Untuk ibu bapa sibuk yang tidak sempat untuk menyediakan makanan untuk bayi dirumah, makanan puri dalam pek plastik pilihan paling mudah.
Pek makanan bayi yang mudah dibawa ini biasanya penuh dengan bahan-bahan organik yang sihat dan boleh dibeli di mana-mana.
Ibu-ibu sibuk hanya perlu buka penutup dan suap kepada bayi yang lapar dengan sudu kecil, ataupun bayi itu boleh hisap dengan sendiri.
Walaupun pek makanan puri ini agak mahal – kos satu pek dalam anggaran RM4 – RM9, sesetengah ibu bapa masih sanggup melaburkan wang kerana ia cepat dan senang. Tetapi kesenangan ini sebenarnya datang dengan harga lain..
Tidak dapat dikitar semula
Kebanyakan pek plastik ini tidak dapat dikitar semula dan banyak di buang ke tapak pelupusan – atau lebih teruk lagi, ke dalam lautan.
Namun, permintaan untuk pek makanan bayi ini semakin meningkat, walaupun terdapat alternatif yang berpatutan yang boleh digunakan berulang-ulang kali.
Masalahnya, pek plastik ini diperbuat daripada pelbagai lapisan bahan dan komponen kitar semula yang tidak dapat uraikan, kata Brent Bell, naib presiden kitar semula, Pengurusan Sisa, di Amerika Utara.
Pek plastik kosong dan sampah-sampah lain akhirnya terbuang ke dalam lautan disebabkan oleh pelupusan sampah yang salah dan orang yang tidak bertanggung jawab.
Contohnya apabila seseorang membuang sampah secara sebarangan, sampah itu mungkin boleh ditiup angin ke dalam longkang besar. Sampah itu kemudian akan berakhir dalam sungai dan lautan melalui paip pembetung.
Pencemaran plastik
Lindsay Gallimore, seorang blogger isu alam sekitar dan ibu turut memberitahu HuffPost, “Orang zaman sekarang digalakkan untuk mengamalkan hidup cara yang bersih.
Tetapi semua berita heboh tentang gaya pemakanan yang ‘lebih bersih’ ini masih dibungkus dalam bungkusan yang tidak baik untuk alam sekitar.”
Jika industri makanan bayi tidak mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini, jumlah plastik hasil daripada produk-produk ini hanya akan bertambah.
Menurut laporan daripada Kumpulan Freedonia, sebuah firma penyelidikan, pada tahun 2015, hasil jualan pek makanan bayi telah mencapai $45 juta. Ini peningkatan yang sangat besar dari $8 juta pada tahun 2010.
Memandangkan permintaan yang semakin banyak, adakah anda mahu lihat tapak pelupusan dan lautan bertimbun dengan plastik?
Pakar-pakar menganggarkan lautan akan mempunyai lebih plastik daripada ikan (mengikut berat) menjelang tahun 2050.
Plastik dipercayai sedang mengancam sekurang-kurangnya 600 spesies hidupan liar yang berbeza, kata Ocean Conservancy.
Meskipun pek-pek plastik ini sampai ke tapak pelupusan, ia boleh mengambil masa sehingga 1000 tahun untuk diurai. Di samping itu ia juga boleh membocorkan bahan pencemar ke dalam tanah dan air.
Sumber: Yahoo