Bayi yang baru lahir sehingga berumur dua tahun merupakan tempoh kritikal di mana mereka memerlukan banyak zat dan nutrisi untuk mencapai pertumbuhan yang optimum, juga kesihatan dan perkembangan minda yang baik. Andai kata bayi tidak menerima nutrien yang mencukupi, pertumbuhannya mungkin terbantut dari segi mental dan motor. Jadi persoalannya, adakah pemakanan vegan bekalkan nutrisi cukup untuk tumbesaran bayi anda?
Apa Itu Pemakanan Vegan?
Veganisme merujuk kepada sejenis diet vegetarian yang tidak mengandungi daging, telur, produk tenusu dan lain-lain bahan yang berasal daripada haiwan. Contohnya, jika seseorang vegan makan biskut, dia perlu memastikan yang biskut itu tidak mengandungi produk tenusu seperti susu.
Diet vegan yang diketahui ramai adalah diet yang termasuk semua biji-bijian, kacang-kacangan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tapi juga banyak versi makanan vegan lain seperti vegan keju, vegan aiskrim, vegan yogurt, dan vegan burger.
Makanan-makanan ini dihasilkan daripada bahan-bahan alternatif seperti susu soya, susu kacang badam ataupun daging sintetik.
Bagaimanakah Pemakanan Vegan Boleh Mengisi Nutrisi Bayi Anda?
Ia menjadi satu kerisauan kerana bayi dan kanak-kanak kecil sangat memerlukan protein, kalsium dan vitamin D oleh sebab pembesaran mereka yang cepat dan pantas. Namun begitu, pemakanan vegan untuk bayi dijamin sihat selagi ia mengandungi vitamin dan zat yang diperlukan.
Bagi bayi yang baru lahir sehingga berusia setahun, bayi boleh diberi susu badan secukupnya disamping formula susu bayi yang dihasilkan daripada kacang soya. Pastikan formula susu ini diakui oleh pakar nutrisi kanak-kanak terlebih dahulu. Supplemen seperti Vitamin B12, Vitamin D dan zat besi juga boleh diberikan dalam bentuk pil yang dibeli dari farmasi berdekatan.
Selain itu, bayi juga amat memerlukan makanan yang mengandungi kadar lemak yang tinggi. Biasanya makanan sebegini didapati daripada susu lembu dan lain-lain produk tenusu. Jadi, untuk menggantikan produk tenusu tersebut, ibu bapa atau penjaga boleh memasak makanan bayi menggunakan bahan seperti avocado, yogurt soya dan kacang untuk memastikan bayi mereka masih mendapat akses kepada makanan berlemak.
Berhati-hati Dengan Alternatif Yang Anda Berikan Kepada Bayi Anda
Walaupun anda memberi suplemen vitamin B12, vitamin D, dan zat besi yang secukupnya, pastikan anda tidak terlepas pandang kekurangan nutrien-nutrien yang lain seperti zink dan asid lemak Omega-3.
Contohnya, bagi memastikan bayi anda memperoleh 11mg zat besi dan 3mg zink yang dia perlukan dalam sehari, anda boleh memberikan bayi anda tofu atau kacang kuda dan kacang ginjal. Kacang-kacang lain seperti walnut, biji rami, kangkung, dan biji selasih juga boleh membantu membekalkan Vitamin D.
Risiko-risiko Pemakanan Vegan Bagi Bayi
Walaupun mineral seperti zat besi, kalsium, iodin, zink dan Vitamin B12 serta Vitamin D boleh diperoleh dari sumber tumbuh-tumbuhan, ia mungkin sukar diserap oleh bayi anda.
Anemia adalah risiko tertinggi bagi bayi yang masih kecil. Anemia terjadi apabila bayi kekurangan zat besi yang paling mudah didapati daripada daging haiwan. Bayi juga terdedah kepada kerosakan saraf yang boleh terjadi akibat kekurangan Vitamin B12.
Iodin pula biasa didapati dari produk tenusu dan ikan. Ya, ia boleh diganti dengan garam iodin tetapi ia kurang sesuai bagi bayi. Akan timbul pula masalah lain jika bayi diberi garam terlalu banyak. Sebaliknya, ibu bapa atau penjaga mungkin boleh cuba memberikan rumpai laut bagi memastikan bayi memperoleh kandungan iodin yang sesuai. Kekurangan iodin boleh mendatangkan masalah besar kepada pembangunan mental bayi.
Kenal Pasti Simptom-simptom Yang Menandakan Bayi Anda Kekurangan Zat
Oleh kerana cara pemakanan vegan ini mungkin adalah sesuatu yang baru bagi anda dan bayi anda, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan pantauan bagi memastikan bayi anda kekal sihat.
Justeru, kami telah menyenaraikan tanda-tanda bayi anda tidak mendapat zat secukupnya.
1# Tumbesaran yang terbantut
Mungkin bayi anda tidak membesar sepantas kanak-kanak lain dari segi fizikal.
2# Masalah berat badan
Bayi yang mempunyai berat badan terlalu rendah, ataupun susah untuk naik berat badan juga menunjukkan simptom kekurangan zat.
3# Bayi hilang selera makan
Mungkin anda mula nampak yang bayi anda enggan makan atau kurang makan. Ini mungkin bermakna kekurangan zat telah menyebabkan proses penghadamannya menjadi bermasalah.
4# Bayi menjadi lesu dan letih
Dulu bayi anda ceria dan selalu tersenyum. Tiba-tiba dia cepat meragam dan lebih banyak tidur daripada biasa. Ini menandakan kekurangan zat ini telah memberi impak negatif kepada tahap tenaganya.
5# Bayi anda sering jatuh sakit
Salah satu sebab bahayanya gejala kekurangan zat adalah sistem imuniti menjadi lemah. Ini menjadikan bayi anda mudah dihinggap penyakit seperti demam, batuk, selsema dan lain-lain.
Kekalkan Minda Yang Terbuka Apabila Bayi Anda Menginjak Dewasa
Dengan peredaran masa, bayi kecil anda akan membesar dan mempunyai prinsip serta pilihan mereka yang tersendiri apabila mereka dewasa. Walaupun anda telah membesarkan anak anda dengan cara pemakanan vegan, anda harus menerima seandainya anak anda memilih untuk meninggalkan cara pemakanan tersebut.
Perkara ini boleh didorong oleh pelbagai faktor. Contohnya, mungkin anak-anak kita menghadiri parti hari jadi rakan sekelas d imana makanan vegan tidak dihidangkan. Ataupun mereka melihat kawan-kawan makan makanan yang lain daripadanya dan ingin mencuba.
Ia menjadi hak mereka untuk membentuk corak hidup mereka tersendiri. Walau apa pun, jangan bimbang kerana mereka akan tetap menjadi anak anda buat selamanya.
Baca juga: 32 Jenis Buah Yang Sesuai Untuk Bayi 7 – 10 Bulan, Anak Anda Suka Yang Mana?