Sebelum bayi kita lahir lagi, kita sudah mempunyai naluri keibubapaan yang kuat untuk melindungi anak dari sebarang jangkitan atau bahaya.
Terutama sekali ibu-ibu, dari awal kehamilan kita menjaga kandungan dengan mengawal pemakanan. Senang kata, kita akan lakukan sebaik boleh untuk memastikan anak kita selamat.
Sebaik mereka lahir ke dunia ini, kita akan pastikan setiap temujanji anak dengan doktor dituruti sepenuhnya agar perkembangan anak dan jadual vaksin diikuti dengan sempurna.
Tapi, adakah ibu ayah semua tahu bahawa Program Imunisasi Kebangsaan tidak meliputi semua vaksin penting yang anak anda patut terima?
Dan salah satu vaksin penting yang klinik serta hospital kerajaan tidak berikan adalah Vaksin Rotavirus!
Malah kebanyakan ibu bapa tidak pernah dengar akan kewujudan vaksin ini. Sedangkan penyakit rotavirus ini adalah antara salah satu penyakit yang paling mudah dijangkiti malah boleh menyebabkan kematian!
Dan paling menakutkan 1 dalam 61 kanak-kanak yang dijangkiti akan dimasukkan ke hospital1, yang mana keadaan ini boleh dielakkan sekiranya anak-anak divaksin dengan vaksin Rotavirus.
Sekiranya kenyataan ini masih tidak meyakinkan anda, kami akan menjelaskan dengan lebih terperinci akan sebab untuk anda masukkan vaksin ini sebagai vaksin wajib kepada anak anda.
Apakah itu Rotavirus?
Pertama sekali anda perlu tahu apakah itu rotavirus? Ia merupakan sejenis virus yang disebabkan oleh masalah usus yang membuatkan anda cirit birit, muntah-muntah dan demam. Selalunya demam dan muntah-muntah akan berlaku dahulu dan diikuti dengan cirit-birit2.
Kadang-kadang suka untuk ibu bapa kenal pasti, terutama untuk ibu bapa baharu, perbezaan antara jeluak atau muntah disebabkan terlebih susu atau muntah disebabkan bayi tidak sihat.
Sekiranya bayi anda muntah dengan kerap dan ia diikuti dengan demam, ia menunjukkan keadaan anak anda agak serius. Mungkin disebabkan masalah gastrousus3 (masalah pencernaan) atau kebarangkalian dijangkiti rotavirus juga tinggi.
Selain itu ibu bapa juga mungkin sukar untuk membezakan antara najis bayi baru lahir atau cirit-birit. Benar, memang bayi baru lahir akan membuang air besar beberapa kali dalam sehari namun itu adalah normal. Malah teksturnya juga lebih cair dan seakan cirit-birit.
Jadi apa yang anda boleh pastikan disini, bayi yang menyusu badan sepenuhnya akan membuang air besar sehingga 6 kali setiap hari selepas menyusu. Manakala untuk bayi yang mengambil susu formula, mereka akan membuang air besar 1-8 kali pada minggu pertama dan kemudian akan berkurang dalam 1-4 kali sehari. Teksturnya seakan mentega kacang dan lebih pekat berbanding najis bayi menyusu badan.
Sekiranya bayi anda membuang air besar lebih kerap dari yang dinyatakan malah tekstur najis juga lebih cair dari biasa, itu bermakna bayi anda mungkin mengalami cirit-birit4.
Dan sekiranya bayi anda mengalami cirit-birit selepas mengalami gejala muntah-muntah dan demam, ini kebiasaannya simptom rotavirus5.
Bagaimana bayi boleh terkena jangkitan rotavirus?
Bayi boleh terkena jangkitan rotavirus melalui najis mereka sendiri. Virus itu ada pada najis bayi sebelum simptom berlaku, dan ia akan kekal berada di dalam najis bayi untuk 10 hari berikutnya selepas simptom mulai hilang6.
Penjaga seperti pengasuh dan ibu bapa kemungkinan menjadi pembawa ketika kita menyalin lampin bayi. Dan virus itu akan mudah merebak apabila kita menyentuh sesuatu selepas menyalin lampin bayi.
Bayi mungkin terkena jangkitan melalui sentuhan penjaga sendiri atau mereka menyentuh permukaan atau barang yang anda sentuh. Lagi-lagi bayi suka memasukkan jari mereka ke dalam mulut7.
Apa patut anda lakukan jika bayi terkena jangkitan rotavirus?
Sekiranya anda syak bayi anda terkena jangkitan rotavirus, perkara pertama yang anda patut lakukan adalah bawa bayi ke klinik atau hospital.
