Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini sedang meningkat pada kadar membimbangkan. Sebanyak 82,846 kes telah dilaporkan setakat 4 Jun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 32 kali ganda berbanding 2,485 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2021. Ini berikutan kelonggaran SOP mencegah penularan wabak COVID-19 seperti pengurangan jarak sosial, kelonggaran pemakaian pelitup muka serta pusat penjagaan kanak-kanak dan sekolah yang telah dibuka semula1.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam (6) tahun ke bawah1.
Walaupun HFMD boleh diklasifikasikan sebagai sejenis penyakit endemik yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak, masih ramai ibu bapa yang keliru dan tidak dapat membezakan penyakit HFMD dengan penyakit kanak-kanak yang lain. Ini mungkin kerana simptom-simptom penyakit HFMD hampir serupa dengan jangkitan penyakit-penyakit lain terutamanya penyakit cacar air2,3.
Mari kita kenali perbezaan antara dua penyakit ini supaya ibu bapa lebih peka dan dapat memberikan perhatian yang khusus sekiranya anak mereka dijangkiti.
Apa itu Cacar Air?
Varicella adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Varicella-Zoster. Penyakit yang lebih dikenali sebagai cacar air ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah3.
Umumnya, selepas jangkitan yang pertama, jangkitan cacar air ini akan menghasilkan imuniti seumur hidup. Namun, virus boleh diaktifkan semula pada masa akan datang dan menyebabkan penyakit kayap4.
Menurut Dr JoAnn, pakar pediatrik dari Klinik Pakar Kanak-kanak FirstStep, cacar air sangat mudah merebak di mana 90% daripada mereka yang terdedah kepada individu yang dijangkiti boleh mendapat penyakit itu, terutamanya jika mereka tidak mempunyai imuniti terhadapnya. “Ini menjelaskan mengapa wabak cacar air sering berlaku di sekolah atau taska. Memandangkan sifat berjangkit cacar air, ibu bapa seharusnya merujuk kepada doktor anak anda untuk memahami lebih lanjut tentang langkah pencegahan yang boleh diambilkan termasuknya vaksinasi yang sesuai,” tambahnya.*
Virus cacar air merebak melalui cecair pernafasan atau sentuhan secara langsung pada cecair daripada kulit yang melepuh. Simptom biasa cacar air adalah ruam pada badan. Satu hingga dua hari sebelum ruam pada badan muncul, anak anda akan mula berasa lemah badan, sakit kepala, kurang selera makan dan demam5.
Ruam akan muncul di sekitar muka, dada dan belakang badan pada awal jangkitan dan kemudian merebak ke seluruh tubuh. Ruam akan berubah menjadi lepuh atau blister berisi cecair yang gatal. Blister ini akan mengering dan menjadi kudis6.
Ibu bapa harus faham bahawa kanak-kanak yang telah menerima vaksin cacar air boleh mencegah daripada mendapat jangkitan cacar air atau hanya akan mengalami gejala yang lebih ringan dan ruam yang lebih kurang dan proses pemulihan berlaku dengan lebih cepat5,6.
Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang cacar air, kami meminta Dr. JoAnn berkongsi beberapa maklumat penting serta pengalaman peribadinya dalam merawat pesakit, terutamanya kanak-kanak yang menghidap cacar air.
1. Siapakah yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Varicella-Zoster?
Dr. JoAnn: Majoriti kes cacar air berlaku pada kanak-kanak kecil. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa juga boleh djjangkiti jika mereka tidak imun terhadap virus ini.*
2. Kebiasaannya cacar air adalah jangkitan yang ringan atau serius?
Dr. JoAnn: Bagi kebanyakan orang yang sihat, cacar air biasanya ringan, dan mereka pulih sepenuhnya tanpa sebarang rawatan khusus. Bagaimanapun, komplikasi daripada cacar air boleh berlaku pada individu yang berisiko tinggi seperti bayi, remaja, dewasa, ibu mengandung dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, contohnya, mereka yang menjalani kemoterapi.*
3. Apakah komplikasi yang boleh terjadi berkaitan dengan cacar air?
Dr. JoAnn: Beberapa komplikasi yang boleh terjadi berkaitan dengan jangkitan cacar air termasuklah jangkitan kuman pada kulit, jangkitan paru-paru (radang paru-paru), jangkitan atau pembengkakan otak (ensefalitis, cerebellar ataxia), masalah pendarahan (komplikasi hemoragik), dan jangkitan saluran darah (sepsis).*
“Walaupun komplikasi ini dianggap jarang berlaku, saya secara peribadi telah melihat dan merawat kanak-kanak yang mengalami komplikasi ini. Sedih hati melihat anak kecil atau ibu bapa melaluinya. Dengan ketersediaan vaksin untuk cacar air, ibu bapa boleh merujuk kepada doktor anak anda untuk memahami lebih lanjut” ujar Dr. JoAnn.
