untuk melihat kebaikan dan keburuk jika akta paternity leave bergaji penuh selama sebulan diberikan kepada para suami.
Kebaikan paternity leave lebih lama
- Bagi mereka yang pertama kali menjadi ibu bapa, durasi masa ini akan dapat digunakan untuk menyesuaikan diri mereka dengan fasa baru. Jadi mereka akan sama-sama dapat belajar mengenali kehidupan sebagai ibu bapa kepada ahli baru di dalam keluarga mereka.
- Bagi yang sudah mempunyai anak lain, di dalam masa ini, si bapa boleh membantu menguruskan anak-anak lain bagi memberi ruang buat si isteri baru bersalin mendapatkan lebih banyak rehat. Urusan rumah seperti menyediakan makanan, menyiapkan pakai dan menghantar anak-anak ke sekolah boleh dilakukan tanpa terkejar-kejar masa ke pejabat.
- Tidak semua kelahiran adalah lancar, ada juga yang mengalami komplikasi dan memerlukan si ibu dan anak untuk kerap ke hospital. Kita ambil contoh paling biasa, anak demam kuning, ibu bapa akan perlu kerap membawa si kecil ke klinik atau hospital bagi memeriksa darahnya. Jadi, daripada terpaksa menyusahkan orang lain atau menaiki kenderaan awam, lebih baik jika si bapa yang menghantar mereka.
- Ibu selepas bersalin memerlukan rehat yang maksima, mereka harus kurangkan bergerak. Jika semua perkara harus diuruskan sendiri, mereka tidak akan dapat rehat yang secukupnya. Jadi, dengan adanya para suami menjaga mereka, mereka dapat berehat dengan lebih ideal.
- Jika suami mendapat cuti sebulan untuk menjaga isteri baru bersalin, ini dapat mengurangkan kos penjagaan selepas bersalin. Tahukah anda mengupah penjaga di dalam pantang boleh mencapai RM10,000 hanya untuk penjagaan selama seminggu? Jadi, jika tugas ini di ambil oleh suami sendiri, bukan sahaja dapat menjimatkan duit malah, isteri lebih selesa dijaga oleh orang yang rapat dengannya.
Keburukan paternity leave atau cuti bersalin lebih lama pada golongan bapa
Tidak dinafikan, semasa cadangan ini diutarakan, ada juga yang memberi komen negatif mengatakan yang cuti seumpama ini tidak wajar. Antara alasan mereka ialah:
- Bagi suami yang tidak bertanggungjawab, mereka akan memilih masa ini untuk lebih banyak melepak dan berseronok diluar dan menjadi lebih malas.
- Jika suami dan isteri bekerja di tempat yang sama, akan mengurangkan tenaga kerja di tempat kerja.
- Lelaki tidak dapat bertahan duduk di rumah untuk jangka masa yang lama bagi menguruskan hal-hal penjagaan kerana mereka tidak tahu menjaga isteri di dalam pantang
- Takut mengganggu isteri sedang berehat seperti mengajak hubungan intim yang perlu dielakkan sepanjang tempoh berpantang.
Namun begitu, pendapat saya sendiri, berdasarkan suami yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga saya, merasakan cuti bersalin bergaji penuh buat para suami adalah perlu untuk dilaksanakan.
Ilmu penjagaan pantang boleh dicari dan dipelajari malah sudah masanya lelaki lebih mengambil tahu tentang hal-hal penjagaan pantang isteri bersalin. Ini barulah dikatakan susah senang bersama 🙂