Kontroversi Beauty and the Beast yang baru-baru ini melanda dunia perfileman akhirnya mendapat pengakhiran gembira. Filem dari Disney yang dinanti-nanti peminat kini bakal ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia bermula 30 Mac.
Filem ini juga akan diklasifikasikan di bawah pengelasan PG13 (Kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan menonton filem ini tanpa pengawasan orang dewasa).
Kontroversi yang melanda filem Beauty and the Beast sebelum ini bermula selepas pengarahnya Bill Condon menyatakan yang watak LeFou yang dimainkan Josh Gad merupakan seorang gay.
Ia kemudiannya juga telah diharamkan di beberapa pawagam di Amerika Syarikat. Malah, Rusia telah melabelkan filem ini hanya boleh ditonton oleh mereka yang berumur 16 tahun ke atas sahaja.
Menurut laporan AFP, pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata ‘momen gay’ yang merisaukan ialah tentang sebuah lagu menunjukan LeFou, di mana beliau “mengangkat bajunya dan menunjukkan kesan gigitan cinta (love bite) pada perut beliau”.
Filem ini yang pada awalnya dirancang untuk ditayangkan pada 16 Mac lalu telah ditangguhkan dan telah mengecewakan ramai peminat filem tersebut.
Kemudian, menurut kenyataan pihak Lembaga Penapisan Filem (LFP), menyatakan yang mereka akan menayangkan filem muzikal fantasi tersebut selepas memotong beberapa babak yang dirasakan tidak sesuai dipertontonkan di Malaysia.
Walaubagaimanapun, pihak Walt Disney Co telah menegaskan mereka enggan memotong babak gay yang penuh kontroversi tersebut dan lebih memilih untuk tidak menayangkan filem Beauty and The Beast di Malaysia.