Anak-anak yang mendapat kasih sayang dan peluk cium yang cukup daripada kedua-dua ibu bapanya pasti akan membesar dengan sifat yang baik dan keperibadian yang mulia.
Hal ini kerana ibu bapalah yang berperanan besar dalam mencorakkan tingkah laku anak dengan sifat yang terpuji seiring dengan impian mereka sewaktu melahirkan anak tersebut.
Kasih sayang terhadap anak ini boleh ditonjolkan melalui peluk cium seorang ibu dan bapa yang mampu menurunkan tekanan pada anak-anak.
Pelukan ini sebenarnya bukan hanya dilakukan sewaktu mereka masih kecil sahaja tapi ia boleh juga dilakukan semasa mereka telah pun dewasa.
Menurut Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, banyak kebaikan yang diperolehi jika ibu bapa selalu memeluk anak sejak dari kecil sehingga mereka meningkat dewasa.
Oleh itu, Noor Afidah berkongsi bilakah waktu yang sesuai untuk ibu bapa memeluk anak-anak dan amalan ini harus selalu dilakukan setiap hari.
“Ibu bapa jangan berhenti dari memeluk anak-anak tidak kira anak lelaki mahupun anak perempuan,”.
“Pelukan yang datangnya daripada ibu ayah dapat meredakan ledakan emosi yang anak alami terutama di saat mereka mengalami temper tantrum atau tekanan emosi.
“Apatah lagi, dengan pelukan ini dapat mengurangkan hormon stres (cortisol) dan menaikkan hormon kasih sayang (oxytoxin) yang dapat menurunkan emosi anak.
Beliau turut menambah, pelukan ini juga dapat meringankan tekanan dan beban di kepala ibu ayah yang mungkin penat setelah seharian dengan urusan kerja.
12 waktu terbaik untuk peluk cium anak
#1. Sebelum waktu tidur
Ucapan selamat malam atau good night ini adalah sesuatu amalan yang bagus bagi seluruh keluarga.
Sebelum anak-anak masuk tidur, peluklah mereka buat seketika dan cium pipi mereka. Dari situ anda dapat melihat wajahnya tersenyum dan tidurnya dalam keadaan yang tenang.
Malah dengan cara ini dapat membuktikan bahawa ibu dan ayah sungguh- sungguh menyayanginya sepenuh hati.
#2. Anak bangun dari tidur
“Wah, anak ayah sudah bangun dari tidur”. Ucapkan perkataan ini dan berikan pelukan mesra kepadanya. Jika sudah berumur lima tahun ke atas anda boleh memintanya memberus gigi dan menyiapkan sarapan pagi untuknya.
#3. Anak nak pergi sekolah
Anak nak pergi sekolah juga adalah waktu yang sesuai untuk ibu ayah memberi pelukan mesra kepada anak.
Kemudian titipkan harapan supaya anak itu tenang tatkala berada di dalam kelas dan mudah mendapat pelajaran yang diajar oleh guru.
#4. Anak pulang dari sekolah
Setelah anak pulang dari sekolah, ibu ayah boleh memeluk semula mereka dan mencium pipinya. Sambil bertanyakan keadaannya di sekolah dan apa yang dipelajarinya dari guru. Sedikit sebanyak anak akan berkongsinya
dengan anda sekaligus menunjukkan minat dengan untuk terus belajar.
#5. Masa nak pergi kerja
Setelah bersiap untuk pergi kerja, ini juga waktu yang sesuai untuk memeluk anak-anak dan ungkapkan kepada mereka untuk menjaga diri dan mendengar kata ibu sepanjang ketiadaan ayah di rumah. Pasti anak akan menganggukan kepala seterusnya mendengar nasihat ayah itu dengan baik.
#6. Pulang dari tempat kerja
Semasa pulang dari kerja juga peluklah sebentar anak-anak dan beritahu mereka anda sudah pulang ke rumah. Tentu mereka teruja melihat wajah bapanya muncul di hadapan pintu. Silap hari bulan ada yang berlari semata-mata nak peluk ayah atau ibu mereka yang baru pulang dari kerja.
#7. Momen istimewa dan gembira anak
Maksudnya di sini kalau anda sedang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak dan sebagainya, teruslah memeluk mereka dan katakan bahawa anda menyayanginya sepenuh jiwa dan dia permata yang cukup bernilai buat anda.
#8. Anak sedih, marah dan kecewa
Anak kecil juga tidak terkecuali untuk melalui perasaan sedih, marah dan kecewa. Jika merasakan anak mengalami salah satu perasaan ini, peluklah mereka sepenuh jiwa supaya dirinya kembali tenang dan gembira.
#9. Semasa anak melakukan kebaikan
Kalau nampak anak melakukan kebaikan tidak kira perkara-perkara kecil sekalipun peluk, puji dan hargailah dirinya supaya dia tahu kebaikan yang dilakukan itu adalah sesuatu yang baik dan perlu dilakukan selalu.
#10. Meraikan kejayaan anak
Contoh mudah yang boleh diulas adalah seperti anak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan maka di masa inilah untuk anda memeluk dan raikan kejayaannya itu.
#11. Bermain atau bersantai
Walaupun semasa bermain, ini juga masa yang sesuai untuk anda memeluk tubuh mereka sambil melihat keletah comel si kecil yang kadang-kadang mencuit hati itu.
#12. Peluk cium anak sebagai kejutan
Tak ada salahnya jika secara tiba-tiba anda nak memeluk anak, bahkan mereka pasti ketawa bila diperlakukan sebegitu oleh ibu atau ayahnya.
Justeru, amalan ini boleh dilakukan sejak anak masih kecil lagi dan jika baru nak mula jangan pernah merasakan kekok dengan pelakuan itu.
Bahkan, tidak haram bagi ibu memeluk anak lelaki dan tidak haram bagi ayah untuk memeluk anak perempuannya.
Jika ada yang melarang mungkin orang tersebut pernah mengalami episod hitam dengan ayah atau lelaki dewasa yang rapat dalam keluarganya.
Jadi nasihat tersebut tidak relevan untuk keluarga anda yang harmoni dan aman itu.
Peluklah anak-anak anda bermula hari ini kerana ini cara connection pada zaman sekarang yang sesuai untuk jadikan anak lebih baik dan kekuatan di masa akan datang.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber : Parent Connect
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.commengapa-anda-perlu-peluk-anak