Kebiasaannya anak anda akan menunjukkan simptom selepas 2 hari dijangkiti. Dengan simptom seperti muntah-muntah dan cirit-birit, mereka akan mulai hilang selera untuk makan. Memandangkan pada usia ini mereka hanya mendapatkan nutrien daripada susu, ia mungkin boleh mengakibatkan dehidrasi8.
Jadi bagaimana untuk anda tahu bayi anda dehidrasi? Perhatikan simptom seperti kurangnya lampin basah, menangis tanpa air mata, kerap merengek, dalam kes yang lebih serius ubun-ubun dan mata akan ke dalam.
Sekiranya mengalami jangkitan yang serius penghidratan pada bayi boleh menyebabkan kematian9.
Mengapa rotavirus sangat merbahaya?
Selain boleh menyebabkan kematian, rotavirus juga antara penyakit yang tidak boleh dirawat dengan ubat yang spesifik.
Ubatan seperti antibiotik atau antiviral juga tidak mampu mengubati penyakit ini.
Ya, tepat sekali, tiada penawar untuk membunuh virus ini dengan berkesan!
Apa yang doktor boleh lakukan adalah biarkan virus itu bertindak dan dalam masa yang sama merawat simptom jangkitan itu.
Mereka akan berikan ubatan untuk demam dan cecair untuk mengelakkan badan anak anda mengalami dehidrasi yang teruk. Namun virus itu akan sentiasa berada di dalam badan dan keluar melalui sistem saluran bayi yang lemah dalam satu minggu10!
Sudah tentu ada caranya untuk anda elak semua ini dari berlaku! Malah menghindar lebih baik daripada merawat. Dan berita baiknya, seperti kami nyatakan tadi, jangkitan ini boleh dielakkan!
Bagaimana untuk mengelakkan jangkitan rotavirus?
Satu cara untuk ibu bapa lakukan bagi melindungi bayi anda daripada rotavirus adalah melalui vaksinasi rotavirus. Mencuci tangan dengan kerap dan sanitasi mungkin boleh mengurangkan risiko jangkitan namun ia tidak dijamin sepenuhnya.
Jadi untuk lebih yakin, ibu bapa patut mula memasukkan vaksin ini di dalam jadual imunisasi bayi secepat yang mungkin!
Penting untuk ibu bapa berbincang dengan pakar pediatrik bayi anda mengenai vaksin ini seawal temujanji pertama mereka sehingga bayi berusia 6 minggu.
Vaksin rotavirus boleh didapati di kebanyakan klinik dan hospital swasta. Jadi apa yang anda perlu lakukan hanyalah buat temujanji di klinik dan hospital swasta yang berdekatan.
Ibu bapa, ini ganjaran untuk anda!
Vaksin yang disarankan ini termasuk dalam senarai bebas cukai Malaysia. Seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun 2020, dalam satu laporan dari Bernama, sebanyak RM1,000 potongan cukai untuk vaksin termasuk vaksin rotavirus juga vaksin-vaksin lain11.
Untuk senarai klinik dan hospital yang membawa vaksin ini, anda boleh rujuk di sini.
MY-ROT-00127 Sep/2021
Rujukan
- Hsu, V. P., Rahman, H. bin A., Wong, S. L., Ibrahim, L. H. J., Yusoff, A. F. H. J., Chan, L. G., Parashar, U., Glass, R. I., & Bresee, J. (2005, September 1). Estimates of the Burden of Rotavirus Disease in Malaysia. OUP Academic. academic.oup.com/jid/article/192/Supplement_1/S80/2191980
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- Gastrointestinal Problems. Gastrointestinal Problems – Health Encyclopedia – University of Rochester Medical Center. (n.d.). www.urmc.rochester.edu/encyclopedia/content.aspx?ContentTypeID=90&ContentID=P02216.
- Diarrhea (0-12 Months). Seattle Children’s Hospital. (2021, March 11). www.seattlechildrens.org/conditions/a-z/diarrhea-0-12-months/#:~:text=Breastfed%20babies%20often%20pass%20more,stools%2C%20the%20baby%20has%20diarrhea.
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- Lim, B. Y. (2016, May 24). Rotavirus Vaccine. PORTAL MyHEALTH. www.myhealth.gov.my/en/rotavirus-vaccine/.
- WebMD. (n.d.). What Is Rotavirus? Causes, Treatment, and Prevention. WebMD. www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus.
- Bernama. (2020, December 16). Parliament: Tax exemptions for COVID-19 treatment,
vaccine – MoF. BERNAMA.
www.bernama.com/en/general/news_covid-19.php?id=1912872.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia