Memiliki kediaman yang dilengkapi dengan perabot rumah seperti sofa, almari dan kabinet dapur menjadi idaman setiap wanita.
Rumah yang diwarnai dengan gelak tawa anak-anak yang semakin membesar menambahkan lagi keserian pada kediaman.
Anak kecil dipupuk oleh sifat ingin tahu akan mula menerokai dunia sehingga terkadang ibu ayah tidak perasan akan pergerakan mereka yang terlalu laju.
Namun, dalam keterujaan anda membesarkan mereka, anda perlu sentiasa memantau anak-anak agar kejadian yang tidak diingini berlaku.
Bayi nyaris maut terhempap perabot rumah
Melalui perkongsian seorang ibu yang berusia 26 tahun, Nur Ain, dia melalui peristiwa hitam apabila almari pakaian setinggi dua meter telah jatuh dan menghempap seluruh tubuh anaknya, Ammar.
Nur Ain berkata, waktu kejadian dia ada bersama dengan anaknya yang baru berusia 11 bulan di dalam bilik di rumahnya di Taman Bakti, Rantau Panjang.
Dia sedang menggantung pakaian di dalam bilik tidak menyedari bayinya bermain di almari kayu yang dipenuhi dengan beg.
“Tiba-tiba saya terkejut dengan bunyi kuat seperti ada sesuatu yang jatuh dan disusuli dengan tangisan Ammar yang begitu kuat,”
“Sebaik berpaling ke belakang, tubuh saya terketar-ketar melihat anak berada di bawah almari. Kemalangan ini berlaku sekelip mata tanpa saya menyedari punca almari berkenaan terbalik.
Bergegas mendapatkan rawatan
Tanpa berlengah, dia dan suami terus membawa Ammar ke unit kecemasan HUSM, Kubang Kerian.
Sepanjang perjalanan, Ammar menangis tanpa henti dan dia hanya mampu berdoa agar anaknya tidak mengalami kecederaan anak yang serius.
Hasil dari pemeriksaan doktor telah mendapati bahawa terjadi keretakan pada bahagian kepala Ammar.
Anak kecil tersebut juga telah ditempatkan dalam wad kecemasan zon merah. Doktor pakar bahagian kepala melakukan imbasan CT untuk langkah seterusnya kerana bimbang berlaku pendarahan dalam kepala.
Nasib ibu malang ini baik kerana doktor mengesahkan tidak berlaku pendarahan dalam kepala, hanya retak di tempurung kepala sahaja.
Dia juga mengatakan bahawa anaknya kini dalam keadaan yang stabil dia perlu sentiasa memantau anak agar tidak berlaku lagi kecederaan yang serius.
‘’Doakan anak Mommy cepat sihat dan sembuh seperti sediakala. Terima kasih yang menanyakan khabar serta mengirimkan doa untuk kami,’’.
“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sebagai ibu bapa, jangan ambil mudah dan perlu sentiasa pastikan anak sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Tips keselamatan di rumah
Berdasarkan kes yang dicatatkan, kanak-kanak dan golongan berusia adalah kumpulan yang paling ramai mengalami risiko kemalangan di dalam rumah.
Hal ini kerana, golongan ini paling banyak menghabiskan masa di rumah.
Kejadian yang melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan dua tahun pula didorong oleh keupayaan mereka untuk merangkak, berjalan dan juga memanjat ke tempat yang berbahaya.
Beberapa tips ini boleh dijadikan panduan keselamatan di rumah buat anda. Antaranya:
# Sentiasa memeriksa perabot dalam bilik adakah ia masih kukuh dan tidak mudah digerakkan. Jika boleh, susun peti penyimpanan barang, rak buku dan almari rapat ke dinding.
# Elakkan memilih perabot yang berbucu tajam. Pilih perabot rumah yang memiliki bucu bulat dan pastikannya dalam keadaan baik.
# Pastikan anda tidak meletakkan begitu banyak perabot di dalam bilik demi keselamatan anak kecil.
# Jauhkan kerusi atau apa-apa perabot berdekatan dengan tingkap bagi mengelakkan anak memasukkan kepala di celah jeriji.
# Jangan pasang langsir labuh hingga mencecah lantai bagi mengelakkan kanak-kanak menariknya atau mereka boleh terjatuh akibat terpijak langsir. Seelok-eloknya labuh langsir hanya mencecah ambang saja.
# Barang mainan anak lebih baik disusun di lantai supaya mudahkan mereka mengambilnya.
# Jika rumah anda dipasang jeriji, pastikan bentuknya lurus bagi mengelakkan anak memanjatnya.
# Pasang langsir atau bidai yang sesuai di tingkap bilik supaya dapat menapis kemasukan cahaya matahari terus.
# Tukar tikar getah yang telah terkoyak atau bergulung di hujung atau tepi. Lantai yang pecah hendaklah diganti segera bagi mengelakkan anak kecil tersungkur atau terluka.
# Jangan memasang lampu lantai dalam bilik kanak-kanak, sebaiknya anda memasang sahaja lampu dinding yang boleh dikawal cahayanya.
# Jangan meletakkan patung besar bersama bayi terutamanya ketika dia tidur kerana menyebabkan bayi lemas
#Tutup palam elektrik yang tidak digunakan dan sentiasa pastikan peralatan elektrik dalam bilik kanak-kanak berada dalam keadaan baik.
Menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat sememangnya menjadi tanggungjawab utama anda terhadap anak-anak.
Pastikan anda dan suami saling bekerjasama dalam mengutamakan langkah keselamatan setiap masa kerana kemalangan yang boleh meragut nyawa tersayang terjadi dalam sekelip mata sahaja.
Sumber: SirapLimau, Forum Wanita Niaga
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkemalangan-di-rumah-dan-cara-mengelakkannya