Seluruh masyarakat dunia masih dilanda kerisauan akibat penyebaran penyakit misteri, Covid-19 yang seakan-akan tiada jalan pengakhirannya. Hampir 5 bulan virus ini menyerang manusia, namun sehingga kini belum ada vaksin untuk mengubatinya.
Kerajaan juga telah bertungkus-lumus bagi memerangi pandemik Covid-19 ini bagi mengurangkan angka pesakit yang positif. Justeru, anda dan seisi keluarga perlu mendengar arah untuk sentiasa kekal berada di dalam rumah serta mengamalkan amalan kebersihan diri.
Penyebaran penyakit di kedai dobi
Amalan mencuci pakaian di kedai dobi sudah sebati dengan kehidupan seharian. Mana tidaknya, kain baju anak-anak sahaja sudah berbakul. Bagi ibu ayah yang bekerja, sudah pasti anda tidak mempunyai masa bagi membersihkannya dalam kuantiti banyak.
Sebagai alternatif, anda akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan dobi berdekatan dengan rumah. Namun tahukah anda bahawa ia berpotensi besar dalam penyebaran penyakit Covid-19 ini?
Menurut laporan media di China, saintis mengatakan bahawa seorang pekerja dobi telah menjangkiti belasan pelanggan selepas dia disahkan positif kerana memegang pakaian tercemar.
Ahli epidemiologi dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou sedang melakukan kajian kes terhadap pekerja kedai dobi ini di bandar Shulan terletak di wilayah Jilin.
Difahamkan, pekerja tersebut adalah seorang wanita berusia 45 tahun mengakui melakukan banyak kontak dengan pelancong Rusia antara tempoh 8 hingga 30 April yang lalu.
Dalam diam menjangkiti orang lain
Bukan itu sahaja, mangsa turut menyebarkan virus berkenaan terhadap orang terdekatnya iaitu suami, 3 orang adik, beberapa orang ahli keluarga serta kenalan yang lain.
Berdasarkan sebuah kajian, kepekatan virus boleh menjadi sangat tinggi di bilik pertukaran pakaian. Pakar dari Suruhanjaya Kesihatan Nasional serta Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China dilaporkan sedang berusaha untuk menentukan sumber jangkitan yang mempengaruhi kumpulan seramai 13 orang.
Meskipun belum disahkan, pakar mengatakan situasi ini mungkin pekerja cucian tersebut bukan sumber jangkitan dan ia memerlukan penyelidikan ketat. Tambahnya lagi, dia mungkin dijangkiti oleh pembawa lain yang tidak mempunyai sebarang simptom Covid-19.
Wu mengatakan bahawa setiap kes yang diterima akan disiasat segera agar wabak tidak menyerang kepada individu lain.
Dia turut meminta orang ramai untuk terus mengambil langkah keselamatan terutamanya berada dalam kawasan yang tertutup. Menurut laporan media tempatan, setakat ini sudah berjaya mengesan 2 005 orang dan 290 kenalan rapat bagi tujuan pengasingan.
Meskipun virus Covid-19 berasal dari Kota Wuhan di China, negara ini mempunyai kadar jangkitan yang sangat rendah. Hanya empat orang di China telah diuji positif untuk penyakit ini beberapa hari lepas.
Saintis meramalkan Covid-19 mampu bertahan hingga 9 hari
Berdasarkan analisis baharu yang melihat data dari pelbagai jenis Coronavirus menunjukkan bahawa banyak kuman boleh ‘hidup’ di permukaan seperti kaca, plastik atau logam sehingga 9 hari.
Ia diterbitkan oleh The Journal Of Hospital Infection yang melihat 22 sejarah kajian mengenai pelbagai jenis Coronavirus, seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).
Penyebaran penyakit Covid-19 merupakan jangkitan melalui titisan dan boleh disebarkan secara langsung antara manusia dengan sentuhan pada permukaan yang telah tercemar.
”Di hospital, contohnya permukaan ini adalah tombol pintu, tepi katil, butang, lif atau sekitar pesakit yang biasanya diperbuat dari bahan logam atau plastik,” ujar Profesor Gunter Kampf.
Kajian itu mendapati bahawa secara puratanya, Covid-19 dapat hidup di permukaan selama 4-5 hari, tetapi ada yang mampu bertahan sehingga 9 hari di luar tubuh pada suhu bilik.
”Suhu rendah dan kelembapan udara tinggi akan terus meningkatkan jangka hayatnya,” jelas Kampf.
Namun, berita baik dari kajian ini adalah jika Covid-19 serupa dengan SARS atau MERS, ia mungkin sensitif terhadap cecair pembasmi uman seperti alkohol, sodium hidroksida dan sodium hipoklorit, di mana ia adalah bahan biasa yang terdapat dalam kediaman.
Apabila digunakan pada kepekatan yang sesuai, bahan kimia ini telah terbukti berkesan terhadap pembasmian Coronavirus sebelum ini.
Sumber: Mstar
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comtanda-tanda-penyakit