Seorang bapa pastinya akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan isteri dan anak-anak dicintai dijamin selamat termasuklah mengorbankan organ badan yang dimiliki.
Bagai telur di hujung tanduk, inilah perumpaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi golongan pelarian Syria.
Ketika seluruh dunia hanya membimbangi kehadiran pelbagai serangan penyakit baharu, namun adakah anda terlintas untuk memikirkan nasib mereka yang berada di kem pelarian Syria?
Bapa sedia jual organ badan
Baru-baru ini tular akan sebuah kisah menyayat hati apabila seorang bapa yang merupakan pelarian Syria nekad bertindak untuk mengorbankan organ badan iaitu buah pinggang.
Hal ini dilakukannya adalah untuk membeli sebuah khemah bagi membolehkan keluarganya yang terdiri oleh lapan orang anak berteduh dari kesejukan melampau.
Bukan itu sahaja, kesemua anaknya yang sudah dua tahun tidak bersekolah dan mereka mempunyai masalah kesihatan antaranya masalah buah pinggang, tumbesaran dan sawan.
Kisah beliau ini telah diceritakan oleh seorang wartawan foto, Aref Wedd di laman Facebook miliknya menunjukkan bapa 8 anak bernama Jamal Baroud memegang plakad bagi menawarkan pembelian organnya.
Sebelum ini difahamkan Jamal bekerja sebagai tukang jahit. Dia telah ditahan atas alasan kegiatan revolusinya dan diseksa sehingga patah leher.
Disebabkan hal ini, dia tidak berkeupayaan untuk bekerja demi mencari rezeki untuk keperluan anak-anaknya serta tidak mampu untuk menanggung kos rawatan.
Ia sekaligus menyebabkan dia nekad menjual buah pinggang atau mana-mana organ tubuh yang lain semata-mata untuk melindungi keluarganya.
“Saya dibuang kerja 27 hari yang lalu. Saya akan menjual buah pinggang untuk membeli sebuah khemah sebagai tempat berteduh keluarga,” tulisnya.
Selepas berpindah, Jamal memberitahu keluarganya tidak mempunyai tempat tinggal. Dia sudah berusaha pelbagai cara sehingga membuat rayuan kepada setiap organisasi bantuan kemanusiaan. Namun, menemui jalan buntu.
Perkongsia kisah ini kemudiannya menjadi tular sehingga Jamal ditawarkan pelbagai bantuan oleh orang ramai.
Namun, dia enggan menerima bantuan kewangan kerana mahukan rawatan yang terbaik untuk anak-anaknya.
Bukan itu sahaja, Jamal mengakui dia juga pernah terfikir untuk membunuh diri bersama dengan anak-anaknya agar mereka mampu berehat dengan baik.
Tetapi, dia tidak sanggup untuk berputus asa akan ujian hidup yang telah diberikan olehnya bagi mencuba sehabis mungkin buat seluruh keluarga.
“Saya hanya ada Tuhan untuk mengadu nasib,” tulisnya pada plakad berkenaan.
Memasuki tahun kesembilan, kegagalan mencapai kata diplomasi menyebabkan berlakunya perang saudara antara Turki dan Rusia sehingga menyebabkan kawasan barat laut Syria, Idlib dihujani bom.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kami di theAsianparent mendoakan agar nasib pelarian Syria ini terbela.
Jasa pengorbanan ayah untuk keluarga
Dalam sesebuah keluarga, ayah adalah seorang insan yang paling bermakna. Hal ini kerana tanpa dirinya, anda tidak akan dilahirkan ke dunia ini.
Bukan itu sahaja, dialah juga yang akan mengerahkan segala keringat dari tulang empat kerat dan berjuang sehabis mungkin untuk mencari rezeki keluarga dan menyediakan segala keperluan anak-anak.
Mungkin jauh di dasar hatinya merasai keperitan untuk membesarkan anak tanpa mengeluarkan sepatah perkataan kepada sesiapa pun kerana tidak ingin isteri dan anak-anak berasa bimbang.
Justeru, anda perlu menghormati dan menghargainya sebaik mungkin. Jika dibesarkan dengan suasana yang serba kekurangan, sentiasa bersyukur kerana ibu ayah sudah memberikan yang terbaik mengikut kemampuan mereka.
Jangan pula terus menyalahkan ibu ayah kerana sudah memberikan kesusahan kepada anda hanya disebabkan oleh mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelanjakan segala keperluan anak-anak.
Seboleh-bolehnya ucapkanlah terima kasih kerana pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka telah menjadikan anda seorang insan yang berguna dan berjaya.
Selain itu, seorang ayah juga tidak sanggup untuk melukai hati dan perasaan anak-anak. Dia sentiasa akan menitipkan doa yang terbaik bagi memudahkan setiap perjalanan hidup anda.
Seorang bapa juga diibaratkan sebagai penyelamat kerana dia mampu melindungi kesemua ahli keluarga, melakukan kerja membaiki rumah dan membesarkan anak-anak dengan suasana penuh gembira.
Pastinya, kehidupan tanpa ayah adalah amat sukar kerana dialah tempat anak dan isteri bergantung harap untuk bersama melangkah pada masa hadapan.
Sumber: Astro Awani, Remaja, Usimnews
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
Luahan Bapa Ini Selepas Anaknya Meninggal Dunia Sungguh Menyentuh Hati!