Apakah itu HFMD?
Penyakit tangan, kaki dan mulut atau dalam bahasa Inggerisnya ‘hand, foot and mouth disease’ (HFMD) adalah jangkitan yang disebabkan oleh virus daripada kumpulan Enterovirus khususnya Coxsackievirus A16, Coxsackievirus A6 , Enterovirus 71 (EV 71) dan beberapa virus lain7.
Virus ini merebak secara sentuhan langsung dengan air liur, cecair lepuh dan najis daripada individu yang dijangkiti. Kanak-kanak biasanya dijangkiti virus daripada kanak-kanak lain dalam pola ‘faecal-oral’ iaitu jangkitan yang diperoleh dari pendedahan kepada bahan buang kotoran atau rembesan dari hidung atau mulut8.
Gejala penyakit HFMD ini kebiasaannya adalah ringan dengan simptom demam diikuti ruam berair atau ‘blister’ yang melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah2. Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD biasanya kurang selera untuk makan dan minum disebabkan kesakitan yang dialami terutamanya pada tekak dan lidah2.
Walaupun penyakit ini boleh menjangkiti semua peringkat umur, HFMD lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak khususnya yang berusia sepuluh (10) tahun ke bawah. Walau bagaimanapun, orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih besar juga boleh dijangkiti HFMD9.
Namun begitu, kes HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti ensefalitis dan miokarditis atau radang pada jantung10.
Perbezaan Cacar Air dan HFMD
Kedua-dua penyakit ini berkongsi gejala umum yang serupa seperti kelesuan, demam dan ruam, namun terdapat beberapa ciri yang membezakannya2,3:
-
Jenis Virus
Penyakit cacar air adalah disebabkan oleh virus Varicella-Zoster5 dan penyakit HFMD disebabkan oleh virus jenis Enterovirus terutamanya virus Coxsackie7.
-
Sifat Ruam
Ruam cacar air akan merebak ke seluruh bahagian badan6 manakala ruam HFMD tertumpu pada bahagian mulut, celah lampin, tapak tangan dan tapak kaki8.
-
Ciri-ciri Ruam
Ruam yang disebabkan penyakit cacar air bermula dengan bintik-bintik merah kecil yang kemudian menjadi lepuh bernanah dan akan pecah, kemudian kering dan akhirnya menjadi keruping sebelum sembuh5. Manakala ruam yang disebabkan HFMD pula, kebiasaannya akan tumbuh terlebih dahulu di dalam mulut seperti ulser dan diikuti dengan bintik-bintik merah rata yang seterusnya menjadi lepuhan kecil11. Ruam cacar air sangat gatal dan ruam HFMD pula sangat menyakitkan5,11.
-
Jangka Masa
Penyakit cacar air akan sembuh selepas 4 – 7 hari selepas simptom bermula6. Penyakit HFMD akan sembuh 7 hingga 10 hari selepas simptom bermula12.
-
Kebolehjangkitan
Jangkitan cacar air kebiasaannya sekali seumur hidup kecuali apabila virus Varicella-zoster dorman yang tertinggal pada tisu saraf dan diaktifkan semula sebagai penyakit kayap3. Jangkitan HFMD boleh berlaku pada seseorang berulang kali kerana terdapat varian Enterovirus yang berbeza10.
-
Rawatan
Vaksin Varicella boleh membantu mencegah cacar air dan dalam sesetengah kes doktor akan mempreskripsikan ubat antiviral13. Tiada rawatan spesifik untuk merawat HFMD selain merawat gejala secara simptomatik12.
-
Komplikasi Sekunder
Pada kebiasaannya, penyakit cacar air adalah tidak berbahaya namun komplikasi seperti radang paru-paru (pneumonia) atau radang otak (ensefalitis)5 boleh berlaku. Jangkitan bakteria juga boleh berlaku pada ruam cacar air akibat digaru kerana gatal3.
Selain itu, virus cacar air yang tidak sembuh sepenuhnya boleh menjadi aktif semula dan menyebabkan penyakit kayap yang menyebabkan lepuhan kulit yang sangat menyakitkan5. Cacar air sangat berisiko kepada bayi di dalam kandungan sekiranya virus menjangkiti ibu mengandung di peringkat akhir kehamilan5.
Penyakit HFMD juga kebiasaannya tidak berbahaya, cuma kesakitan akibat ulser pada tekak dan mulut akan menyebabkan kanak-kanak tiada selera makan dan boleh menyebabkan dehidrasi12.
