''Susu Jadi Pekat & Anak Kenyang'', Doktor Minta Hentikan Trend Peram Susu Jadi Yogurt
Peram susu ibu untuk menghasilkan tekstur seperti yogurt menjadi trend dalam kalangan ibu. Doktor minta anda hentikan perbuatan ini
Peram susu ibu jadi yogurt? Kedengaran pelik tetapi itu yang didedahkan oleh Dr Hairin Anisa Tajudin mengenai terdapat trend menghasilkan yogurt daripada susu ibu yang diperam di dalam payudara.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Tindakan peram susu ibu boleh mengundang masalah serius
- Trend peram susu ibu, berhenti mencuba ilmu yang mengarut
- Info dan pengetahuan mengenai susu ibu
Beliau memberitahu, susu yang terdapat di dalam payudara tidak diperah dalam tempoh yang lama kononnya untuk mendapatkan susu yang banyak dan pekat seperti yogurt. Dr Hairin Anisa juga mempersoalkan tindakan tersebut dan menegaskan susu ibu perlu kerap diperah keluar.
Tindakan peram susu ibu boleh mengundang masalah serius
“What? Siapa yang ajar benda ni? Mengapa susu ibu perlu kerap diperah keluar dan bayi perlu menyusu sekerapnya (lebih 8 kali sehari)?”
“Ini kerana untuk mengekalkan pengeluaran susu yang banyak dan mengelakkan daripada blocked ducts (susu tak dapat keluar kerana tersumbat),” demikian hantaran Facebook beliau.
Menurut Dr Hairin Anisa lagi, sekiranya susu diperam lama di dalam payudara dan tidak dikeluarkan melalui hisapan oleh bayi atau diperah keluar sekerap-kerapnya, ibu akan menghadapi masalah serius selepas beberapa minggu mengamalkannya.
- Ibu akan peram susu berjam lamanya dan kemudian apabila diperah, susu yang banyak akan dikeluarkan. Ibu berasa gembira kerana pada awalnya susu perahan banyak namun, bermulalah masalah-masalah lain.
- Susu yang berlemak bercampur curds (casein) akan mula membentuk kerak-kerak pada dinding saluran susu. Seperti paip karat (rusty pipe) dan kemudian berlaku blocked ducts.
- Kelenjar susu (alveolus) akan terlebih renggang, membesar berganda-ganda melebihi kapasitinya menyimpan dan ia akan alami keradangan. Bayangkan belon yang semakin besar, semakin tegang dan akan pecah. Tetapi alveolus itu tidaklah sampai pecah, cuma akan mula kesakitan.
- Apabila keradangan semakin teruk, boleh menyebabkan jangkitan kuman mastitis seterusnya menjadi nanah. Ini yang paling menyakitkan (breast abscess).
- Payudara yang kurang rangsangan kerana jarang diperah, lama kelamaan prolaktin akan kurang. Seterusnya payudara tidak lagi menghasilkan susu yang banyak seperti sebelumnya.
Trend peram susu ibu, berhenti mencuba ilmu yang mengarut
Bimbang dengan trend mengarut tersebut, Dr Hairin Anisa meminta ibu supaya tidak mengikuti ilmu dan perkongsian yang tidak diketahui kesahihannya.
“Tolonglah jangan ikut ikutan ilmu pelik-pelik daripada entah sesiapa di TikTok lah, coach siapa entah, mana ilmu dia dapatlah.
“Saya banyak jumpa kes yang breast abscess ni. Sakitnya tak terkata tau tak? Kalau tak nak alami semua ni, please belajar daripada pakar laktasi IBCLC atau kaunselor laktasi yang terlatih,” nasihat beliau kepada golongan ibu.
Info dan pengetahuan mengenai susu ibu
- Protein merupakan sumber penting untuk pertumbuhan sel badan terutamanya bagi bayi yang baru lahir. Kandungan casein yang rendah dalam susu ibu menyebabkan ia lebih mudah untuk diserap oleh badan berbanding susu formula atau susu kotak.
- Susu ibu mengandungi antibodi aktif yang penting untuk ketahanan imuniti bayi.
- Susu ibu mengandungi banyak laktosa, merupakan sumber tenaga dan karbohidrat untuk bayi.
- Selain laktosa, lemak juga merupakan sumber tenaga yang tinggi untuk bayi. Oleh itu, susu ibu juga kaya dengan lemak yang penting untuk perkembangan otak bayi.
- Secara logiknya, susu berada dalam bentuk cecair dan cecair ini penting sebagai minuman buat bagi serta mengelakkan masalah dehidrasi.
- Susu ibu mengandungi banyak zat penting untuk perkembangan fizikal dan mental bayi. Sebagai contoh zat besi, vitamin C, vitamin B kompleks dan vitamin K.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Mengapa Susu Ibu Terbaik Buat Bayi? Ini Sebab & Perbezaan Antara Susu Ibu & Susu Formula!
Baca juga: Pentingnya Ambil Susu Ibu Mengandung Sepanjang Tempoh Kehamilan, Baik Untuk Ibu & Janin
Baca juga: Cara Power Pumping Yang Betul Untuk Meningkatkan Bekalan Susu Ibu