Penyakit hernia atau angin pasang adalah masalah kesihatan di mana sebahagian tisu atau organ dalaman menonjol keluar melalui dinding otot yang lemah. Walaupun lebih biasa berlaku pada lelaki, wanita juga tidak terkecuali menghidapnya.
Isi Kandungan
Apa Itu Penyakit Hernia?
Penyakit Hernia Atau Angin Pasang Pada Perempuan
Hernia berlaku apabila sebahagian tisu atau organ seperti usus menolak melalui dinding otot yang lemah biasanya di kawasan abdomen.
Pada perempuan, hernia sering terjadi di kawasan sekitar pangkal paha, perut atau kawasan pusat. Hernia bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan fizikal tetapi boleh menjejaskan kehidupan seharian jika tidak diambil tindakan awal.
Jenis-Jenis Hernia Yang Biasa Dihadapi Perempuan
1. Hernia Inguinal (Angin Pasang Langsung)
Hernia inguinal lebih kerap berlaku pada lelaki, namun perempuan juga berisiko terutama jika terdapat kelemahan otot di kawasan pangkal paha.
Hernia ini terjadi apabila usus atau tisu menonjol melalui kawasan inguinal.
2. Hernia Umbilikal (Pusat)
Hernia jenis ini berlaku di kawasan sekitar pusat dan sering kali dialami oleh perempuan yang pernah melalui kehamilan atau mengalami obesiti.
Ketika mengandung, dinding perut menjadi lemah akibat tekanan yang boleh menyebabkan hernia pusat.
3. Hernia Insisional
Hernia insisional terjadi selepas pembedahan di kawasan perut. Luka pembedahan yang tidak sembuh sepenuhnya atau kekurangan kekuatan otot boleh menyebabkan hernia insisional yang sering dialami oleh perempuan.
4. Hernia Femoral
Hernia femoral lebih kerap berlaku pada perempuan berbanding lelaki. Ia berlaku di kawasan pangkal paha dan biasanya menimbulkan rasa sakit atau bengkak.
Hernia jenis ini agak berbahaya kerana berisiko menyebabkan komplikasi.
Punca Hernia Pada Perempuan
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko hernia pada perempuan, antaranya:
- Kehamilan – Memberi tekanan tambahan kepada otot perut.
- Obesiti – Berat badan berlebihan menyebabkan tekanan pada dinding abdomen.
- Mengangkat Beban Berat – Terutamanya jika dilakukan tanpa teknik yang betul.
- Kelemahan Otot Semula Jadi – Sesetengah individu dilahirkan dengan dinding otot yang lemah.
- Sembelit – Ia menyebabkan anda meneran semasa membuang air besar.
- Batuk atau Bersin Berpanjangan
Simptom Hernia Pada Perempuan
1. Benjolan Di Kawasan Terjejas
Biasanya benjolan akan kelihatan di kawasan pangkal paha atau pusat terutamanya ketika berdiri atau batuk.
2. Sakit Atau Ketidakselesaan
Rasa sakit atau tekanan di kawasan benjolan semasa berjalan, mengangkat benda berat atau bersin.
3. Rasa Berat Di Perut
Terasa seperti ada tekanan yang menekan di bahagian perut atau pangkal paha.
4. Loya dan Muntah
Sekiranya hernia semakin teruk dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan usus tersekat, yang membawa kepada simptom loya dan muntah.
Bagi hernia hiatal, tiada bonjolan yang kelihatan di luar badan. Oleh itu, gejalanya mungkin berbeza, seperti pedih ulu hati, senak, kesukaran menelan, regurgitasi kerap dan sakit dada.
Langkah Pencegahan Penyakit Hernia
1. Kawal Berat Badan
Mengekalkan berat badan yang sihat adalah langkah penting untuk mengurangkan tekanan pada perut dan dinding otot.
2. Elak Mengangkat Beban Berat Tanpa Sokongan
Pastikan untuk menggunakan teknik yang betul semasa mengangkat benda berat. Elakkan menekan otot perut secara mendadak.
3. Senaman Pengukuhan Otot
Lakukan senaman yang menguatkan otot perut dan kawasan pangkal paha. Senaman ini membantu mengurangkan risiko otot perut menjadi lemah.
4. Diet Seimbang dan Serat Tinggi
Amalkan pemakanan yang kaya dengan serat untuk mengelakkan sembelit kerana sembelit juga memberi tekanan tambahan kepada dinding perut.
Rawatan Untuk Hernia Pada Perempuan
Rawatan bergantung kepada tahap hernia yang dialami. Berikut adalah beberapa pilihan rawatan yang sering dicadangkan untuk penyakit hernia:
1. Pembedahan Laparoskopik
Prosedur ini adalah pembedahan minima di mana lubang kecil dibuat pada dinding perut untuk memasukkan alat pembetulan. Ia lebih selesa dengan pemulihan yang lebih cepat dan risiko parut yang minimum.
2. Pembedahan Terbuka
Dalam kes yang lebih serius, pembedahan terbuka dilakukan untuk membaiki dinding perut. Prosedur ini memerlukan masa pemulihan yang lebih lama, tetapi hasilnya lebih tahan lama.
3. Pemakaian Alat Sokongan (Hernia Belt)
Hernia belt digunakan bagi mereka yang tidak boleh menjalani pembedahan. Alat ini membantu menyokong kawasan hernia, namun bukanlah penyelesaian jangka panjang.
Penyakit hernia pada perempuan mungkin kelihatan remeh, tetapi ia boleh membawa risiko kesihatan yang serius jika dibiarkan tanpa rawatan.
Adalah penting untuk memahami simptom-simptom awal dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau benjolan di kawasan perut atau pangkal paha.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Hernia Pada Bayi, Waspada Tanda-Tanda Ini Sebelum Bayi Perlu Dibedah
Baca juga: Mengapa Pusat Terkeluar Semasa Hamil? Adakah Ini Perubahan Normal?
Baca juga: 9 Perkara Perlu Dielakkan Selepas Makan, Elak Pedih Ulu Hati & Perut Jadi Buncit