Cara Pencegahan
Penyakit Cacar Air dan HFMD kedua-duanya disebabkan oleh virus yang sangat mudah berjangkit5-7. Virus-virus ini boleh tersebar daripada satu individu ke individu yang seterusnya melalui tangan yang tidak dicuci dengan bersih dan permukaan yang tidak dibersihkan. Ia juga boleh merebak melalui titisan cecair yang disembur ke udara apabila seseorang yang telah dijangkiti virus bersin atau batuk. Menyentuh ruam dan cecair dari ruam juga boleh menyebabkan virus tersebar dengan mudah5-6.
Jadi mengapakah cacar air begitu mudah merebak di kalangan kanak-kanak kecil?
“Cacar air begitu mudah merebak di kalangan kanak-kanak kecil disebabkan beberapa faktor. Kanak-kanak kecil sering ingin tahu dan cenderung menyentuh segala benda, kadang-kadang memasukkan objek atau tangan ke dalam mulut mereka. Mereka juga cenderung untuk mengeluarkan air liur, yang membantu dalam penyebaran virus. Tambahan pula, bukan mudah untuk mengekalkan penjarakan sosial di kalangan kanak-kanak kecil,” jelas Dr. JoAnn.*
Oleh itu, salah satu langkah pengawalan dan pencegahan bagi melindungi kanak-kanak dari dijangkiti Cacar Air dan HFMD adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran, sentiasa mencuci tangan dengan sabun, mengurus lampin pakai buang dengan betul dan paling penting ialah ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak mereka ke taska, rumah pengasuh atau tadika bagi mengelak jangkitan dan berlakunya wabak sekiranya anak-anak anda menunjukkan gejala atau sekiranya ada kanak-kanak lain yang menunjukkan gejala14.
“Mendapatkan vaksin cacar air adalah salah satu langkah pencegahan untuk penyakit yang sangat berjangkit ini. Kebanyakan orang yang diberi vaksin cacar air mempunyai risiko jangkitan yang lebih rendah atau mengalami gejala yang lebih ringan jika mereka dijangkiti,” tambah Dr. JoAnn sebagai peringatan untuk para ibu bapa di luar sana.*
Kesimpulannya, penting untuk ibu bapa tahu membezakan antara simptom Cacar Air dan HFMD agar lebih peka dan cepat bertindak dalam menangani penyakit ini dengan lebih berkesan. Jika anda ingin mengetahui cara melindungi anak anda dengan lebih baik daripada penyakit yang boleh dicegah, berbincanglah dengan doktor keluarga atau pakar pediatrik anda pada janji temu seterusnya.
*Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.
MY-VVX-00134 Oct/2022
REFERENCES:
- From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. Kenyataan Akhbar KPK 7 Jun 2022 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia (ME 22 2022). Available From: https://kpkesihatan.com/2022/06/07/kenyataan-akhbar-kpk-7-jun-2022-situasi-semasa-kejadian-penyakit-tangan-kaki-dan-mulut-hfmd-di-malaysia-me-22-2022/. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). Available From: https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/signs-symptoms.html. Last Accessed 26 August 2022.
- National Health Services Inform. Chickenpox. Available From: https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/infections-and-poisoning/chickenpox. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Shingles (Herpes Zoster). Available From: https://www.cdc.gov/shingles/about/transmission.html. Last Accessed 26 August 2022.
- Mayo Clinic. Chickenpox. Available From: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chickenpox/symptoms-causes/syc-20351282. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Chickenpox (Varicella). Available From: https://www.cdc.gov/chickenpox/about/symptoms.html. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). Available From: https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/transmission.html. Last Accessed 26 August 2022.
- Stanford Medicine Children’s Health. Hand-Foot-and-Mouth Disease in Children. Available From: https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=hand-foot-and-mouth-disease-in-children-90-P01857. Last Accessed 26 August 2022.
- Better Health Channel. Hand, foot and mouth disease. Available From: https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/hand-foot-and-mouth-disease. Last Accessed 26 August 2022.
- Yi E, Shin Y, Kim J, Kim T & Chang S. Enterovirus 71 infection and vaccines. Clinical and Experimental Vaccine Research. 2017;6(1).
- National Health Services Inform. Hand, foot and mouth disease. Available From: https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/infections-and-poisoning/hand-foot-and-mouth-disease. Last Accessed 27 September 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). Available From: https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/treatment.html. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Chickenpox (Varicella). Available From: https://www.cdc.gov/chickenpox/about/prevention-treatment.html. Last Accessed 26 August 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). Available From: https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/prevention.html. Last Accessed 26 August 2022.