Bermacam ragam dan perangai manusia kita saksikan saban hari. Baru-baru ini kecoh ICU kami apabila ada pergaduhan antara ahli keluarga pesakit. Isteri pesakit berebut dengan adik-beradik pesakit. Bukan berebut nak jaga, tetapi berebut nak keluarkan wang EPF pesakit.
Peliknya perangai manusia, orang tu belum lagi meninggal, tetapi dah berkerumun yang menunggu hartanya. Bil hospital bukan banyak mana pun sampai perlu keluarkan EPF; maksimum bil masuk ICU baru rm500.
Perangai Manusia: Bila Diduga Dengan Harta
Betullah kata orang, kalau nak lihat perangai manusia yang sebenar (termasuk ahli keluarga); uji dia dengan duit dan harta. Yang berketayap pun boleh terangkat kopiahnya!
Antara perkara saya diajar semenjak jadi houseman dulu ialah, jaga pesakit baik-baik sewaktu dia hidup. Dan jaga pesakit dengan lebih baik sebaik saja dia mati. Ini kerana, sewaktu pesakit tenat atau sebaik saja meninggal di wad atau ICU, kerap terjadi, ahli keluarga datang bersama peguam untuk curi-curi ambil cap jari pesakit untuk keluarkan duit akaun atau tukar nama pada harta. Kami ini bukan saja pegang amanah nyawa, malah pegang amanah harta pesakit juga!!
Dunia oh dunia!
Saya paling tak boleh lupa kisah seorang cikgu, pesakit kanser payudara. Dia memang nak sangat rawat kansernya mengikut saranan doktor, namun mati-mati dihalang oleh suaminya. Patuh suami punya pasal, dia jalani rawatan secara tradisional saja. Dia meninggal dunia beberapa bulan kemudian dalam keadaan sangat tersiksa. Beberapa hari selepas itu, tersenyum simpul si suami datang ke sekolah isteri untuk menguruskan wang pencen. Patutlah beriya dia menghalang, ada udang disebalik batu rupanya!
Namun tak semua kisah cinta, palsu begitu.
Sepuluh tahun lepas, saya saksikan sendiri cinta suci seorang suami buat isteri yang tenat di ICU. Setiap hari, tak pernah tak datang melawat walaupun sentiasa nampak tergesa-gesa. Bila ditanya, rupanya ada anak kecil mereka berusia 3 tahun yang terpaksa dia tinggalkan begitu saja di rumah, setiap kali melawat isteri. Ditinggalkan anak itu berbekalkan makanan secukupnya dengan tawakal penuh didada.
Tiada sesiapa yang boleh diupah untuk menjaga anaknya kerana dia dah tak bekerja semenjak isterinya jatuh sakit. Nak harapkan keluarga, dia dah dibuang oleh keluarganya kerana bertukar agama sejurus berkahwin dengan wanita pilihannya. Menitik air mata mendengar kisahnya.
Itulah kehidupan.
Kadang-kadang dirasakan lebih baik tak berharta daripada menyaksikan sendiri perangai buruk orang yang kita sayangi berebutkan harta kita.
Hana Hadzrami
Memang tak berharta pun
Mendidik dari kecil
Melalui perkongsian saudari Hana Hadzrami di media sosial miliknya, ia merupakan kejadian yang meruntun hati. Bayangkan perasaan si pesakit melihat atau mendengar ahli keluarga sibuk dengan hartanya bukan tentang kesihatannya. Di sini juga kita sebagai ibu bapa anak yang masih kecil harus mengambil pengajaran. Cuba mendidik dan menanam sifat tidak mementingkan duit dan harta dalam anak-anak.
Berikut adalah perkongsian tentang bagaimana kita boleh menanam sifat tidak mementingkan duit dan harta di dalam diri anak-anak:
1. Melihat diri kita
Anak-anak sentiasa akan melihat ibu bapa mereka dahulu sebagai contoh. Cuba anda lihat, anak anda akan mengikut apa yang anda buat seperti cara memakai tudung, cara mengemas rumah serta cara kita memilih makanan. Anak-anak adalah cermin terbaik kita. Jadi, sebelum cuba mendidik anak-anak untuk tidak mementingkan harta, kita sendiri harus menunjukan sifat yang begitu kepada mereka kerana anak-anak akan lebih mengikut perbuatan κberbanding nasihat.
Umpama peribahasa inggeris “actian speaks louder than words” yang bermaksud, perbuatan lebih kuat dari kata-kata yang kita luahkan. Tunjukan kepada anak-anak yang duit bukanlah segalanya. Elakan memberi alasan jika tidak ada duita maka, tidak boleh buat apa-apa.
2. Mengajar anak untuk menderma/memberi
Amalkan perbuatan memberi dengan anak-anak. Galakan mereka untuk menderma atau memberi. Contohnya, apabila membawa anak ke masjid, jadikan amalan untuk mesti menderma ke dalam tabung masjid sebelum pulang ke rumah. Atau ajar anak-anak untuk menghantar kuih-muih atau lauk-pauk kepada jiran terdekat.
Amalan ini mungkin nampak remeh, namun sebenarnya, anak-anak akan belajar untuk tidak kedekut dan mudah memberi kepada orang lain. Biarkan mereka terbiasa dengan amalan, tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.
3. Jangan banjiri anak dengan hadiah mahal
Ajarkan anak untuk tidak biasa menerima hadiah atau habuan. Apabila kita sudah terbiasa memberi anak hadiah dan habuan, mereka akan fikir yang mereka mesti menerima habuan dari anda. Jika perlu memberi hadiah kepada mereka atau ahli keluarga, gunakan peluang ini untuk menghabiskan masa bersama mereka untuk ‘membuat’ hadiah tersebut.
Contohnya kraf daripada kotak atau botol.Terdapat pelbagai tutorial cara buat di internet dan inilah masanya untuk anda praktikannya! Sebagai bonus, anda dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak anda.
4. Banyakan melawat mereka yang kurang bernasib baik
Seperti yang ditekankan dalam ajaran agama, lazimi melawat orang sakit atau kurang bernasib baik supaya kita lebih bersyukur dan ingat bahawa bukan semua orang bernasib baik. Biar anak-anak melihat kesusahan orang lain supaya wujud rasa belas kasihan di dalam diri mereka dan tidak mementingkan diri.
5. Mengajar tentang prioriti
Ajarkan anak tentang prioriti. Mengutamakan keperluan bukan kehendak. Ini akan memerlukan kesabaran yang tinggi kerana anak kecil akan memerlukan masa dan penjelasan yang panjang untuk faham perbezaan keperluan dan kehendak.
Contoh, anda boleh mulakan dengan mengajak anak membuat senarai perkara untuk dibeli untuk masuk ke sekolah, kemudian bahagikan senarai tersebut kepada keperluan dan kehendak. Jelaskan padanya perbezaan keperluan dan kehendak dalam senarai tersebut, kemudian ajarkannya untuk mengutamakan keperluan bukan kehendak.
Baca juga:
Ajar Anak Bersopan Santun Sejak Umur 2 Tahun Dengan Langkah Mudah Ini, Tak Perlu Naik Suara Ya!