Pernahkah anda terfikir bahawa zaman kanak kanak sekarang adalah jauh berbeza berbanding dengan zaman kanak-kanak kita? Kanak-kanak hari ini kurang sabar dan kebanyakannya ada yang langsung tidak tahu apa itu kemahiran hidup.
Mereka lebih kepada permainan peranti seperti tablet dan telefon bimbit. Tidak macam kita dulu: kalau kartun tak ada, pandai-pandailah main sendiri kat luar atau ajak jiran dan rakan main bersama.
Baca juga: Menggamit Kenangan! Rupanya Permainan Zaman Dulu Menjadikan Anak PINTAR & Sihat!
Zaman kanak kanak dahulu dan sekarang
Jadi apa yang telah membawa kepada perubahan ini ? Mari kita tengok beberapa perbezaaan zaman kanak-kanak dulu dan zaman sekarang:
#1. Memperoleh kepuasan dengan kadar segera
Jika dahulu berada di sekolah, mana ada internet? Tak ada email, telefon bimbit, whatsapp, semua tak ada. Kalau bertekad nak menulis surat untuk penpal di negara lain, kenalah pakai cara lama: kertas, pensel, sampul surat bersertakan setem.
Selepas diposkan, kena bersabar tunggu surat balasan dan masih ingat perasaan seronok itu, apabila abang posmen datang untuk menghantar surat.
Sekarang kita hidup dalam zaman di mana segala-galanya adalah serta-merta. Kanak-kanak sekarang tidak akan faham perasaan seronok menunggu surat dari posmen
Mereka dah pandai chatting, semua dah punya Facebook, dah tak payah nak surat menyurat lagi. Mereka lupa untuk menghargai perkara-perkara kecil berlaku di sekeliling. Bukan itu sahaja, anak kecil zaman kini hanya mahu kepuasan yang serta merta. Ini secara tidak langsung telah menyebabkan mereka mahu segala-galanya dengan cepat dan menjadi kurang sabar.
#2. Terlalu fokus terhadap pembelajaran
Untuk sesetengah ibu bapa ini adalah harapan yang standard untuk anak mereka. Anak semuda darjah satu kadang-kadang sudah didaftarkan untuk tuisyen, aktif dalam satu jenis sukan dan mungkin sedang belajar satu alat muzik sambil bersekolah setiap minggu.
Keadaan ini terlampau banyak sehingga mereka tidak mempunyai masa untuk bermain dan membina kenangan. Kehidupan cuma bagaikan rutin sahaja untuk memenuhi harapan ibu bapa.
Bertentangan dengan senario diatas, masa kita masih kecil, kita tenang sahaja sehingga jarang mengalami tekanan mengejar kecemerlangan.
Sebaliknya sentiasa diberi dorongan untuk memperbaiki markah peperiksaan dan jarang dibanding oleh ibu bapa, dengan rakan sebaya lain. Zaman kanak kanak dahulu juga bebas untuk menyertai sukan kegemaran dan membina kenangan yang manis.
#3. Kanak-kanak tidak dapat belajar berdikari
Kadang-kadang ia adalah lebih senang dan cepat jika ibu bapa melakukannya segalanya untuk anak mereka dari membiarkan melakukannya sendiri.
Contohnya apabila anak mahu memakai kasut dengan usaha diri sendiri dan ibu bapa sedang mengejar masa. Sudah pasti ibu bapa anak itu akan tolong pakaikan, dan bukannya memberi anak peluang untuk belajar berdikari.
Ibu bapa sentiasa menetapkan apa yang harus dilakukan: “Buat macam ini,” “Jangan buat macam itu,” “Ikut cakap Ibu.” Anak tidak mendapat peluang untuk membuat keputusannya sendiri. Ibu bapa yang terlampau melindungi anak mereka akan mendapati anak tidak akan tahu bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian apabila berdepan dengan konflik.
#4. Peluang untuk membina kenangan manis
Jadi sebagai ibu bapa, janganlah tergesa-gesa untuk mendorong anak ke alam dewasa. Biarkan anak membina kenangan kanak-kanak mereka sendiri.
Biarkan mereka berkawan dan bermain. Biarpun berkelahi, biarkan mereka belajar untuk membentuk tali persahabatan yang kuat. Biarkan mereka belajar perkara-perkara yang baik dan bermakna. Ingat, pembelajaran tidak terhad kepada pembelajaran akademik sahaja dan anak anda tidak akan kekal seorang kanak-kanak selama-lamanya.
#5. Banyak terdedah dengan skrin
Memandangkan kini terdapat banyak produk teknologi yang dihasilkan, ramai ibu ayah menggunakan telefon pintar sebagai ‘senjata’ untuk mengawal anak-anak ketika di rumah mahupun luar rumah. Bukan itu sahaja ada yang mengatakan anak kecil mereka menghabiskan masa lebih 5 jam sehari pada skrin telefon atau televisyen.
Keadaan ini amatlah berbahaya kerana boleh menganggu perkembangan minda dan fizikal mereka. Sebab itulah daya tumpuan mereka semakin merosot. Perkembangan sensori dan motor anak sekarang pun teruk. Kalau dulu, kanak-kanak speech delay hanya perlukan ransangan bahasa sahaja. Tapi zaman sekarang perlu diberi sekali dengan ransangan sensori.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Memori Zaman Kanak-Kanak, 7 Perkara Anak Akan Ingat Tentang Ibu Bapa