Mahkamah Majistret di Nibong Tebal, Pulau Pinang, telah menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM2,000 kepada seorang wanita, Tan Seow Yen, akibat menampar seorang guru 2 tahun lalu.
Hukuman tersebut bermula rabu lalu selepas pihak pembela gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes ini.
Pada 2 Feb 2015, wanita terbabit telah dilaporkan menampar guru di sekolah anak lelakinya yang berusia 9 tahun. Kejadian tersebut berlaku pada waktu petang sekitar 5.15pm setelah si anak memberitahu bahawa guru Bahasa Melayu, L. Vanitha, telah menamparnya.
Dalam laporan lain, dikhabarkan bahawa guru tersebut telah mencubit pelajar darjah tiga itu.
Akibat daripada kejadian itu juga, guru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Kuang itu juga telah dipindahkan ke sekolah yang lain.
Manakala, ibu pelajar berkenaan pula disabit di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat menimbulkan kecederaan dengan sengaja.
Apa yang kita boleh ambil sebagai pengajaran daripada berita sebegini?
Laporan seperti ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.
Buat para guru, bertenang dan berlapang dada atas setiap kesilapan anak murid. Mereka baru hendak belajar dan kitalah yang sepatutnya mendidik mereka secara rasional.
Perasaan marah itu normal tetapi ada cara untuk mengawalnya. Jika anda marah ketika berdiri, duduklah seketika. Jika anda duduk, keluarlah dari bilik darjah untuk beberapa minit. Mungkin anda akan kembali tenang dan dapat mengajar anak murid anda tentang kesalahan mereka secara lebih baik dan berkesan.
Layan Anak Murid Seperti Anak Sendiri
Anda juga mungkin seorang ibu atau ayah. Maka, sebagaimana anda tidak mahu orang lain memukul anak anda secara berlebihan atau tanpa sebab, begitulah juga sepatutnya anda melayan atau mendidik anak murid di sekolah.
Buat para ibu bapa, laporan sebegini juga ada pengajaran buat anda. Cubalah fahami tugas dan bebanan guru. Jika anak anda pulang dengan hal-hal sebegini, bawa bertenang dan jangan bertindak terburu-buru. Siasat terlebih dahulu dan anggaplah ia satu bentuk pembelajaran buat dirinya.
Anak Dipukul Tidak Bermakna Anda Juga Berhak Memukul
Walaupun anak anda ditampar atau dipukul, anda juga masih tidak berhak untuk melakukan perkara yang sama. Ia hanya membuatkan anda tidak jauh bezanya dengan si pelaku.
Namun, jika ia berulang dan dirasakan perbuatan guru melampui batas dan mengikut perasaan, bawa berbincang dengan pihak sekolah dan luahkan perasaan tidak puas hati anda mengikut cara yang betul.
Dengan kaedah dan saluran yang terbaik, pasti perubahan positif akan berlaku!