Gara-Gara Berebut Harta Pusaka, Lelaki Nekad Langgar, Tetak Abang & Kakak Ipar

Hanya disebabkan oleh pembahagian harta pusaka ibu, seorang adik sanggup bertindak di luar kawalan melanggar dan menetak ahli keluarganya sendiri.

Ekoran kegagalan dalam pembahagian harta pusaka ibu, seorang lelaki tergamak melakukan perkara di luar kawalan dengan membunuh darah dagingnya sendiri. Kejadian sebegini bukanlah kali yang pertama berlaku di Malaysia, tidak hanya konflik berebut hak masing-masing, ada juga sanggup memutuskan ikatan keluarga hanya disebabkan harta dunia.

Ia sering terjadi disebabkan oleh harta yang dimiliki oleh sesebuah keluarga tidak diwasiatkan secara terlebih awal.

Apabila ibu ayah meninggal dunia, adik-beradiklah yang perlu bersatu untuk menyelesaikan segala tanggungjawab terhadap si mati dan membahagikan harta mengikut ajaran agama.

Pembahagian harta pusaka ibu berakhir dengan tragedi

Seorang adik lelaki dikatakan tergamak melanggar dan menetak abang serta kakak iparnya sehingga suspek ditemui mati di sebuah lombong Antara Gapi, Hulu Selangor beberapa hari yang lalu.

Mangsa adalah lelaki berusia 65 tahun bersama isterinya 56 tahun telah mengalami cedera pada bahagian kaki serta tangan selepas ditetak oleh adiknya sendiri menggunakan sebilah parang.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arsad Kamaruddin berkata, sebelum kejadian suami isteri terbabit sedang menunggang sebuah motorsikal. 

Ketika melalui hadapan kuil di Kampung Chuang Rasa, mereka telah dilanggar oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.

''Suspek yang menaiki kenderaan jenis Proton Iswara terus menetak pasangan tersebut sebelum bertindak melarikan diri. Seorang saksi telah melihat kejadian menghampiri mangsa yang dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.''

Tambahnya, menurut saksi lain terdengar bunyi kuat dentuman dan apabila keluar dari rumah sudah mendapati suami isteri telah terbaring di tepi jalan.

Nekad bunuh diri sendiri

Kedua-dua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan kini telah dilaporkan stabil.

Arsad berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan adik kandung mangsa lelaki sebelum menemui sebilah parang yang digunakan suspek di tepi jalan simpang tiga Pekan Rasa berdekatan dengan sebuah perhentian bas.

Selepas kejadian berkenaan, polis telah menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kenderaan dipercayai milik suspek di lombong Antara Gapi pada 1.10 tengah hari hari yang sama.

''Kereta itu dijumpai terjunam di tebing lombong dan pintu bahagian pemandu dalam keadaan terbuka. Mayat telah ditemui dalam keadaan terapung berhampiran kenderaan yang dinaiki,'' ujarnya.

Pihak polis telah meminta bantuan dari pasukan bomba untuk mengangkat mayat. Hasil pemeriksaan pada fizikal mendapati tidak mengalami sebarang kecederaan dan unsur jenayah.

Seterusnya, mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk dibedah siasat. Pihak polis percaya bahawa penemuan mayat ini ada kaitan dengan kejadian langgar serta tetak pasangan suami isteri terbabit.

Katanya, motif kejadian telah dikenal pasti kerana perebutan harta pusaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, manakala kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengurusan harta pusaka mendatangkan konflik 

Menurut Perunding Profesional Pusaka, Muhammad Hakim Nordin, ramai dalam kalangan orang Islam tidak mengetahui operasi pengurusan pusaka boleh berisiko dan rumit sekiranya tidak dirancang dari awal.

''Selesai proses pengebumian dan menyelesaikan hutang si mati, status harta bertukar milik kepada waris memerlukan anda melalui 3 proses utama iaitu perolehan kuasa, pentadbiran dan pembahagian kepada waris yang layak,'' katanya.

Setelah selesai tuntutan harta si mati, bakinya akan difaraidkan kepada waris mengikut ajaran Islam iaitu:

''Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Tetapi jika anak-anak perempuan lebih dari dua, maka bahagian mereka 2/3 dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah separuh harta itu. Dan bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang daripada keduanya 1/6 daripada harta yang ditinggalkan jika si mati ada anak. Tetapi jika si mati tiada anak, sedang yang mewarisi hanya ibu bapanya, maka bahagian ibunya 1/3. Kalau si mati itu mempunyai beberapa saudara, maka bahagian ibunya ialah 1/6.- Surah an-Nisa ayat ke-7, 11, 12 dan 126

Sumber: Harian Metro, Berita Harian

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: