Jika sebelum ini kes jenayah berat atau melibatkan pembunuh bersiri adalah terdiri kalangan penjenayah yang berusia belas-belasan dan puluhan tahun. Namun siapa sangka kanak-kanak bawah umur ini merupakan salah seorang daripadanya!
Kebiasaannya, anak kecil dianggap manusia yang masih suci daripada melakukan sebarang dosa. Namun sekiranya tersilap langkah, mereka mungkin menjadi seseorang yang anda sendiri tidak dapat membayangkannya.
Pembunuh bersiri paling muda di dunia
Seorang kanak-kanak lelaki dari negara India telah mengemparkan dunia apabila mengetahui dia adalah pembunuh bersiri paling muda di dunia. Suspek yang bernama Amarjeet Sada berasal dari daerah Begusaray di Bihar, India.
Berdasarkan laporan, keluarganya adalah golongan miskin. Bapanya hanya bekerja sebagai buruh kasar. Amarjeet mula melakukan pembunuhan buat kali pertamanya ketika dia berusia 7 tahun.
Mangsa tersebut adalah sepupu perempuannya dan berusia 6 tahun. Namun tidak lama kemudian, dia dengan beraninya membunuh lagi seorang bayi berumur 8 bulan iaitu adik perempuan kandungnya.
Difahamkan sebahagian ahli keluarga Amarjeet dan beberapa lagi penduduk kampung berkenaan mengetahui tentang jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak tersebut. Walau bagaimanapun mereka hanya menganggapnya sebagai masalah keluarga dan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Seterusnya pada tahun 2007, Amarjeet dikatakan telah membunuh anak kepada jirannya yang berusia 6 bulan. Kes tersebut kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis.
Menurut Superitendan Amit Lodha berkata, kes pembunuh bersiri kanak-kanak berkenaan adalah disebabkan oleh masalah psikiatri. Pakar juga telah menilai kesihatan mentalnya dan mengesahkan bahawa dia menghidap ‘kelainan tingkah laku’ (conduct disorder).
Kerajaan kaji punca jenayah kanak-kanak bawah umur
Menurut laporan Malaysiakini pada tahun yang lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang melakukan kajian tentang punca isu jenayah melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Merujuk kes yang berlaku terdahulu, timbalan menteri berkata adalah penting jika kajian turut memfokuskan pada latar belakang sesebuah keluarga. Hal ini kerana maklumat diperoleh tidak mencukupi sekiranya pihak berkuasa hanya melakukan penangkapan pelaku jenayah tersebut.
”Kebiasaannya, masalah ini berlaku apabila adanya masalah komunikasi antara ahli keluarga, tidak mempunyai masa untuk bercakap, memantau dan mendidik anak-anak yang masih kecil,”
”Trend seperti kehilangan ayah, hidup bersama ibu tunggal, ibu sibuk mencari rezeki dan membiarkan anak-anak bebas kemana-mana sahaja amat mendorong mereka melakukan sesuatu kesalahan yang melanggar undang-undang.” jelasnya.
Didik anak bermula dari rumah
Seawal usia, ibu ayah hendaklah bekerjasama dalam mendidik anak-anak dengan baik. Hakikatnya pendidikan yang sebenar adalah bermula dari rumah dan bukannya sekolah.
Dalam kitab al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah (13:11) disebutkan:
”Ibu bapa serta seorang wali daripada seorang anak hendaklah mengajarkan sejak awal lagi apa yang diperlukan oleh anak ketika ia mencapai usia baligh. Hendaklah anak diajarkan akidah yang benar beriman kepada Allah S.W.T. Begitulah hendaknya anak diajarkan ibadan yang benar. Anak semestinya diarahkan untuk memahami kewajipan solat, puasa, bersuci dan seumpamanya.”
Dalam hal ini, peranan ibu ayah adalah amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak agar tidak melakukan perkara negatif atau di luar kawalan sehingga mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan ahli keluarga yang lain.
Dalam kitab itu juga (al-Mawsu’ah) menyatakan:
”Hendaklah anak juga diperkenalkan haramnya zina dan liwat, juga diterangkan mengenai haramnya mencuri, meminum arah, dusta, mengumpat dan maksiat seperti itu. Sebagaimana pula diajarkan bahawa jika sudah baligh (dewasa), maka seorang anak akan dibebankan pelbagai kewajipan, diajarkan pula kepada anak setelah ia baligh.”
Perintah untuk mendidik anak seawal usia berdasarkan ayat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim:6)
Di rumah, ibu ayah hendaklah menjadi role model yang baik untuk dicontohi anak-anak terutamanya mengamalkan adab dan sopan, gaya hidup sihat dan selalu melakukan kebaikan.
Bukan itu sahaja, pantau setiap pergerakan mereka setelah anda menyedari mereka sudah pandai berkawan. Sentiasa menasihatinya agar menjauhkan diri daripada sebarang perkara negatif dan kenakan hukuman yang setimpal sekiranya mereka enggan mematuhinya.
Sumber: Mstar, Malaysiakini, Ikram Muda
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: