5 Kesan Sampingan Yang Anda Perlu Tahu Jika Selalu Guna Pam Susu
Seronoknya bila dapat pam susu badan dengan meriah! Tapi anda tahu tak ada beberapa kesan sampingan yang boleh muncul setelah menggunakan pam ini?
Penyusuan susu badan adalah makanan yang paling disyorkan untuk bayi. Namun, disebabkan halangan tertentu seperti ibu bekerja dan sebagainya, ramai wanita memilih untuk guna pam susu ibu supaya si manja tetap dapat manfaat.
Walau bagaimanapun, ibu perlu tahu kesan sampingan yang berpotensi berlaku ketika menggunakan pam susu ibu ini.
Tapi jangan salah sangka. Ini bukan bermakna anda perlu buang pam susu itu, tapi adalah lebih bagus jika anda tahu kebaikan dan keburukannya serta mendapat maklumat tepat.
Berikut merupakan beberapa kesan sampingan apabila ibu menggunakan pam susu yang mungkin anda tak tahu sebelum ini.
5 kesan sampingan penggunaan pam susu ibu
# 1. Kesan guna pam susu ibu – Kekeliruan puting susu
Bayi mengenali puting ibunya melalui tekstur, rasa dan bau yang membawa kepada keselesaan. Untuk itu, anda perlu mewujudkan corak penyusuan yang baik termasuk cara menghisap yang betul.
Sekiranya anda memperkenalkan botol susu, kebarangkalian untuk anak tolak puting payudara adalah lebih tinggi.
Namun, anda boleh mengatasinya dengan langkah-langkah ini:
- Cuba elak guna botol susu terlalu lama. Menurut La Leche League International, masa terbaik untuk perkenalkan botol (jika perlu) adalah ketika bayi sekurang-kurangnya sebulan dan penyusuan susu ibu sudah mantap.
#2. Kesan guna pam susu ibu – Boleh menyebabkan pencemaran
Pencemaran susu ibu boleh boleh berlaku bila pam payudara itu tidak dibersihkan dengan betul.
Ini yang terjadi tahun lepas di mana bayi paramatang menghidap meningitis teruk dan tisu otaknya hancur setelah diberi minum susu dari pam yang tak dibersihkan dengan sempurna.
Jika anda menggunakan pam susu, ingat peraturan kebersihan ini:
- Basuh tangan ketika mengendalikan pam susu ibu.
- Segera simpan susu tersebut setelah dipam.
- Berhati-hati membersihkan pam payudara selepas guna.
- Guna sinki berasingan kerana sinki dapur mungkin sudah dicemari dan sukar dibersihkan dengan teliti.
- Gosok pam susu dengan sabun.
- Lap dengan kain kering yang bersih.
#3. Kesan guna pam susu ibu – Kerosakan tisu payudara dan puting
Kerosakan tisu payudara dan puting boleh berlaku sekiranya menggunakan pam terlalu laju atau perlahan. Ataupun salah pilih muncung pam hingga membuatkan anda alami kesakitan.
Bagi mengatasi masalah ini, anda harus memilih kelajuan yang betul pada pam susu dan guna muncung pam yang tepat.
#4. Kesan guna pam susu ibu – Boleh sebabkan payudara bengkak
Sesetengah ibu suka guna pam susu badan supaya dapat buat stok susu yang lebih lama pada bayi. Namun, ia boleh menyebabkan pembengkakkan payudara.
Sekiranya bengkak berterusan, ia boleh menyebabkan mastitis yang merupakan jangkitan pada saluran susu, Bagi mengelak keadaan ini, sangat penting ibu memilih pam susu yang selamat dan terbaik.
#5. Kesan guna pam susu ibu – Ambil masa untuk pengendaliannya
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, semua bahagian pam susu dan botol WAJIB dibersihkan dengan teliti, dikeringkan dan disimpan di tempat selamat bagi elak pencemaran.
Ini akan memakan masa dan banyak usaha yang diperlukan jika dibandingkan dengan menyusu terus dari payudara.
Selain itu, ibu bekerja mungkin mempunyai kekangan tertentu contohnya tiada ruang pejabat yang mesra menyusu supaya ibu ada ruang khas untuk pam susu.
Sekiranya ini berlaku, mungkin anda boleh kemukan pada pihak pengurusan dan lihat bagaimana mereka boleh bantu.
Namun begitu, ingin ditekankan di sini tujuan artikel ini bukan menghalang anda mengekspresikan susu badan tapi mengingatkan anda supaya berhati-hati dan sentiasa mementingkan aspek kebersihan supaya kesihatan si kecil tetap terpelihara.
Teruskan pam dan susukan bayi comel anda, okey? Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit gambar: Mothering & First cry parenting
Sumber: Penulis asal Nalika Unantenne. Artikel ini mendapat keizinan daripada theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan.
Baca juga:
5 Jenama Pam Susu Terbaik Untuk Ibu Menyusu – Mana Yang Anda Pakai?