Anak dipatuk ular kobra hingga hampir maut! Tindakan cepat menyelamat nyawa

Kasihan anak ini. Awasi kawasan rumah ketika musim hujan, kerana mungkin berlaku patukan ular akibat ular yang masuk ke kawasan perumahan!

Kes anak terkena patukan ular

Awasi kawasan rumah ketika musim hujan, kerana kebarangkalian berlaku patukan ular mungkin tinggi akibat ular yang masuk ke kawasan perumahan.

Pada hari Isnin lepas, apabila Muhammad Izz Fayat Sumardi yang berumur 2 tahun sedang tidur bersama ibunya di rumah mereka di Perak, tiba-tiba dia dipatuk ular. Pada masa kejadian, mereka sedang tidur di atas tilam yang diletakkan pada lantai. 

Apabila ayah kanak-kanak itu, Sumardi Chek balik dari kerja, dia terdengar anak bongsunya menangis dengan kuat lalu dia bergegas masuk bilik.

Izz menanggis kesakitan. Apabila isteri saya cuba tengok tapak tangan kirinya, dia mendapati ada kesan darah dan kesan patukan ular.

Kami bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Izz tidak berhenti menangis dan dia kelihatan semakin lemah. Tangan kirinya juga sudah bertukar menjadi biru,” kata Sumardi memberitahu The New Straits Times. 

Bengkak dan biru akibat patukan ular. Sumber: Twitter

Kanak-kanak itu telah dipatuk ular tedung sepanjang 1 meter. Menurut laporan, ular itu menyorok di bawah tilam dan telah berjaya ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam. 

Nyawa-nyawa ikan selama 24 jam selepas patukan ular

Walaupun sempat menerima rawatan, keluarga Izz terpaksa bersabar sambil melihat badan kecil Izz menahan sakit sepanjang malam akibat patukan ular. Sumardi berkata anaknya pasti rasa sangat sakit kerana dia akan menangis setiap kali dia bangun.

Nasib baik keadaan Izz bertambah pulih selepas 24 jam. 

Saya tahu dia masih rasa sakit tetapi alhamdulillah, pagi tadi dia sempat memberi senyuman walaupun tangannya bengkak hingga ke siku. Doktor juga memberitahu saya paru-paru serta kedua-dua buah pinggang Izz tidak terjejas,” kata ayahnya dengan lega.

Nyawa-nyawa ikan selepas patukan ular

Jenis-jenis ular yang terdapat di Malaysia

Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.

Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya adalah ular tedung (kobra dan king cobra), ular kapak (Russell’s Viper, Malaysian pit viper dan Green tree pit viper) dan ular ‘kraits’.

Kebanyakkan ular suka menyorok di dalam semak yang tebal dan di kawasan-kawasan berdekatan dengan hutan. Tapi ini tidak bermaksud haiwan ini tidak akan masuk ke kawasan perumahan untuk mencari tempat berteduh.

Jadi pastikan kawasan rumput di sekeliling rumah sentiasa dipotong dan kemas dan jangan lupa ular mungkin tertarik dengan kolam-kolam kecil juga.

Apa yang anda harus buat jika terserempak dengan ular?

  • Beredar dari tempat itu dengan perlahan-lahan dan dalam diam. 
  • Jangan kacau atau cuba mencabar ular itu – mereka akan menyerang apabila dicabar
  • Ular suka keluar pada waktu malam. Jadi berhati-hati ketika berjalan di kawasan semak pada waktu malam. 
  • Jangan hampiri ular yang diam atau kelihatan seperti ia sudah mati. Ia mungkin masih hidup.
  • Hubungi pihak bomba jika terjumpa ular di kawasan perumahan.

Patukan ular: cara rawatan dari Kementerian Kesihatan

Rawatan awal boleh dilakukan oleh mangsa sendiri atau dengan bantuan orang di sekeliling. Risiko kematian dapat dielak sekiranya langkah-langkah berikut diambil dengan segera, seperti:
  • Bawa bertenang dan tenangkan mangsa;
  • Hadkan pergerakan bahagian atau anggota yang dipatuk bagi mencegah bisa merebak ke dalam tisu dan ke seluruh badan. Sekiranya dipatuk pada bahagian tangan atau kaki maka penggunaan splint pada anggota berkenaan adalah disyorkan;
  • Minta bantuan (jika berseorangan) atau hubungi talian 999;
  • Jika berlaku perdarahan, berikan tekanan ke atas luka menggunakan kain bersih;
  • Gunakan papan atau papah mangsa sekiranya mangsa perlu dipindahkan;
  • Sekiranya bantuan lambat tiba, bawa mangsa ke pusat rawatan berdekatan;
  • Cuba sebaik mungkin untuk mengenal pasti jenis ular yang mematuk atau menggunakan kamera/telefon bimbit untuk ambil gambar ular;
  • Bawa ular yang telah mati ke pusat rawatan bagi membantu mengenal pasti jenis ular (pastikan keselamatan sentiasa diutamakan);

Jangan lakukan semua ini ketika merawat patukan ular. Sumber gambar: wikiHow

JANGAN:

  • Menggunakan kaedah “torniquet” untuk mengikat bahagian gigitan;
  • Menyedut bahagian luka patukan ular;

Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut jika perlu:

  1. Suntikan antivenom akan diberikan bagi mengelak komplikasi akibat racun (toksin) yang ada di dalam ular bisa;
  2. Suntikan anti-tetanus akan diberikan bagi mengelak serangan kancing gigi;
  3. Ubat penahan sakit.

Semoga kes seperti ini berjaya dielak oleh kita!

 

 

 

Sumber: The New Straits Times , myHealth

Gambar: Screengrab – CNA

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Gambar menyayat hati ibu ini menyusu anaknya buat kali terakhir kerana kanser

Penulis

Rosanna Chio