Pergerakan bayi dalam kandungan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh semua ibu hamil kerana bayi yang kurang gerak dikhuatiri mempunyai masalah kesihatan dalam kandungan.
Disebabkan itu, dalam buku merah yang disediakan untuk ibu mengandung, ada jadual pergerakan bayi yang wajib ibu tanda. Bukan untuk suka-suka ya jadual itu disediakan ada sebabnya bagi menjamin keselamatan bayi sepanjang dalam kandungan.
Jika ini adalah kehamilan anda yang pertama, mungkin mengambil masa bagi anda untuk mengenalpasti seolah-olah ketukan lembut dari dalam perut itu adalah sebenarnya pergerakan bayi anda.
Anda mungkin akan mula menyedarinya kira-kira dalam minggu ke-18 dan minggu ke-20, atau lebih lambat daripada itu.
Pergerakan bayi dalam kandungan penting untuk dipantau
Menurut Dr Zubaidi Ahmad, gerakan bayi dalam kandungan biasanya dapat dirasai sekitar minggu ke-18 kandungan. Ia bukan saja melahirkan rasa teruja bagi bakal ibu, tetapi ia juga adalah petanda penting terhadap kesihatan bayi.
Perkara perlu diambil perhatian bila bayi kurang gerak
Apabila bayi dalam kandungan kurang gerak, ini adalah perkara yang perlu diambil perhatian. Antaranya ialah :
#1. Bila mula perlu kira pergerakan bayi?
Jika anda menjalani rutin pemeriksaan di klinik kerajaan, jururawat akan memberi satu carta khas untuk anda menandakan pergerakan bayi setiap hari, bermula sekitar minggu ke-28 kehamilan. Pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.
Maka sekiranya berlaku perubahan atau kurangnya pergerakan bayi berbanding normal, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat. Hal ini adalah serius dan ia memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
#2. Berapa kali bayi perlu bergerak dalam sehari?.
Pada awalnya mungkin anda teragak-agak dan berasa kekok untuk mengira gerakan bayi. Tapi apabila sudah biasa, anda akan dapat mengagak waktu serta corak pergerakan bayi yang aktif.
#3. Cara kira gerakan bayi
Merujuk kepada carta pergerakan bayi yang diberikan oleh Klinik Kesihatan, mereka mencadangkan agar kiraan sehingga 10 kali pergerakan perlu dicatatkan setiap hari bermula jam 9 pagi. Gerakan ini tidak kiralah sama ada tendangan, gulungan, tumbukan atau pergerakan lain dalam tempoh 12 jam.
Semua pergerakan bayi akan dikira sebagai satu gerakan apabila bayi bergerak dalam jangka masa yang agak lama atau terhenti-henti. Maksudnya, jika bayi mula bergerak, kemudian berhenti selama beberapa saat dan bergerak kembali, itu masih dikira satu pergerakan. Pergerakan seterusnya hanya akan dikira jika ia berlaku selepas 30 minit berikutnya.
5 rangsangan untuk merasakan pergerakan bayi
1. Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi lebih mudah terjaga apabila anda duduk diam kerana semasa anda sibuk bergerak bayi mungkin tertidur kerana terasa seperti dibuai
2. Berbaring mengiring
3. Minum air atau air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasakan perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
4. Buat bunyi bising, mainkan muzik, zikir, dan sebagainya. Cuba lihat tindak balas daripadanya.
5. Jika bayi anda mula bergerak selepas anda melakukan rangsangan ini, kemungkinan besar bayi anda tak apa-apa. Namun, pastikan anda terus memantau pergerakannya pada jam-jam berikutnya.
Risiko bayi kurang gerak
Selepas tempoh 28 minggu, pergerakan bayi yang kurang aktif boleh menjadi sesuatu yang serius. Ia mungkin petanda bagi beberapa masalah seperti:
1. Kebocoran air ketuban
2. Bayi berhenti membesar
3. Bayi mengalami hipoksia (tali plasenta tidak dapat mengalirkan darah yang penuh oksigen dan nutrien kepada bayi)
4. Kematian bayi dalam kandungan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Zubaidi Ahmad
Baca juga:
Bila Rasa Gerakan Bayi Dalam Kandungan, Ini Rupanya 3 Aktiviti Si Kecil Itu!