Baru-baru ini terdapat satu video viral di laman Facebook yang menunjukkan seorang lelaki memainkan peranan ayah dalam keluarga, yang mendodoikan ketiga-tiga anaknya pada masa yang sama.
Dalam video tersebut, bapa itu kelihatan sedang mendukung anak bongsu dengan tangan kanan, sambil menepuk belakang kedua-dua anak lain; satu dengan tangan kirinya, dan satu lagi dengan kaki.
Walaupun ia cuma klip video yang pendek sahaja, tetapi ia telah menyentuh dan mencuit hati ramai netizen dari seluruh dunia.
Ada yang geli hati dengan gelagat ayah itu dan ada yang memuji kehebatannya menidurkan ketiga-tiga anak sekali.
Mana-mana lelaki boleh menghasilkan anak, tetapi peranan seorang bapa sebenarnya tidak senang.
Sebagai ketua keluarga, seseorang lelaki yang bergelar suami dan ayah mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam memberi dan menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Ini peranan ayah dalam keluarga
Salah satu dari peranan penting seorang bapa adalah untuk menjaga kestabilan keluarganya.
Kajian menunjukkan bahawa jika bapa seorang penyayang, seorang yang selalu memberi sokongan, dan suka melibatkan diri dengan aktiviti keluarga, dia boleh memberi sumbangan besar kepada anak.
Sumbangan ini adalah dari segi pembangunan sosial, pencapaian akademik, sumber teras dalaman yang kuat, rasa kesejahteraan, dan harga diri yang baik.
Walaupun aktiviti riadah sekeluarga digalakkan dari semasa ke semasa, sebenarnya ia adalah penglibatan bapa dalam kegiatan harian yang boleh menjaga kestabilan keluarga.
Aktiviti harian seperti makan malam bersama-sama, menonton TV, bermain di halaman semuanya interaksi penting kerana ia menyumbang kepada pembangunan kanak-kanak juga.
Si isteri dan keluarga perlu berasa dilindungi daripada dunia luar yang serba tidak menentu.
Rob Palkovitz seorang pakar psikologi telah memberitahu The Atlantic:
“Para sarjana selalu menggunakan ketiadaan seorang bapa, sebagai faktor penyumbang kehamilan remaja muda.”
Apabila bapa lebih terlibat, mereka boleh memantau apa yang berlaku di dalam kehidupan anak mereka termasuk interaksi anak dengan rakan sebaya, dan orang lain.
Mungkin disebabkan saiz badan, kekuatan, atau norma untuk melindungi keluarganya, seorang bapa adalah seolah-olah hero yang boleh menjauhkan segala keburukan dari memudaratkan anak.
Secara tidak langsung, hubungan antara anak dengan bapanya boleh mempengaruhi corak interaksi anak dengan kawan-kawan, kekasih, dan pasangan.
Kanak-kanak perempuan akan mencari lelaki yang mempunyai sifat-sifat seorang bapa yang baik, kerana satu hari nanti mereka akan berkahwin juga.
Oleh itu, jika bapa mereka seorang yang baik hati, penyayang, dan berperangai lembut di rumah, ciri-ciri itulah yang menjadi asas apabila mencari pasangan hidup.
Kanak-kanak lelaki pula, akan memodelkan diri mengikut bapa mereka.
Oleh itu, jika ayah panas baran, suka mengawal dan memerintah, inilah ciri-ciri yang akan ditiru dan dicontohi. Maka ia adalah amat penting bapa menunjukkan karakter yang baik agar menjadi sumber inspirasi kepada anak.
Anak-anak perlu dibimbing sejak zaman kanak-kanak mereka lagi. Ayah haruslah menjadi pendisiplin kepada keluarganya untuk menyingkirkan tabiat-tabiat buruk yang boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka.
Si ayah perlu mendidik anak-anaknya bahawa sikap tamak, menipu, berbohong, mencuri, bersikap kurang ajar serta tingkah laku buruk adalah sikap-sikap yang tidak baik.
Tujuan seorang ayah mendisiplinkan anaknya adalah bagi membantu mereka menjadi orang yang berguna kelak – bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Cara seorang bapa mendisiplinkan anak juga berbeza dari ibu. Carol Gilligan seorang psikologi pendidikan menunjukkan perbezaan ini:
Ayah:
- lebih suka menegakkan keadilan, kesaksamaan dan tanggung jawab (berdasarkan peraturan)
- menggunakan kaedah-kaedah sistematik dan tegas untuk mengajar anak akibat perbuatan yang baik dan yang salah.
Ibu:
- lebih ke arah simpati, penjagaan anak dan ingin membantu (berdasarkan perhubungan)
- lembut, dengan rahmat dan simpati, dan selalu memberi harapan.
Kedua-dua pendekatan disiplin ini jauh berbeza, tetapi apabila digabungkan ia adalah cara disiplin yang seimbang dan baik untuk anak.
Anda boleh melihat dengan mata sendiri, tugas seorang ayah yang komited bukan perkara yang mudah.
Oleh itu, mari kita bersama-sama memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada bapa yang berkerja keras untuk kesenangan keluarga di Hari Bapa minggu depan.
Saya pasti setiap bapa akan lembut hati apabila anak-anak mereka mengatakan, “Terima kasih bapa, kerana sumbanganmu.”
Sumber: Ushare, Huffington Post, Parenting
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: 4 Bukti Hubungan Erat Antara Seorang Ayah Dan Anak Perempuannya!