Asyik 'Mahu' Saja Bila Hamil Ni, Selamatkah Kerap Lakukan Seks Ketika Hamil?

Ketika hamil ada dua kemungkinan, sama ada anda akan menjadi terlalu mudah terangsang atau langsung tidak selera mahu mengadakan hubungan seks.

Ketika hamil ada dua kemungkinan, sama ada anda akan menjadi terlalu mudah terangsang atau langsung tidak selera mahu mengadakan hubungan seks.

Kehamilan sememangnya akan merubah segalanya. Ketika ini, tubuh badan wanita pasti akan mengalami perubahan yang agak drastik dari aspek fizikal serta mental.

Semua perubahan ini adalah sesuatu yang normal dan perlu dilalui oleh setiap ibu hamil. Tetapi ada lagi satu aspek yang akan berubah mendadak semasa seorang wanita itu mengandung iaitu kehidupan seksual mereka bersama pasangan.

Pernahkah anda terfikir kenapa ada di kalangan wanita hamil yang mudah terangsang walaupun perutnya semakin membesar dan agak sukar untuk melakukan hubungan seks bersama suami.

Mudah terangsang ketika hamil adakah perkara biasa?

Ada ibu hamil yang pelik kerana mereka mudah terangsang ketika sedang hamil sedangkan sebelum hamil tidak terlalu ketara.

Menurut artikel yang dikongsikan dalam parents.com, seluruh kawasan kemaluan termasuk rahim anda akan menerima aliran darah yang tinggi sekaligus membuatkan kawasan faraj anda menjadi lebih sensitif.

Segala jenis rangsangan akan membuatkan anda mudah terangsang ketika ini memandangkan kawasan faraj anda menjadi sensitif ketika sedang mengandung.

Adakah terangsang memberi kesan kepada kandungan?

Rasa terangsang ketika hamil tidak akan membahayakan bayi  anda malah ia tidak memberi kesan pun kepada kesihatan mereka.

Tetapi jika anda berada pada trimester pertama, pastikan anda lakukan seks dengan berhati-hati kerana keadaan anda masih terlalu fragile.

Elakkan seks secara kasar bagi mengelakkan perut anda tertindih dan sebagainya kerana kehamilan pada trimester pertama mempunyai risiko yang sangat tinggi dan boleh menyebabkan keguguran jika melakukan seks secara kasar atau ganas.

Adakah selamat kerap lakukan seks ketika mengandung?

Seringkali persoalan ini ditimbulkan oleh wanita hamil kerana mereka bimbang untuk melakukan seks ketika sedang hamil.

Ini antara soalan kegemaran yang ditanya ibu hamil ketika membuat pemeriksaan bulanan bersama doktor.

Sebenarnya, seks semasa mengandung adalah selamat dan tidak akan mengakibatkan sebarang implikasi kepada si ibu, si bapa dan bayi dalam kandungan.

Namun, ada beberapa keadaan yang menyebabkan anda dan pasangan perlu berhenti dari melakukannya, iaitu:

#1. Berlaku pendarahan luar biasa pada faraj

 Pendarahan pada faraj yang luar biasa ketika hamil dikhuatiri menjejaskan kandungan. Sekiranya ada pendarahan luar biasa pada faraj, cuba berhenti dulu daripada lakukan seks.

Jika ada sebarang perubahan atau rasa sakit pada bahagian perut, segeralah berjumpa dan dapatkan rawatan segera dengan doktor anda.

#2. Didiagnosis dengan keadaan rahim lemah atau uri di bawah

Jika doktor yang memerika anda mengesan keadaan rahim yang lemah atau uri di bawah, anda dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks terlebih dulu.

Ia dikhuatiri akan menjejaskan kandungan dan juga kesihatan anda. Ibu hamil yang mempunyai rahim lemah atau uri dibawah tidak digalakkan melakukan sesuatu yang akan memberi tekanan kepada perut atau abdomen mereka.

#3. Air ketuban sudah pecah

Apabila air ketuban sudah pecah, tidak digalakkan untuk melakukan hubungan seks kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan pada kandungan dan juga ibu yang dikandung.

Lagi pun, jika sudah pecah iar ketuban ia bermakna tanda-tanda bersalin sudah muncul dan bersedialah untuk bersalin.

#4. Hamil anak kembar

Ibu yang hamil anak kembar melalui kehamilan yang berisiko tinggi. Ia bermakna jika hamil anak kembar jika ingin melakukan seks anda perlu lebih berhati-hati dan tidak mempraktikkan seks yang tidak terlalu ganas.

Pastikan anda dapatkan pandangan doktor terlebih dulu apakah risikonya jika anda melakukan seks ketika hamil kembar.

#5. Tinggi risiko kelahiran bayi pramatang

Jika anda menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi anda mungkin ada kemungkinan untuk melahirkan bayi pramatang.

Dapatkan nasihat doktor anda jika anda mempunyai risiko melahirkan bayi pramatang kerana ia akan memberi kesan kepada kesihatan anda dan bayi sekiranya anda membuat keputusan untuk mengadakan hubungan seks bersama suami.

Apa yang paling penting terangkan keadaan anda kepada suami atau lebih mudah bawa mereka sekali ketika membuat pemeriksaan kandunga.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: parents.com

Baca juga: Seks Ketika Hamil: Posisi Apa Anda Boleh Cuba & Apa Yang Tidak

Penulis

Lala Annuar