16 Panduan Membesarkan Anak Perempuan Yang Wajib Diketahui Semua Ibu

Proses membesarkan anak (tak kira lelaki ke perempuan) memang mencabar. Rungsing memikirkan apa yang patut dilakukan, dan apa yang tidak? Tapi 16 panduan membesarkan anak perempuan yang dikongsikan ini amat membantu!

Proses membesarkan anak (sama ada anak perempuan atau anak lelaki) memang sukar. Kita sebagai ibu bapa tidak tahu sama ada apa yang kita buat itu benar-benar bermanfaat untuk mereka atau tidak. Tapi satu perkara yang semua ibu bapa pegang – kita ingin yang terbaik buat mereka.

Siapa tak sayang anak? Saya sentiasa takut dengan bermacam perkara sebab saya ingin lindungi anak saya.

Sebab itu selepas Karissa Ancell, blogger terkenal menulis tentang panduan membesarkan anak perempuan yang sungguh bermakna untuk semua ibu ini, saya teruja untuk berkongsi dengan kalian. Panduan ini mendapat sambutan hangat dan telah dikongsi Bright Side!

Jom tengok apa panduan tersebut. Mana tahu anda boleh jadi kawan baik kepada anak anda!

1. Ajar mereka tentang nilai wang dan penting untuk berdiri atas kaki sendiri

Ajar mereka tentang perkara ini! Mudah-mudahan nanti bila mereka besar dan berkeluarga, mereka tidak bergantung sepenuhnya pada pasangan untuk menjaga mereka. Kita wanita kena berdiri atas kaki sendiri juga!

2. Cakap tentang haid atau tubuh badan memang agak memalukan, tapi ia penting!

Jangan malu! Anda sebagai ibu harus selesa bercakap tentang hal ini. Lagipun, dengan siapa mereka ingin berkongsi tentang badan mereka?

Cuba cakap dengan nada kasual, seperti teman-teman. Mereka perlu tahu tentang haid dan perubahan tubuh badan mereka!

3. Hati-hati bila cakap tentang badan anda

Bila mereka semakin membesar, mereka akan peka tentang badan. Jadi, anda perlu berhati-hati bila bercakap tentang isu berat badan atau sebagainya. Anak saya sudah mula sibuk bertanya adakah dia gemuk! Mereka perlu tahu yang mereka tidak perlu bimbang tentang isu saiz badan. Hanya pastikan saiz badan mereka sihat dan betul.

4. Kebenaran sebenar – kecantikan dari dalam

Semua memberi fokus pada kecantikan luaran. Tapi tiada siapa sedar tentang kecantikan dalaman. Anak perempuan anda harus tahu nilai dirinya! Dia harus tahu kecantikan bukan hanya pada luaran, tapi juga dalaman!

5. Alat solek anda akan jadi alat solek mereka

Kan saya dah cakap… anak perempuan boleh jadi ‘kawan baik’. Anak saya minat bermain dengan alat solek sekarang. Ibu boleh ajar anak memakai solek (yang nipis).

6. Mereka boleh bermain permainan untuk lelaki atau bermain dengan lelaki

Lain anak perempuan, lain kegemarannya. Jangan risau sangat jika anak perempuan anda tidak suka bermain Barbie atau anak patung lain. Biar mereka bermain sebebasnya, dengan sesiapa. Janji anda tengoklah!

7. Dunia akan memaksa mereka membesar dengan lebih cepat

Dan sebab itu… tugas anda adalah dengan meletakkan batas. Mereka akan membesar dengan cepat, percayalah! Jadi, tak payah tergesa-gesa untuk beri mereka telefon bimbit atau set alat solek sendiri. Bersabar…

8. Galak dan sokong hubungan mereka dengan bapa

Anda memang sentiasa akan diperlukan. Tapi jangan lupa tentang tanggungjawab dan kasih sayang seorang bapa. Mereka perlu tahu bagaimana kasih sayang sebenar seorang lelaki. Nanti mereka tak terjatuh pada “cinta palsu” dari lelaki!

9. Lindungi mereka tapi ajar mereka untuk lebih kuat

Dunia memerlukan wanita yang lebih kuat! Kita kuat! Begitu juga anak kita! Mereka harus tahu kita memang akan sentiasa melindungi mereka. Tapi jika ada masalah, uruskan sendiri! Berdiri atas kaki sendiri.

10. Puji mereka bukan tentang kecantikan dan penampilan saja

Tak perlu puji tentang penampilan mereka saja! Anda boleh beritahu betapa mereka bijak, lawak atau baik hati. Perkara yang tak akan pudar. Sentiasa ada dalam diri mereka.

11. Tetapkan bagaimana harga diri seorang wanita

Mereka akan belajar dari anda. Jadi, tunjukkan contoh yang baik! Bagaimana individu lain harus melayan seorang wanita. Nanti, mereka akan tahu nilai harga diri seorang wanita, dan takkan sewenang-wenangnya jatuh dek kerana lelaki!

12. Ikut dan laksana impian anda

Seperti kawan baik, lama kelamaan mereka akan faham. Jadi, anda ikut saja semua impian anda. Lakukan apa yang anda mahu. Mereka akan faham yang wanita boleh melakukan apa saja impian!

13. Ajar mereka untuk jadi bijak bila berkawan dengan lelaki/kanak-kanak lelaki

Ajar mereka untuk lebih berhati-hati dan mempercayai naluri. Biasanya, naluri wanita sentiasa betul. Jadi, biar mereka bijak menguruskan persekitaran.

14. Bantu mereka sedar yang badan wanita amat bernilai dan harus dilayan dengan hormat

Badan wanita ini yang akan hamil dan bersalin. Jadi, ada sesiapa yang ingin kata badan wanita tak bernilai?!!  Anak anda perlu tahu tentang hal ini. Mereka perlu tahu badan mereka bukan sewenang-wenangnya boleh dipegang. Pupuk perbualan terbuka di antara kalian. Tiada apa yang harus diselindung!

15. Ajar mereka yang pilihan dalam kehidupan ini tiada batasan

Mereka boleh lakukan apa saja yang mereka mahu, walaupun mereka perempuan! Melainkan pergi ke tandas lelaki, lah…

16. Ajar mereka nilai persahabatan

Mereka tak perlu jadi “Queen Bee” atau “Wanna Bee” atau “Mean Girl” untuk diterima masuk dalam satu “persahabatan”. Mereka hanya perlu satu atau dua kawan baik!

 

Sumber rujukan: Bright Side, Parenting dan Blog Amy Doerring

Penulis

Ayu Idris