Apabila anda menjadi seorang ibu, maka bermulalah kerja sepenuh masa yang bergelar “mama”, “mommy”, “ibu”, “mak” atau “bonda”.
Ya, ia adalah kerja sepanjang tahun tanpa bercuti termasuklah sabtu dan ahad! Tetapi, tahukah anda, sebenarnya anda perlu berehat seketika daripada menjadi seorang ibu? Jom ambil sedikit waktu “me time”!
Apakah itu “Me Time”?
Daripada awal pagi, sebaik sahaja bangun, anda pasti sudah memulakan tugas sebagai seorang ibu. Mengejutkan anak, menyiapkannya pakaian, sarapan, dan membawanya pergi ke sekolah.
Kemudian, mulalah rutin mengemas rumah, membasuh baju, dan masak tengah hari. Seterusnya, anda perlu pula mengambil anak dari sekolah, menghantar ke kelas tuisyen, menyediakan makan malam….mendengar senarai ini sahaja sudah membuatkan kita penat, kan?
Jadi, percayalah wahai ibu-ibu sekalian, anda memerlukan “me time”. Ia adalah masa berehat dan masa bersendirian – bebas daripada anak-anak dan suami – yang anda patut nikmati dari masa ke semasa untuk seketika.
Tidak kiralah sama ada anda mengambil sesi “me time” di luar rumah atau di dalam rumah sekalipun, asalkan ia memberikan sedikit waktu rehat, bebas dari bebanan kerja rumah dan tugas menjaga anak, ia sudah mencukupi!
Apa Pentingnya Mengambil Masa Bersendirian dan Berehat?
Sebenarnya, apabila anda mengambil masa untuk memanjakan diri sendiri, ia memberikan banyak kebaikan kepada anda dan juga orang di sekeliling.
- Ia bagus untuk mengurangkan tekanan – Menjadi ibu itu memang seronok, tetapi ada masa-masanya kita juga tertekan dengan segala bebanan dan isu dalam urusan rumah tangga. Ambillah masa untuk berehat, anda pasti akan berasa segar apabila kembali ke tugas seorang ibu nanti!
- Berjauhan dapat mengeratkan kasih sayang – Orang tua-tua kata, jauh di mata tetapi dekat di hati. Katakanlah anda bercuti seketika secara bersendirian atau dengan rakan rapat, anda pasti akan berasa rindu. Anak-anak dan suami juga berasa yang sama. Apabila kembali, pasti lebih mesra dan erat kasih sayang!
- Anda dapat mencari diri sendiri – Apabila kita berada di tempat yang menyeronokkan, sudah pasti anda dapat menenangkan fikiran. Anda dapat berhubung semula dengan diri sendiri, setelah sekian lama mengabdikan diri sebagai seorang ibu atau isteri.
- Anda akan menjadi lebih gembira – Anda pernah tak mendengar kata-kata yang menyebut “kamu tidak dapat memberikan kebahagiaan jika kamu sendiri tidak bahagia.” Apabila anda berasa tertekan dan tidak lagi gembira di rumah, ambillah sedikit masa untuk berehat dan bersendirian. Anda pasti akan pulang sebagai seorang isteri dan ibu yang lebih tenang dan gembira!
Cadangan “Me Time” yang Boleh Anda Cuba
Jadi, setelah anda yakin bahawa sesi bersendirian dan berehat itu penting untuk anda sebagai seorang ibu, jom kita tengok beberapa cadangan aktiviti “me time” yang boleh anda cuba.
1. Sesi Melakukan Hobi di Rumah Sendiri
Jika anda sememangnya tidak sanggup langsung untuk berjauhan dengan suami dan anak-anak, anda masih mengambil masa untuk berehat dan bersendiri di ruang rumah anda. Luangkan masa untuk hobi anda.
Contohnya, beritahu kepada ahli keluarga anda yang setiap pagi sabtu, anda mahu meluangkan masa membaca buku, berkebun, menonton TV atau keluar minum pagi di kafe tanpa sebarang gangguan – sokongan suami amat diperlukan di sini!
2. Percutian Bersama Rakan-Rakan Wanita
Jika dahulu anda mempunyai ‘girl group’ atau rakan wanita yang rapat, ambil masa untuk pergi bercuti, mungkin beberapa kali setahun.
Pastikan anda tidak membawa anak atau suami untuk percutian khas ini. Hati anda pasti rindu tetapi percayalah, ia bagus untuk dilakukan sekali sekala.
Apabila kembali, pasti berlari-lari si anak untuk mendakap anda. Pada waktu itu, anda juga sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali menjadi seorang supermom!
3. Sesi Gim atau Kelas Meningkatkan Kemahiran Diri
Walaupun kita boleh dikatakan sudah bersenam atau meningkatkan kemahiran diri apabila mengemas rumah dan mendidik anak, namun mempunyai sesi khas untuk bersenam dan mengikuti kelas secara formal juga ada banyak kebaikannya.
Ambil beberapa jam dalam seminggu dengan meluangkan masa untuk diri sendiri. Jika anda suka bersenam, jangan rasa bersalah untuk bersenam selama sejam atau dua jam di gim tanpa membawa anak-anak.
Luangkan juga masa untuk meningkatkan potensi diri dengan menyertai sebarang kelas mengikut minat anda. Mungkin anda boleh mengikuti kelas masakan yang anda sudah lama teringin itu. Ataupun, daftar kelas fardhu ‘ain atau kelas perniagaan yang anda inginkan.
Ingat bahawa selain daripada mendidik anak dengan ilmu bermanfaat, anda juga perlu melakukan perkara yang sama untuk diri sendiri. Orang bijak pandai ada berkata, menuntut ilmu itu kan sehingga ke liang lahat?
Jadi, jom ambil sedikit waktu untuk “me time”!
Sebenarnya, waktu “me time” bukan bermaksud yang anda melarikan diri daripada menggalas tugas atau bermalas-malasan.
Cumanya, anda hanya mengambil sedikit masa untuk bernafas, berehat, berfikir, dan memperbaharui diri sendiri sebelum kembali berjuang dan menghayati watak seorang ibu!
Jadi, jangan rasa bersalah untuk melakukannya, terutama jika suami anda turut menyokong dan membantu pada waktu “me time” ini. Percayalah, ia baik untuk anda dan keluarga!