Kenderaan pacuan empat roda kebiasaannya menjadi pilihan buat mereka yang sering mengangkut barangan, menjalankan perniagaan mahupun melakukan aktiviti lasak. Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah video memaparkan seorang budak berdiri di bahagian belakang kenderaan sehingga mengundang kerisauan orang ramai.
Difahamkan kanak-kanak lelaki berkenaan dengan beraninya duduk berseorangan di belakang kenderaan tersebut tanpa adanya pengawasan orang dewasa.
Tular video budak lelaki berdiri di belakang pacuan empat roda
Sebuah rakaman video telah tersebar di laman media sosial Twitter menunjukkan kanak-kanak tersebut seronok bermain di belakang kereta, memanjat di bahagian bumbung sewaktu kenderaan itu berhenti di lampu isyarat Sungai Buloh, Selangor sebelum meneruskan perjalanan mereka.
Pengguna Twitter dikenali sebagai BxllaAnxar mempersoalkan tindakan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang membiarkan anak mereka duduk di bahagian luar kenderaan tanpa berasa risau akan keselamatannya.
‘’Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran ibu bapa budak ini. Dah lah tengah hujan. Dibiarnya anak sorang-sorang duduk dekat belakang dan melompat-lompat. Kalau jatuh sia-sia.’’ kongsinya di Twitter.
Tambahnya lagi, sudah ada tiga kenderaan lain bertindak menegur pemandu berkenaan. Namun teguran tersebut tidak diendahkan oleh mereka. Malah pasangan itu meneruskan perjalanan seperti biasa.
Rata-rata netizen turut meluahkan kebimbangan apabila melihat gelagat kanak-kanak itu dan menyela sikap ibu bapa yang seakan-akan langsung tidak bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang buruk terhadap anak.
‘’Kot ya pun nak bagi anak mengenali dunia, ni macam dah bagi mengenali dunia lain sekaligus ni. Nauzubillah, harap tiada perkara buruk yang jadi.’’ ciap Nadrahim.
‘’Kalau anak tu jatuh dan mati, barulah masuk berita menangis-nangis buat muka sedih. Padahal masa anak tu hidup akal kau letak kat tayar kereta.’’ ciap Midori_nochill.
‘’Mungkin anak dia jenis susah dikawal dan meraung kalau tak dapat main dekat belakang tu. Jadi ibu bapa dia dah putus asa, bagi sahaja apa yang anak dia nak.’’ ciap alhixham.
Kes terjatuh dari belakang bucket pacuan empat roda
Pada tahun 2018 yang lalu, satu kemalangan maut telah berlaku di kawasan ladang berdekatan Bintulu, Sarawak melibatkan sebuah Toyota Hilux dipandu oleh majikan mangsa menuju ke tempat pembuangan sampah.
Difahamkan semasa dalam perjalanan, mangsa berada di bahagian belakang pacuan empat roda tersebut telah terjatuh bersama kotak sampah yang ingin dibuang. Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia.
Pemandu telah ditahan di bawah seksyen 112 APJ 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis. Semoga kejadian yang berlaku ini menjadi iktibar buat semua agar tidak memandang ringan tentang keselamatan semasa dalam perjalanan.
Tips keselamatan ketika anak berada dalam kenderaan
Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan anak-anak sewaktu menggunakan jalan raya.
Antara langkah yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan anak dalam kenderaan ialah:
#1. Pastikan anak duduk di kerusi belakang
Anak kecil perlu duduk di kerusi belakang kerana ia dapat mengurangkan risiko kecederaan sekiranya belakunya kemalangan.
#2. Memakai tali pinggang keledar dengan kemas
Tidak hanya pemandu, anak juga perlu sentiasa memakai tali pinggang keledar yang dikancing secara pepenjuru merentas bahagian dada dan letak satu bantal tambahan di tempat duduk bagi kanak-kanak.
Jika si manja anda masih bayi, adalah lebih baik menggunakan tempat duduk khas ‘child seat’ untuk memastikan tali pinggang keledar dipasang dengan selamat.
#3. Pastikan tiada mana-mana bahagian anggota badan keluar dari tingkap
Ibu ayah hendaklah sentiasa mengingatkan anak supaya jangan sesekali meletakkan mana-mana bahagian anggota badannya di luar tingkap walaupun ketika kenderaan tidak bergerak.
#4. Peka dengan penggunaan pintu kenderaan
Anak yang masih kecil biasanya akan teruja untuk naik atau turun dari kenderaan. Justeru pastikan mereka menggunakan pintu selamat iaitu yang tidak bersebelahan dengan bahu jalan raya. Sedikit sahaja kecuaian boleh membahayakan nyawa si manja anda.
Selain itu, ibu atau ayah hendaklah menekan butang ‘child lock’ bagi mengelakkan anak membuka pintu sesuka hati mereka.
#5. Ibu ayah pimpin tangan anak
Sekiranya ingin keluar dari kenderaan, minta anak kecil duduk dan tunggu anda membuka pintu untuk mereka.
Pimpin tangan si manja seeratnya bagi mengelakkan mereka meluru terus ke bahagian jalan. Hendaklah diingatkan bahawa kanak-kanak tetap adalah kanak-kanak. Mereka sentiasa melakukan perkara yang tidak pernah terduga oleh orang dewasa.
Sumber: Utusan, Perodua Sungai Petani
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nenek Tidak Sengaja Tertinggal Cucu 3 Tahun Dalam Kereta, Mangsa Mati Akibat Strok Haba